Ahad, 29 Julai 2012

9 Keistimewaan Bulan Ramadhan

Assalamua’laikum.
Pejam celik pejam celik, berbuka puasa petang ni menjadikan kita sudahpun berpuasa 09 hari. Masa dirasakan berlalu pantas. Kadang-kadang kita rasa tak cukup untuk siapkan semua kerja dan tugasan yang ada. Hakikatnya, kita semua diberi 24 jam sehari. Cukup atau tak, itulah masa yang kita ada untuk berbakti (ibadah) dalam apa juga kerja yang kita lakukan. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ni. Makanya, ambe nak kongsikan 9 keistimewaan/hikmah bulan Ramadhan yang sememangnya 100% tiada dalam bulan-bulan yang lain.

Ramadhan bermaksud panas yang sangat terik. Dinamakan Ramadhan kerna pada bulan tersebut, tanah Arab cuacanya panas, terik dan kering. Ironinya, kepanasan yang terik dan kering itu diharap dapat membakar kotoran timbunan dosa yang kita lakukan dengan menghidupkan bulan Ramadhan. Maka, bulan Ramadhan diberi pula beberapa nama lain untuk menggambarkan keistimewaan dan kelebihan/hikmah yang ada dalam bulan Ramadhan.




  1. Saiyidus Syuhur (penghulu sekalian bulan): Kenapa penghulu? Kerana dalam bulan ini saja kita akan berpuasa sebulan tanpa henti, berpeluang untuk solat terawih, adanya zakat fitrah, Lailatul-qadar, nuzul Al-Quran, tadarus Al-Quran, kelebihan bersedekah yang berlipat kali ganda, qiamullail, iktikaf dsb. Bulan lain boleh solat terawih?
  2. Syahrul Syiam (bulan puasa): Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan ibarat kursus persediaan jangka pendek untuk persiapan masa jangka panjang. Bukan setakat kita puasa nafsu perut, malah nafsu mulut yang suka mengata dan bercerita aib orang, nafsu tangan menulis fitnah, semuanya perlu kita didik untuk menjadi manusia yang lebih baik. Contohnya mudah saja, kalau kita masih lagi berbelanja besar di bazar, itu petandanya kita masih gagal mendidik salah satu nafsu kita. Bagaimana kita?
  3. Syahrul Quran (Bulan Quran): Nabi s.a.w telah bersabda, ” Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada para hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhanku aku telah menghalangnya daripada makan dan minum serta mengikutnya syahwat pada siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya”. Al Quran berkata: ” Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku member syafaat kepadanya, lalu diterimalah syafaat keduanya”(Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Abi dunya, al-Tabrani dan Hakim). Apakah kita masih lagi ragu-ragu dan malas untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran?
  4. Syahrul Sabr (Bulan Kesabaran): Puasa dan sabar memang bak aur dengan tebing. Mesti ada beza antara orang yang betul-betul berpuasa dengan mereka yang sekadar dapat lapar dan dahaga. Contohnya, kita kadang-kadang naik hangin juga bila banyak pemandu tak ikut aturan. Mulut kalau ikut hari biasa, laju saja nak kata itu dan ini. Maka, inilah saatnya untuk kita mengajar hati dan mulut kita untuk bersabar. Katakan dalam hati yang kita sedang berP.U.A.S.A.
  5. Syahrul Rahmah (Bulan Kerahmatan): Nabi bersabda,  “Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan di akhirnya dibebaskan dari api neraka”
  6. Syahrul Magfirah (Bulan Keampunan)
  7. Syahrul Najah (Bulan Kemenangan dan bebas dari api Neraka): Antaranya ialah kemenangan di dalam Peperangan Badar al-Kubra (17 Ramadhan) dan kejayaan menawan Kota Makkah dari tangan kafir quraisy dan memasuki kota Makkah.
  8. Syahrul Jud (Bulan Murah Hati): Tiba-tiba dalam bulan puasa kita menjadi pemurah. Bukankah ini petandanya bulan ini ‘bulan murah hati’ dan bulan penuh rahmat? Nabi bersabda, “Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (Hadis  Riwayat Tirmidzi).
  9. Syahrul Barakah (Bulan Keberkatan): Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan ( dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu Neraka, dibelenggu Syaitan ( supaya tidak mengganggu umat Muhammad S.A.W daripada melakukan pelbagai ibadat), di dalam ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya”
Subhanallah. Banyak bebenor hikmah bulan Ramadhan yang Allah janjikan untuk kita. Takkan kita nak tengok saja orang lain berlumba-lumba merebutnya? Biarlah orang berebut ke bazar, tapi kita berebut bersedekah. Biarlah orang lain berebut membeli-belah, kita berebut membaca al-Quran. Kang cantik kalau kita semua berebut ganjaran yang Allah janjikan ni? Betul tak?
@hafizmd – Mungkinkah ini Ramadhan terakhir kita? Jom, kita hidupkan Ramadhan sehabis baik. InsyaAllah.
Sumber asal artikel: Unit Penerangan & Penerbitan, JAIS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...