“Tak aci! Lelaki boleh. Perempuan tak boleh,” keluh seorang remaja
puteri apabila dinasihati ibunya agar tidak memakai baju berlengan
pendek ketika keluar rumah.
“Mana adil! Orang perempuan boleh enjoy duduk rumah,” rungut hati seorang remaja lelaki apabila ayahnya mengajak ke masjid.
Adakah lelaki dan perempuan sama?
APA YANG SAMA?
Ada yang sama. Ada yang berbeza. Bukan sama secara mutlak. Bukan juga berbeza secara mutlak.
Antara aspek yang sama ialah dari segi nilai kemanusian. Kedua-dua
lelaki dan perempuan adalah manusia. Perlu dilayan sebagai seorang
manusia. Bukan dipandang seperti syaitan yang hanya ada keburukan. Atau
dipandang seperti malaikat yang perlu sempurna dan tiada dosa.
Seterusnya aspek bertanggung jawab terhadap dosa dan pahala sendiri,
sama sahaja antara lelaki dan perempuan. Lelaki yang mencuri perlu
dihukum. Begitu juga perempuan yang mencuri. Perempuan yang berzina
perlu dihukum. Begitu juga lelaki yang berzina. Kedua-dua lelaki dan
perempuan akan balik berjumpa Allah dan disoal amalan masing-masing.
Bukan lelaki sahaja yang akan disoal. Bukan juga perempuan sahaja yang
akan disumbat ke neraka.