Ahad, 23 Februari 2014

Sejarah Sistem Kabinet Pertama Di Malaysia

Pada 9 April tahun 1951, satu percubaan untuk berkerajaan sendiri di mulakan di Persekutuan Tanah Melayu apabila buat pertama kalinya enam orang 'Ahli Tidak Rasmi' dari Perkhidmatan Awam telah dilantik mengetuai urusan pentadbiran beberapa buah Jabatan Kerajaan bertaraf Kementerian dan untuk turut sama bertanggungjawab menggubal dasar kerajaan.

Perlantikan adalah untuk mewujudkan satu sistem pemerintahan secara kabinet yang dipanggil 'Sistem Ahli' dalam usaha mencapai matlamat berkerajaan sendiri. Enam orang 'Ahli Tidak Rasmi' yang dilantik itu ialah:
 

Datuk Onn Jaafar
Ahli bagi Hal Ehwal Dalam Negeri

Dr. Lee Tiang Keng
Ahli bagi Kesihatan

Datuk E.E.C. Thuraisingam
Ahli bagi Pelajaran

Mr. J.D. Mead
Ahli bagi Kerja Raya dan Perumahan

Datuk Mahmud bin Mat
Ahli bagi Tanah dan Galian serta Pengangkutan

Tengku Yaakub (Raja Muda Kedah)
Ahli bagi Pertanian dan Perhutanan

Datuk Onn Jaafar

Mereka ini pula akan bekerjasama dengan lima orang 'Ahli Rasmi' dari Perkhidmatan Awam. ahli-ahli Rasmi ini ialah:

Mr. R.T. Bingham
Setiausaha Hal Ehwal Orang-orang Cina

Mr. D.C. Watherson
Setiausaha Pertahanan

Mr. O.A. Spencer
Ahli bagi Hal Ehwal Ekonomi

Mr. E.B. David
Ahli bagi Perhubungan, Perusahaan dan Sosial

Mr. J.O. Sanders
Ahli bagi Keretapi dan Pelabuhan

Mr. P.O. Wickens seorang Pegawai Perkhidmatan Awam yang memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha di Ibu Pejabat Polis Persekutuan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan iaitu satu jawatan yang baharu diwujudkan.

Kerajaan juga mengumumkan perlantikan pegawai-pegawai tetap sebagai setiausaha-setiausaha kepada ahli-ahli di atas. Mereka ialah:

Mr. J.P. Hannyington
Setiausaha kepada Ahli bagi Hal Ehwal Dalam Negeri

Mr. T.E. Hughes
Setiausaha kepada Ahli bagi Kesihatan

Mr. L.H.N. Davis
Setiausaha kepada Ahli bagi Pelajaran

Mr. P.C. Bayrne
Setiausaha kepada Ahli bagi Kerja Raya dan Perumahan

Mr. F.M. Smith
Setiausaha kepada Ahli bagi Tanah dan Galian serta Pengangkutan

Mr. A.J.D.C. Loch
Setiausaha kepada Ahli bagi Pertanian dan Perhutanan

Wajah Bangunan Parlimen sekarang.

Di bawah Sistem Ahli ini urusan pentadbiran tidak lagi berpusat di bawah kuasa Ketua Setiausaha. Tugas-tugas Ketua Setiausaha telah bertukar dari 'Ketua Pentadbir' kepada Penyelaras Kementerian yang sebanding dengan Perdana Menteri.

Demikian juga Sistem Ahli ini melibatkan penyemakan semula peranan Pesuruhjaya Tinggi. Apabila tanggungjawab mengenai dasar kerajaan yang semakin bertambah dipikul oleh Ahli-ahli yang berportfolio, kedudukan Pesuruhjaya Tinggi sebagai pegawai yang mempengerusikan majlis Perundangan menjadi ganjil dan bertentangan dengan hasrat untuk menuju matlamat kerajaan berparlimen.

Akhirnya dalam bulan September 1953, lapan belas bulan selepas penubuhan rasmi Sistem Ahli, Pesuruhjaya Tinggi bersara dari jawatan Pengerusi Majlis Perundangan dan digantikan dengan seorang 'Speaker' yang mempunyai peranan yang sama dengan 'Speaker' di Dewan Rakyat (House of Commons).

Dengan adanya Sistem Ahli ini pemindahan tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah kerajaan bersendiri dapat dilakukan. Ia juga memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik memahami dan menyedari kerumitan-kerumitan yang dihadapi oleh sesebuah kerajaan yang merdeka.


Dipetik dari "Hari Ini Dalam Sejarah" terbitan Arkib Negara Malaysia, 1990.
 bluesriders.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...