Pengarah pusat selesema Pertubuhan Kesihatan Dunia di Hospital
Penyelidikan Kanak-kanak St. Jude, di Memphis, Tennessee, Richard Webby
berkata, turutan genetik H7N9 menimbulkan kebimbangan tentang potensi
penyebaran wabak secara global.
Bagaimanapun,
katanya, agak mustahil untuk memberikan anggaran tepat tentang perkara
itu."Pada peringkat ini, tidak mungkin virus itu menjadi pandemik,''
kata beliau. Webby menjelaskan bahawa H7N9 mempunyai penanda genetik
menunjukkan virus itu mampu menjangkiti manusia.
Katanya,
jika itu berlaku, satu wabak besar boleh tersebar, lebih
buruk daripada penyebaran virus-virus selesema burung sebelum ini
seperti H5N1 yang pernah muncul sedekad lalu. Buat masa ini, H7N9 di
China mengakibatkan empat kematian dan sekurang-kurangnya sembilan orang
telah dijangkiti virus itu.
Masih tidak jelas bagaimana mangsa boleh dijangkiti virus itu dan
masih tidak ada bukti H7N9 boleh merebak dengan mudah dalam kalangan
manusia. Apa yang pasti, H7N9 boleh berjangkit menerusi ternakan ayam dan itik
tanpa membuatkan haiwan itu jatuh sakit, sekali gus menyukarkan saintis
mengesan kuman itu dalam ternakan. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan