Rabu, 14 Disember 2011

Umat Islam perlu gigih berusaha


Setiap hari kita bekerja tetapi kadangkala kerja kita hanya berada pada tahap 'biasa-biasa' atau sederhana saja dan kita boleh berpuas hati dengannya. Jika ada tugas memerlukan lebih masa diambil pula, kita sering mengeluh atau lebih senang untuk mengelaknya.

Ia seperti suatu lumrah dan kebiasaan naluri sedangkan pada masa sama, keinginan dan harapan pelanggan serta majikan semakin tinggi untuk mengejar pelbagai bentuk kejayaan atau keuntungan. Justeru, perlulah gaya dan budaya kerja diperbaiki terutama dengan semangat dan azam yang kuat.

Sememangnya kejayaan atau al-falah adalah matlamat dihasratkan setiap insan. Namun, perlu diingat bahawa pada zaman penuh persaingan dan cabaran ini, bukan usaha semata-mata yang menjamin kejayaan dan menjadi ukuran tetapi yang dikerjakan secara bersungguh-sungguh, dedikasi dan komited dengan mengutamakan usaha berteraskan kualiti berterusan itulah kuncinya.

Ketekunan, kesungguhan atau komitmen bekerja menjadikan kita mulia di sisi Allah. Nilai ini perlu terus disemai dan disegarkan dalam pemahaman diri kerana ia berlawanan dengan sifat mudah mengalah, meminta-minta, menyerah kepada takdir, bekerja sambil lewa dan mudah berpuas hati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan katakanlah: bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata, lalu diberitakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Taubah, ayat 105)

Walaupun apa yang dikerjakan itu berat dan imbuhannya pula sedikit atau tidak setimpal, namun ia lebih tinggi dan mulia di sisi-Nya. Pelbagai kisah dan peringatan Rasulullah SAW boleh dijadikan penyuntik semangat untuk bekerja dengan komited.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika salah seorang antara kamu mengambil tali kemudian pergi ke gunung, lalu kembali dengan seikat kayu di belakangnya, lalu menjualnya, Allah akan menjaga maruahnya, itu adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang ramai sama ada diberi ataupun tidak." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menggambarkan kegigihan usaha menjadikan seseorang itu mulia maruah dan harga dirinya di sisi Allah walaupun kemiskinan dan kesusahan dilalui sering dipandang rendah bahkan hina di mata segelintir manusia.

Bahkan Rasulullah SAW memuji utusan Abdul Qais yang apabila ditanya apakah makna maruah diri, mereka menjawab, maruah itu adalah kesucian dan pekerjaan (yang baik).

Dalam konteks hari ini, kejayaan umat Islam yang komited bekerja bukan saja untuk menyara kehidupan atau mencari kepuasan diri, malah ia mampu memelihara maruah, imej bangsa dan agama. Jihad inilah sering kali terlepas dalam perkiraan fikiran apabila kita sering memikirkan 'periuk nasi' dan nasib sendiri semasa bekerja.

Usaha secara komited juga diletakkan pada tahap jihad ke jalan Allah seperti mana Kaab bin Ajrah meriwayatkan, Rasulullah SAW berjalan bersama sahabat di depan seorang lelaki yang dikagumi kesungguhan dan ketekunannya bekerja oleh sahabat.

Lalu ditanyakan kepada Baginda sama ada apa yang dikerjakan itu adalah di jalan Allah? Maka Baginda bersabda: "Jika dia keluar bekerja untuk keperluan anaknya, maka dia keluar di jalan Allah. Jika dia keluar bekerja untuk ibu bapanya yang sudah lanjut usia, maka dia di jalan Allah, jika ia bekerja untuk menyucikan dirinya, maka dia keluar di jalan Allah. Tetapi jika dia berusaha kerana riak dan untuk bangga diri, dia keluar di jalan syaitan." (Hadis riwayat Tabrani)

Komited juga bermaksud melakukan sesuatu tugas secara berterusan walaupun berada dalam zon selesa ataupun sengsara. Peringatan Rasulullah SAW teruskan menanam jika terdaya untuk berdiri walaupun hari kiamat telah tiba adalah gambaran kualiti dan komitmen kerja.

Namun, bekerja dengan komited bukan semata-mata bergantung kepada kesungguhan dan ketekunan tetapi hendaklah selaras dengan kualiti atau piawaian ditetapkan syarak. Dalam piawaian Islam, kualiti adalah fardu kerana tanpa kualiti sesuatu tindakan boleh menjadi tidak sah.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewajibkan kebaikan atas segala sesuatu, maka jika kamu membunuh, bunuhlah dengan cara paling baik, apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara paling baik. Hendaklah seseorang di antara kamu mengasah pisaunya dan merehatkan sembelihannya." (Hadis riwayat Muslim)

Marilah kita menguatkan tekad berusaha dan bekerja secara 'luar biasa' dengan strategi komited bagi memenuhi piawaian kualiti mencapai kejayaan semaksimum mungkin yang dijanjikan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan masing-masing memiliki darjat menurut apa yang mereka kerjakan. Dan agar Allah mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan mereka, sedang mereka tiada dirugikan." (Surah al-Ahqaf, ayat 19)

Oleh Sharifah Hayaati
* Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar'iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...