KUALA LUMPUR: Perodua memanggil semula 74,000 varian Myvi
baharu, yang dibina antara Mac 2011 dan Mac 2012, menerusi kempen langkah
pencegahannya, bagi menggantikan lajur stereng kuasa elektronik (EPS) model
berkenaan.
Pembuat kereta kompak itu berkata ia bertujuan memastikan
pemilik Myvi baharu ini menikmati prestasi optimum kenderaan masing-masing.
Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata kempen
itu perlu memandangkan prestasi kereta mungkin tidak berada pada kedudukan
terbaik dan mungkin menjejaskan sebahagian respons masa pemandu pada kelajuan
rendah.
"Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Perodua,
masalah itu boleh dikesan apabila penunjuk EPS menyala, dan pemandu mendapati
rasa berat pada kelajuan antara 30 dan 40 kilometer sejam.
"Ini boleh dibaiki sementara dengan mematikan enjin dan
menghidupkan semula kereta, namun untuk pembaikan kekal dan mengurangkan
kemungkinan risiko ke atas pelanggan, kami meminta mereka membuat temu janji di
mana-mana 170 pusat servis kami di seluruh negara untuk penggantian lajur
EPS," katanya menerusi satu kenyataan.
Aminar berkata syarikat kereta itu sudah menghantar surat
makluman kepada pelanggan yang terlibat, dan Perodua akan menyerap semua kos
penggantian lajur EPS terbabit.
Tempoh akhir kempen itu tidak ditetapkan.
Pelanggan bagaimanapun digalakkan membuat temu janji secepat
mungkin memandangkan lebih baik untuk mereka memastikan penggantian dilakukan
dengan lancar dan teratur. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan