DALAM mengejar
kemajuan, adab sangat dipentingkan kerana orang yang beradab adalah
orang yang sentiasa mementingkan budi bahasa dan tatasusila sebagai
orang yang beradab. Kita sering mendidik kanak-kanak dan remaja supaya
beradab tetapi orang tua tidak pula beradab dalam berkata-kata dan
perlakuan yang ditunjukkan.
Islam amat menekankan pendidikan adab kepada anak-anak dan juga dalam kalangan keluarga. Islam menetapkan beberapa adab seperti adab berhias diri, adab menjaga orang sakit, adab amar makruf nahi mungkar, adab di tempat rekreasi, adab menjaga kemudahan awam, adab menziarahi jenazah dan adab dalam pergaulan seharian.
Sebagai ibu bapa
pendidikan adab terhadap anak-anak sengat penting. Ibu bapa mestilah
menunjukkan adab dan teladan yang baik. Begitulah seperti kata
peribahasa, seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan ibu
atau bapa ketam tak pernah berjalan betul. Ada ibu bapa melarang
anaknya merokok, sedangkan mereka sendiri adalah perokok tegar.
Bagaimanakah nasihat dan teladan hendak diterapkan kepada anak-anak?
Jawapannya terletak kepada kebijaksanaan ibu bapa tersebut.
Memetik kata-kata
cerdik pandai, adab yang baik adalah seni untuk membuatkan orang berasa
selesa berhubung dengan kita. Sesiapa yang menyebabkan paling sedikit
orang berasa tidak selesa, dialah baka yang terbaik dalam kumpulan itu.
Ingatlah kehebatan
adab terutama adab yang baik yang ditunjukkan oleh seseorang kepada
orang lain. Orang yang beradab sentiasa menjaga percakapan, bicara dan
perlakuannya di mana sahaja dia berada sama ada keseorangan atau di
khalayak ramai.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya
seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah. Kalau
Allah meluaskan adab baginya, maka akan luas adabnya dan menyempitkannya
(menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya." (riwayat Al Hakim).
Begitulah juga kita
seharusnya menjaga adab dengan pemimpin, ibu bapa, guru dan orang yang
lebih tua. Begitu juga kita wajar mempamerkan adab yang baik kepada
kanak-kanak dan orang yang lebih muda sebagai teladan dan ikutan kepada
mereka.
Sebagai renungan,
Wahab Munabin pernah mengingatkan, adab dan akhlak yang buruk seperti
tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat
dikembalikan menjadi tanah. Begitu jugalah manusia yang tidak beradab
dan berakhlak diumpamakan seperti tembikar yang pecah.
Ini membuktikan
adab dan akhlak sangat penting dalam kehidupan, jika adab dan akhlak
kita rosak dan tercemar sukar sekali untuk memperbaikinya. Orang akan
ingat selama-lamanya akan perbuatan yang kita lakukan yang merosakkan
adab dan akhlak. Nabi SAW bersabda: Yang muda mendahului memberi
salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang
berjumlah sedikit kepada yang banyak. (riwayat Bukhari)
Kesempurnaan budi
dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah
lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan
juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung
sejak dahulu hingga sekarang. Menurut Al Bukhari, Nabi SAW lebih malu
daripada seorang gadis dalam pingitannya.
Mempraktikkan adab
yang baik dalam kehidupan sangat digalakkan. Pendidikan adab ini
mestilah dilakukan sejak kecil lagi bagi memperkukuh akidah, ibadah dan
akhlak seseorang. Pendidikan ini juga dapat meneguhkan pendirian atau
istiqamah terhadap perintah Allah dengan penuh keyakinan. Nabi SAW,
bersabda: "Sesungguhnya Allah indah dan senang kepada keindahan. Apabila
seorang keluar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan
dirinya." (Riwayat Baihaqi)
Kebaikan adab juga
akan menunjukkan ketinggian akhlak seseorang. Apabila seseorang itu
beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik. Pendidikan adab
juga akan meliputi pendidikan ibadah, keimanan, akal dan akhlak.
Justeru, adab bercakap juga sangat penting dalam kehidupan. Bercakap
merupakan suatu budaya manusia yang melambangkan hati, sikap dan
fikiran. Oleh itu, peliharalah lidah dan ikutilah adab yang baik semasa
bercakap.
Lantaran itu, Nabi SAW, bersabda: Sesiapa
mempercayai Allah dan hari kemudian (akhirat) maka semestinya dia
bercakap perkataan yang baik ataupun hendaklah dia diam sahaja. (riwayat
Bukhari dan Muslim). Oleh itu, sebagai ibu bapa didiklah anak-anak
dengan bercakap menggunakan perkataan yang baik-baik sahaja.
Natijah, pendidikan
adab dan akhlak mestilah dilakukan secara berterusan. Menjaga aurat,
perlakuan dan percakapan adalah adab yang paling baik. Jika adab
sentiasa dijaga tidak akan ada perbuatan yang membabitkan gejala sosial
yang merosakkan dan menghancurkan masa depan.
Sumber : utusan@Bicara-Agama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan