Isnin, 14 April 2014

Kewajipan Menutup Aib Saudara Sesama Islam

Seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya hendaklah sentiasa menjaga kehormatan dan aib saudaranya. Segala kekurangan yang ada hendaklah ditutup dan janganlah diceritakan kepada orang lain. Allah SWT akan memberi ganjaran yang besar dan akan menutup aibnya di hari akhirat kepada mereka yang mengelakkan diri daripada mengumpat dan menceritakan keaiban saudaranya kepada orang lain semata-mata untuk menjaga maruah diri saudara seagama.

aib_ditutup
Sebagai seorang muslim hendaklah menjaga aib saudaranya




Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : “Tidaklah seorang hamba menutupi aurat  (aib) orang lain di dunia kecuali Allah SWT menutupi auratnya (aibnya ) di akhirat “ (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain pula Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya  :

“Muslim adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya (tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat.
(Hadis Riwayat Muslim).

Dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : “Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat (aib) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Allah SWT cinta untuk menutupi aib makhlukNya, dan memerintahkan supaya menutupi aib orang lain, oleh kerana itu Allah mengharamkan tindakan mata-mata (mencari-cari) dan melarangnya, dan Rasulullah SAW telah memberitahukan bahawa siapa saja yang menutupi aib seseorang, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat, dan melarang mencari-cari aib kaum muslimin dan tindakan memata-matai (mencari-cari) mereka tentang pekerjaan yang mereka sembunyikan.

aib_ditutup1
Orang yang membuka aib saudaranya adalah orang yang tidak amanah

Sekarang ini sudah menjadi satu trend bahawa seorang begitu mudah untuk menabur fitnah dan mendedahkan aib seseorang yang menjadi musuhnya sama ada artis sesama artis, ahli politik sesama ahli politik, usahawan sesama usahawan dan pemimpin pertubuhan sesama pemimpin pertubuhan yang lain lagi.

Hari-hari di dada akhbar mendedahkan  pelbagai macam pertelingkahan , perbalahan, tuduh menuduh di antara kumpulan-kumpulan tertentu yang bermusuhan saling mencari kelemahan dan kesalahan lalu mendedahkannya tanpa menyiasat sahih atau tidaknya suatu berita itu. Trend yang biasa dibuat adalah membuat laporan polis, membayangkan seolah-olah apa yang mereka lakukan adalah mempunyai bukti dan kebenaran.

Hakikat sebenarnya perbuatan mereka adalah amat bertentangan dengan ciri-ciri akhlak Islam kerana banyak kes didapati isu-isu yang dibawa hanyalah propaganda kosong yang hanya menambahkan kebencian, permusuhan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

pendapatprof-muhaya
Prof. Dr Muhaya
Di dalam Islam terdapat kaedah untuk menyelesaikan sesuatau perbezaan pendapat iaitu dengan berbincang dan bermuzakarah secara baik dan sopan mengikut lunas-lunas ajaran Islam.
Firman Allah SWT maksudnya : “Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya) , jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisa’ ayat 59).
 
Jika umat Islam tidak kira mereka daripada kumpulan mana , kembali kepada ajaran Islam sebenarnya dan menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan dan ikutan maka umat Islam akan bersatu dan  ukhuwah Islamiah dapat dibina dan ikatan silaturahim dapat disambung semula.  Tidak ada untungnya seseorang mempertahankan pendapatnya yang mungkin betul atau salah, sedangkan melahirkan perpecahan, perbalahan dan memutuskan silaturahim adalah haram dan berdosa besar.

“Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : “Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim”.
(Hadis Riwayat Muslim)

“Dari Abi Hurairah RA dari Rasulullah SAW  bersabda  “Seorang muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka”.
(Hadis Riwayat Nasaie)

Oleh yang demikian,  marilah sama-sama kita buangkan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kita iaitu sifat suka membuat fitnah, mengumpat, mendedahkan aib , menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Sayangkanlah segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan yang kita telah lakukan sejak akil baligh hingga sekarang supaya ianya tidak terhapus begitu saja  disebabkan kita melayan suasana masyarakat yang suka buat fitnah dan mendedahkan aib seseorang dan kita berada bersama-sama kumpulan tersebut.

Ingatlah ketika kita berada di mahkamah keadilan Allah di hari akhirat nanti, ketika itu tidak ada wang ringgit yang akan digunakan untuk menebus dosa-dosa kita, yang akan kita jadikan cagaran adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita kerjakan ketika di dunia. Jika amalan kebaikan dan pahala kita terlalu sedikit bagaimana kita nak tebus dosa-dosa kita yang banyak dan bertambah setiap hari?…

Oleh itu marilah kita banyakkan beristighfar kepada Allah SWT dan memohon maaf kepada sesiapa saja yang kita telah dedahkan aibnya , mengumpat dan menaburkan fitnah. Hanya inilah saja dapat menyelamatkan diri kita daripada menjadi muflis dihari akhirat nanti.  Renung-renungkan…

Dipetik dari  :  abubasyer
 http://bicarasantai.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...