Budak kurang tidur memberontak 
 Anak perlu berada dalam suasana tenang sebelum tidur supaya mendapat kualiti tidur yang baik. - Gambar hiasan
Mereka cenderung bertingkah laku negatif di sekolah, rumah

Kajian Universiti Collage London baru-baru ini, menunjukkan kanak-kanak yang tidur konsisten, cenderung mempunyai masalah tingkah laku di sekolah dan di rumah.
Malah, penyelidik mendapati, apabila kanak-kanak mula tidur pada waktu konsisten, tingkah laku mereka mula bertambah baik.

Ketua kajian dari Universiti Collage London, Yvonne Kelly, berkata jika kanak-kanak sentiasa berubah jumlah tidur atau bertukar lokasi tidur ia mungkin menyebabkan sistem badan menjadi terganggu dan memberi kesan kepada aktiviti hari berikutnya. 
 

Data analisis itu dijalankan ke atas lebih 10,000 kanak-kanak. Mereka adalah sebahagian daripada kajian jangka panjang terhadap bayi yang dilahirkan di United Kingdom mengenai masalah tidur dan tingkah laku.

Bagaimanapun, ia tidak membabitkan kanak-kanak yang mengalami masalah Attention Deficit-Hyperactivity Disorder (ADHD) atau gangguan spektrum autisme.

Apabila kanak-kanak berusia tiga tahun, hampir 20 peratus daripada ibu bapa memberitahu, anak tidak mendapatkan tidur dalam masa konsisten membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun sebanyak sembilan peratus manakala tujuh tahun, lapan peratus.
Kajian menunjukkan, kanak-kanak yang tidak mendapat tidur konsisten cenderung terhadap masalah tingkah laku negatif seperti berpura-pura tidak mengalami keseronokan hidup, bergaduh dan tidak bertimbang rasa.

Skor kajian dikira pada penilaian 0 hingga 40 dan didapati, kanak-kanak yang tidak mendapat tidur konsisten biasanya mendapat skor tingkah laku 8.5 secara purata manakala kanak-kanak yang mendapat tidur konsisten sebelum jam 9 malam memperoleh skor antara 6.3 hingga 6.9.

Walaupun perbezaan skor tidak begitu ketara, pengkaji melihat perbezaan kecil atau sederhana yang diperoleh itu memberi impak kepada kanak-kanak dan cukup bermakna.

Masalah tingkah laku

Pasukan kajian pakar pediatrik juga melaporkan, ibu bapa sendiri memberitahu anak mereka yang tidak mendapat tidur mencukupi juga dilihat membesar dengan mengalami masalah tingkah laku.

Begitu juga disifatkan guru pelajar berusia tujuh tahun yang memaklumkan kanak-kanak yang tidak mempunyai tidur konsisten adalah kanak-kanak yang mendapat markah rendah.

Bagaimanapun, apabila kanak-kanak terbabit mendapat tidur mencukupi, skor penilaian mereka bertambah baik. Ini turut disokong oleh galakan ibu bapa kepada anak supaya tidur dalam waktu yang ditetapkan.

Pakar Pediatrik Universiti SDt Joseph. Philadelphia, Jod Mindell, pula berkata adalah amat sukar mengetahui adakah masalah tingkah laku ini hanya disebabkan oleh tidur yang tidak konsisten atau ia mewakili gambaran yang lebih besar dan lebih daripada masalah tidur sendiri.

Bagaimanapun, Mindell, berkata memastikan anak tidur awal dan pada masa konsisten dilihat sebagai satu perkara yang amat penting.

Oleh itu, elakkan anak menonton televisyen sebelum tidur, sebaliknya disyorkan supaya babitkan aktiviti baru dan memupuk ketenangan seperti membacakan buku cerita.

Malah, rutin masa tidur berkualiti keluarga juga memainkan peranan kepada kanak kanak untuk mencontohinya.

Tambah Mindell, ibu bapa sendiri perlu menjadikan tidur sebagai keutamaan dan mereka perlu sedar ia mempunyai kesan besar bukan saja pada hari itu, tetapi pada keesokannya, minggu depan dan tahun depan. - REUTERS 
BERITA HARIAN