Sudah masuk kali ketiga Aisyah melontar anak-anak batu ke arah
sekumpulan anak-anak ketam di atas pasir pantai yang memutih itu. Setiap
kali terkena lontaran anak batu, bertempiaranlah anak-anak ketam lari
menyelamatkan diri. Jika dilihat dari jauh, kelihatan warna-warna putih
sedang bergerak dengan pantas sekali. Itulah anak-anak ketam yang sedang
lari ketakutan.
Muslim hanya memandang dari jauh. Dia sengaja membiarkan Aisyah
berbuat demikian. Seingatnya, ini adalah kali kedua dia membawa Aisyah
bersiar-siar di tepi pantai selepas sebulan mereka mendirikan
rumahtangga. Kali pertama dahulu di Teluk Batik, Perak. Dan kali ini, di
kediamannya sendiri, Pulau Langkawi.
Sebenarnya dia mahu menghabiskan cuti hujung minggu kali ini bersama
kedua ibu bapanya. Lalu dibawa bersama isteri tercinta pulang bersama ke
kampung.