Selasa, 15 Januari 2013

Semperna Bulan Maulidur Rasul

Pengertian Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.


Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;








1. Kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad Rasulullah saw.

Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa Nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.

2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul.

Dibulan Rabiulawal inilah Nabi Muhammad saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi Muhammad saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3. Hijrah

Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4. Peperangan.

Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw.

Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah

Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.

7. Pembukaan Iraq

Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

8. Pembukaan Baitul Muqaddis

Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol

Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.


fadhilat

Bulan Rabiulawal adalah seperti bulan-bulan Islam yang lain maka amalan sunat di bulan Rabiulawal adalah sama seperti amalan sunat di bulan-bulan yang lain.

Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan fardu dan sunat tanpa mengira di bulan manapun di sepanjang tahun.

Amalan-amalan kita itu akan menjadi bekalan untuk kita meneruskan perjalanan ke padang mahsyar esok. Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah.

Selain dari itu, kualiti ibadah juga adalah diambil kira. Niat dan keikhlasan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat sesuatu ibadah itu diterima ialah niat.

Niat itu akan menggambarkan keikhlasan kita.Kerja yang ikhlas akan membawa kepada kesempurnaan dan kesempurnaan akan membawa kepada kepuasan dan kepuasan akan membawa kepada ketenangan.

Moga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan ibadat kita agar kita mempunyai bekalan untuk dibawa ke kampung Akhirat esok, InsyaAllah.

Maulidur Rasul

Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap tahun.Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.

Diantara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah.

Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.

Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.

Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.

Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.

Hukum Sambutan Maulidur Rasul

 Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.

Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid'ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.

Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah saw ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Malik Muzhaffar Abu Sa'id penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang. Diantara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;

1. Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah'. Antara lain beliau menyatakan bahawa; "masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah saw. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya."


2. Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail' , menyatakan; "Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala."


3. Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa "dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi saw.
 virtualfriends.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...