Kecerdasan
emosi membawa pengertian keupayaan untuk mengawal perasaan dan emosi
diri sendiri. Keadaan emosi stabil meletakkan makhluk bergelar manusia
berada pada martabat termulia jika dibandingkan dengan kedudukan haiwan
yang tidak dianugerahkan akal dan emosi.
Manusia yang memiliki kecerdasan emosi dapat memimpin diri dan orang lain dalam membuat tindakan atau pemikiran.
Pakar transformasi diri, Prof Dr Muhaya Muhammad, menerusi
rancangan Tarbiah yang disiarkan setiap Jumaat, jam 10.15 pagi
menyatakan bahawa individu yang memiliki kecerdasan emosi berupaya
membina motivasi diri yang tinggi, dapat mengawal emosinya dengan baik
dan menguruskan perasaan negatif yang menghalangnya untuk bertindak
dengan betul.
Malah, katanya, bagi individu yang memiliki emosi yang waras dapat
memahami perasaan orang lain, membina semangat kerjasama dan begitu
juga dalam aspek kepimpinan yang lebih menyerlah.
Empat elemen kecerdasan emosi
Mereka ini dapat menjalin perhubungan persahabatan secara lebih teguh selain setia terhadap perhubungan.
Dr Muhaya menyatakan bahawa kecerdasan emosi mempunyai empat elemen
utama iaitu kesedaran mengenai diri, keupayaan untuk mengurus diri,
kesedaran sosial dan kemahiran untuk bermasyarakat.
"Seseorang itu dapat memahami kecerdasan emosi diri mereka melalui
beberapa petanda. Justeru, seseorang yang mahu membina kecerdasan emosi
juga perlu menerapkan prinsip tertentu supaya dapat membina emosi yang
boleh mengembangkan kebaikan dalam dirinya," katanya.
Emosi adalah satu komponen penting yang tidak boleh dipendam tetapi
harus disalur ke dalam bentuk yang positif untuk menghasilkan tindakan
yang lebih memberi manfaat.
Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai impian untuk membeli
rumah, keinginan untuk mendapatkan rumah tidak boleh hanya menjadi satu
mimpi saja sebaliknya keinginan itu hendaklah disertakan dengan niat,
tujuan dan matlamat untuk memiliki rumah berkenaan.
Begitu juga dengan sesiapa yang mempunyai cita-cita, tetapi tidak
tahu bagaimana untuk mencapainya. Oleh itu, Dr Muhaya menyarankan orang
ramai memulakan setiap hari dengan niat yang bakal membawa kita untuk
fokus terhadap apa yang kita mahu capai dalam kehidupan ini.
Petanda seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi adalah apabila
dirinya terarah kepada beberapa prinsip, antaranya nilai kasih sayang
tinggi dalam dirinya.
Jiwa penyayang mudah sebar kebaikan
Ini kerana orang yang emosi paling cerdas adalah orang yang penuh
dengan perasaan kasih sayang. Jiwa penyayang mudah untuk menebarkan
kebaikan kepada orang lain kerana melalui kasih sayang akan membina
perhubungan yang lebih positif dan terbina.
Selain itu kecerdasan emosi juga akan dapat membina perasaan hormat
terhadap diri sendiri dan orang lain. Orang yang terbina kecerdasan
emosinya bertindak dengan lebih banyak meletakkan kepentingan orang lain
mendahului keinginan dirinya sendiri.
Ini kerana orang yang menghormati dirinya akan menghormati orang
lain, malah orang yang tidak menghormati dirinya tidak akan menghormati
orang lain. Justeru bagi seseorang yang mempunyai emosi yang stabil akan
memiliki daya hormat yang begitu tinggi terhadap dirinya dan
orang-orang di sekelilingnya tanpa mengira siapapun mereka.
Ketiga, kecerdasan emosi dapat dinilai melalui perasaan yang
menghargai. Orang yang dalam hatinya penuh penghargaan terhadap orang
lain lebih mudah mendapat penghargaan dirinya sendiri.
Penghargaan adalah satu aspek yang sangat penting kerana ia ada
kaitan dengan sistem nilai terhadap diri sendiri. Orang yang mempunyai
rasa menghargai lebih mudah untuk menerima apa saja yang menimpa dan
mempunyai perasaan menerima lebih terbuka. Dengan kata lain mereka yang
menghargai ini mempunyai jiwa kasih sayang yang amat tinggi.
Keempat, kecerdasan emosi murah hati sebagai satu nilai yang
meletakkan diri seseorang ke tahap tinggi. Orang yang bermurah hati
mempunyai jiwa yang tenang dan lapang. Ini kerana orang yang murah hati
akan mudah senyum, mudah menerima teguran, mudah untuk memberi, sentiasa
bersyukur, tidak kedekut, dan suka bersedekah.
Begitu juga orang yang murah hati akan cepat merasa belas kasihan
terhadap orang lain dan hatinya mudah lembut dan cepat tersentuh.
Ciri-ciri yang dinyatakan itu tidak akan ada bagi mereka yang
mempunyai emosi negatif, kerana orang yang selalu berfikiran salah dan
mudah bersangka buruk tidak akan dapat menilai sesuatu kebaikan malah
selalu melihat perbuatan yang betul dari kacamata yang serong.
Maka, orang ini selalu tidak akan dapat merasai nikmat kejayaan walaupun dirinya selalu menerima kebaikan.
Orang yang mempunyai kecerdasan emosi akan lebih bermotivasi
menjalani kehidupan, kerana apa saja yang ada depan mata, digunakan
sebagai satu peluang untuk meraih kejayaan. Bagi mereka, persekitaran
itu adalah elemen penting untuk membina kejayaan dan mempunyai keyakinan
diri yang tinggi untuk mencapai matlamat kehidupan dunia dan akhirat.
Hargai masa
Mereka yang mempunyai emosi baik selalu menghargai masa dan
persekitaran kerana orang yang berjaya adalah yang menguasai waktunya
dengan betul.
Begitu juga bagi orang yang sentiasa mengutip buah kejayaan
sentiasa menamakan azam dalam dirinya untuk menggunakan waktu sekarang
untuk membina buah kejayaan.
"Melalui emosi yang positif ini juga sebenarnya kita boleh mencipta
diri sendiri seperti selalu memasang azam dan kata-kata motivasi
seperti "saya adalah seorang yang solehah atau baik". "Saya seorang yang
berakhlak terpuji", "saya seorang yang berjiwa kental dan tidak mudah
mengalah".
"Jika kita fokus dan memasang magnet emosi yang positif, kita akan
dapat hasil yang menggembirakan, berjaya, baik dan apa saja bentuk emosi
positif yang kita mahukan," katanya.
Kekuatan emosi dengan diiringi keinginan yang tinggi akan membantu kita untuk mencapai kehendak kita dalam kehidupan ini.
Oleh sebab itu, kita hendaklah selalu memandu fikiran dan emosi
untuk memilih elemen kebaikan supaya kita berjaya untuk menjadi orang
yang bermanfaat untuk sesiapa saja.
Daya kecerdasan emosi juga mampu membawa kejayaan kepada seseorang dalam mencapai matlamat pekerjaannya.
"Apabila kita selalu positif dan berakhlak baik, kita akan melayani
orang sekeliling dengan baik, bermotivasi dalam menjalankan tugasan
akan meningkatkan produktiviti kerja dengan lebih tinggi," katanya.
Begitu juga dengan kecerdasan emosi akan menyerlahkan aspek
kepimpinan diri seseorang. Orang yang mempunyai kematangan emosi dan
fikiran yang positif lebih mudah mengawal situasi dan mengurus emosi
orang lain.
Sebagai contoh seorang Ketua akan mewujudkan suasana kerja yang
lebih harmonis dalam kalangan kakitangannya, dan dengan itu dapat
membina sebuah organisasi yang lebih cemerlang.
Oleh yang demikian, jangan sesekali membiarkan perasaan negatif
memakan diri kita yang akhirnya merugikan kehidupan kita sendiri.
Sesungguhnya masa yang berlalu tidak akan datang kembali lagi. Hargailah
waktu yang kita ada, insan yang kita miliki dan kehidupan yang sedang
kita jalani.
Prof Dr Muhaya Muhammad beri petua bentuk kecerdasan emosi dalam mencapai matlamat hidup dalam Tarbia
berita harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan