Seorang pemuda sedang
dalam satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti
berehat di satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari
makan di situ. Oleh kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah
pokok. Kudanya yang kelaparan merayau di satu kawasan ladang dan meragut
tanaman di situ. Tidak berapa lama kemudian, sang petani yang memiliki
ladang itu pun balik. Melihatkan habis tanamannya musnah, petani itu
hilang kesabaran lalu membunuh kuda yang memakan tamannya.
Apabila terjaga dari
tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak juga berjumpa.
Akhirnya dia ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat
keadaan itu, dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus
meluru ke sebuah rumah berhampiran.Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia
terus menghamun dan berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu
terbunuh.
Peristiwa itu diketahui
orang ramai. Pemuda itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan.
Mengikut hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan
supaya dia dipenjarakan sehari semalam sebelum dia dipancung pada jam
5:00 keesokan petangnya. Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan balik
dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan satu perkara yang amat
mustahak.Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun pemuda itu
tidak berputus asa dan terus merayu sambil menyatakan dia mempunyai
tanggungjawab yang mesti diselesaikan sebelum dia dihukum bunuh. Dia
berjanji akan balik segera sebaik saja urusannya selesai.
Khalifah meminta
pandangan waris si mati. Anak petani itu tidak mengizinkan pemuda itu
pergi kerana bimbang dia tidak akan datang lagi untuk menerima hukuman
mati.Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan datang semula,
namun tiada seorangpun menunjukkan tanda simpati. Akhirnya tampil
seorang tua menuju mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk
menjadi tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke rumah.
Orang tua itu tidak lain
tidak bukan ialah Abu Zar, seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan
Hadith. Melihat apa yang berlaku, semua hadirin tercengang dan
sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya yang membahayakan
diri sendiri. Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan dan membenarkan
pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat kejadian ini, pemuda
itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan pulang semula
untuk dipancung sebaik sahaja urusannya selesai.
Abu Zar faham kegagalan
pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai.Ketika
ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan
membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu
melihat tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing
itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke
rumah sementara Abu Zar pula dikurung di penjara. Pada keesokan
petangnya, penuh sesak manusia menuju ke istana khalifah untuk
menyaksikan episod yang mencemaskan.
Ramai menganggap Abu Zar
akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan datang
menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan berlaku
apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum
tiba. Abu Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu
menghadirkan diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.Di saat
terakhir, orang ramai melihat kelibat seorang lelaki menunggang seekor
kuda dengan amat kencang sekali. Ketika itu riak cemas orang ramai
bertukar menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda itu
sampai genap jam lima petang.
Pemuda itu lantas turun
di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana 'terlambat' menyebabkan
suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai
lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di tengah
perjalanan. Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting dulu
ialah kerana terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga
harta anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya.
Pemuda itu berjumpa Abu
Zar untuk mengucapkan terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan
dirinya sebagai tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan
hukuman pancung. Ketika pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba
anak petani dengan suara yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan
rela hati dia memaafkan kesalahan pemuda itu. Mendengar kata-kata anak
petani itu, pemuda itu amat lega dan terus sujud tanda syukur kepada
Allah.
*Sumber dari islam2u.net / detik islam
*Sumber dari islam2u.net / detik islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan