Jumaat, 13 Januari 2012

Erti sedekah

Sedekah merupakan amalan yang amat dianjurkan di dalam Islam.  Islam menganjurkannya bukan sahaja untuk mengimbangkan jurang golongan miskin dan kaya di dalam masyarakat semata-mata, malah lebih dari itu ia mendidik keyakinan dan pegangan aqidah umatnya akan  kekuasaan Allah swt.
Maka, asas yang paling penting dalam amalan bersedekah adalah keyakinan ini, sedekah yang dilakukan tanpa menjadikan keyakinan ini sebagai asas boleh bertukar sia-sia.  Bagi mereka yang bersedekah ikhlas kerana Allah swt, Allah menjanjikan balasan berlipat ganda sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran;

Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuah tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah:261)

Terdapat satu silap faham yang amat meluas dalam masyarakat Islam pada hari ini, iaitu menganggap sedekah hanya pada menginfakkan harta berbentuk material atau sesuatu yang bernilai (tangible).  Ini adalah salah faham dalam mentakrifkan harta dalam Islam.

Harta di dalam Islam ditakrifkan sebagai sebarang kelebihan, kepunyaan, ilmu dan lain-lain yang berada dalam possession (penguasaan) kita.  Ia boleh ditakrifkan sebagai wang, barangan, masa, idea, pertolongan, tenaga, senyuman dan pelbagai lagi.  Titik persamaan dalam segala ini ialah ia memudahkan, menyenangkan, menenangkan manusia lain yang menerimanya.

Apabila Allah berjanji untuk melipatgandakan segala yang diberikan ikhlas keranaNya, balasan Allah itu boleh datang dalam pelbagai bentuk jua, ia boleh jadi masa yang amat berkat, membolehkan kita menyelesaikan segala urusan dengan baik.  Boleh juga hadir dalam bentuk bantuan-bantuan manusia lain di saat kita kesusahan, dipertemukan dengan orang-orang yang baik dan ikhlas dna pelbagai lagi.

Agak pelik apabila manusia yang memberi sumbangan dengan wang mengharap simpanannya dilipatgandakan, mengharap gajinya dinaikkan majikan dan pelbagai lagi.  Hal ini berlaku apabila seseorang mengaggap wang dan material yang menjamin kemudahan hidupnya, kecukupan itu adalah dari Allah, bukan tingginya harta simpanan kita

Dan adapun orang yang kikir dan merasa dirinya cukup (tidak perlu pertolongan Allah), serta mendustakan (pahala) yang terbaik, maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kesukaran (kesengsaraan).  Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila dia telah binasa.” (al-Lail:8-10)

Di antara tanda-tanda orang yang memberi sedekah tanpa ikhlas hatinya kepada Allah swt adalah mereka ini memberi dan mengungkit-ungkit akan pemberian itu.

‘Kau dulu kalau aku tak tolong, apa jadi sekarang?’

‘Dulu, kalau aku tak buat pinjaman untuk ubah suai rumah ni, macam tongkang pecah lah jawabnya.’

‘Itu semua idea aku tu, kalau tak projek kau ni takkan berjaya punya.’

‘ Kau dulu waktu kau tiada kerja, aku tolong kau, macam ini kau balas kat aku?’

Kata-kata seperti di atas itu umpama menuntut balasan dari manusia akan segala yang diberikan kepada mereka.  Maka sedekah mereka di waktu itu bukan lagi di atas niat kerana Allah, matlamat untuk memperkuatkan keyakinan kepada Allah itu sudah tiada, keyakinan bahawa segala kelebihan yang dimiliki di waktu itu kerana Allah telah hilang.

Allah mengingatkan kita;

Wahai orang-orang yang beriman!  Janganlah kamu merosak sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima), seperti orang yang menginfakkan hartanya kerana riya’ kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhir.  Perumpamaannya (orang itu) seperti batu yang licin di atasnya ada debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu licin lagi.  Mereka tidak memperoleh sesuatu apa pun dari apa yang mereka kerjakan.  Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” (al Baqarah:264)

Amalan sedekah mestilah didasari di atas keyakinan yang mutlak bahawa yang akan mebalas ini adalah Allah dan hanya Allah.  Apa balasan yang akan diterima serahkan sahaja kepada Allah, jadikan sedekah itu sebagai latihan untuk meyakini kemurahan rezeki dari Allah swt.

Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari redha Allah dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali ganda.  Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai).  Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (al Baqarah:265)

Kesimpulan dari apa yang dibincangkan di sini ialah;
  1.  Memberi mesti ikhlas kerana Allah, iaitu membina keyakinan terhadap keberkatan rezeki.
  2. Sedekah bermatlamat bukan semata untuk kestabilan sosial, tetapi juga dalam melatih hati dan menetapkan aqidah dengan lebih kuat.
  3. Sedekah tidak terhad kepada harta material semata, sedekah adalah amalan yang boleh diamalkan semua orang walau tidak berharta.
  4. Jangan sesekali merosakkan sedekah dengan mengungkitnya, cukup berharap balasan Allah semata.
mamsyashraf.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...