Khamis, 24 November 2011

Permodalan Kedah Berhad tarik 26,681 pelabur

ALOR SETAR  - Permodalan Kedah Berhad (PKB) sehingga kini, berjaya menarik  seramai  26,681 orang untuk melabur dalam Amanah Saham Kedah (ASK) dengan jumlah sebanyak RM35.14 juta.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan PKB, Tuan Haji Harun Haji Khalib, pelaburan dalam ASK itu secara tidak langsung mampu menjana pendapatan kepada PKB.

“Ia merupakan salah satu aktiviti yang sedang berjalan yang dilaksanakan oleh PKB dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat sempena lawatan rombongan dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ke negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini.

Haji Harun memberitahu, PKB juga turut menjalankan projek pembangunan perumahan dengan pembinaan 41 unit rumah kedai/pejabat di Seberang Jalan Putra, di sini.

“Kita turut membina bangunan untuk disewa kepada pihak tertentu dan salah satu bangunan yang kita bina di Langkawi, turut disewa oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan ia turut menjana pendapatan sebanyak RM1 juta kepada PKB,” jelasnya.

Tambahnya, PKB juga turut membina rumah kedai di Taman Wira Mergong, di sini sebanyak 18 unit untuk disewa dan turut menjana pendapatan sebanyak RM160,310 setahun.

“Industri mineral yang melibatkan tanah liat beralumina tinggi, pasir sungai, kuari batu, dan pengeluaran bijih besi juga mampu menjadi penyumbang terbesar kepada PKB dari sekarang sehingga enam tahun akan datang,” katanya.

Beliau menjelaskan, projek pembinaan Kompleks Baru Majlis Perbandaran Sungai Petani, Auditorium dan Menaiktaraf Dewan Kenangan Sungai Petani yang bernilai RM46.2 juta.

“Kita juga turut menjalankan penyewaan lesen yang melibatkan jenis lesen membeli dan menjual bijih besi yang disewa kepada syarikat swasta dan tempoh sewa ialah secara tahunan,” jelasnya.

Menurutnya, sebuah hotel 14 tingkat bertaraf tiga bintang akan dibina di Langkawi di atas tanah milik PKB Lot PT 4001 di Mukim Kuah, Langkawi,” katanya.

“Hotel ini mempunyai 206 bilik penginapan dan dua kolam renang dan projek ini akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada awal tahun 2012,” tambahnya.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar, Dato’ Haji Bakar Din dan Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Menteri Besar, Haji Abdul Rahman Daei. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...