INILAH salah satu surah yang telah mengubah kehidupan seorang mubaligh kristian yang juga merupakan seorang pakar matematik serta mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian dari Kanada bernama Dr. Gary Miller.
Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran itu yang dianggap sebagai satu keajaiban.
Selain ia membicarakan persoalan duniawi dan ukhrawi manusia dalam segala aspek kehidupan, Dr. Miller turut terkesima waima dirinya seorang yang suka mencari bukti secara saintifik dan logik, disebabkan latar belakangnya.
Ditambah pula, ada antara ayat suci dalam al-Quran itu mencabar masa depan dengan hal-hal yang manusia sendiri tidak dapat meramal atau menjangkakannya.
Salah satu contohnya ialah daripada surah di atas ini. Ia berkenaan hubungan antara Muslim dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi Muslim. Hal itu berlaku sampai sekarang di mana musuh bagi umat Islam adalah orang Yahudi.
“Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian.
“Sebenarnya, saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam.
“Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja. Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya,” akui Dr. Miller.
Beliau akhirnya menyedari dan mengakui kebenaran al-Quran.
Kata Dr. Miller, beliau cuba mencari kisah kesukaran atau detik kesedihan Rasulullah apabila kematian isteri dan bapa saudaranya, tetapi tidak jumpa. Begitu juga dengan surah Aisyah, surah Fatimah dan surah Khadijah.
“Apa yang saya temui ialah tentang Maryam (surah Maryam). Sedangkan dalam kitab Injil tidak ditemui langsung.
“Malahan dalam al-Quran Al-Masih Isa disebut sebanyak 25 kali. Sedangkan Nabi Muhammad SAW disebut empat kali sahaja. Hal ini menyebabkan saya makin pening.
“Saya mencari lagi dengan harapan ada kesilapan di dalam al-Quran.
“Saya teruskan pembacaan dengan lebih teliti lagi. Namun sebaik sampai ke surah an-Nisaa’ ayat 82, saya tambah terkejut,” katanya.
Ujarnya, salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah untuk mencari kesalahan atau mencari kesalahan dalam teori sampai itu terbukti benar.
Apa yang menakjubkan Dr. Miller, bahawa al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan di dalamnya.
“Tidak ada penulis di dunia ini memiliki keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa hal itu sifar kesalahan.
“Namun al-Quran, sebaliknya. Ia memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta anda untuk cuba mencari waima satu kesilapan. Yang pastinya, anda tidak akan menemui apa pun.
“Apabila saya bertemu pula dengan surah al-Anbiya’ ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1973 dan ia adalah mengenai teori ledakan besar.
“Ia menjelaskan teori tentang alam semesta adalah hasil daripada sebuah letupan besar yang mengarah pada pembentukan alam semesta dengan langit dan planet,” katanya.
Antara tulisan beliau yang menarik adalah The Amazing Quran (Quran Yang Mengagumkan).
Dalam karyanya ini, beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifiK.
pengajarandantauladan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan