Ahad, 16 Februari 2014

Kisah Benar - Pernah tak anda kehilangan orang tersayang? (Kena Baca)

Saya nak kongsi coretan pengalaman seorang pembaca blog PHT. Ia cukup menyentuh hati dan emosi saya.

Demi Allah, air mata saya mengalir deras tatkala membaca coretannya. Saya dapat bayangkan dan merasai kesedihan yang beliau alami. Kerana saya juga telah kehilangan ibu dan abah yang sangat disayangi. Ibu saya juga dulu penghidap barah… kanser limfoma, tahap 4.

Siapa yang pernah kehilangan orang tersayang, pasti dapat merasai betapa pilunya hati. Betapa tersentuhnya emosi.
sakaratul maut
Bacalah dengan penuh keinsafan…
 



Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PakarHowTo kerana sudi bertanyakan soalan tersebut kepada saya.
Kalau di ikutkan memang banyak pengalaman pahit dan manis yang kita semua lalui selama menghabiskan sisa-sisa hidup di atas bumi Allah s.w.t yang luas ini.
Tapi kita pendekkan cerita, berbalik kepada soalan tuan, ingin saya ceritakan dan luahkan apa yang ada dalam hati dan fikiran saya.
Baru-baru ini saya baru saja kehilangan seorang insan yang telah membesarkan kami adik beradik dengan penuh tangungjawab dan kasih sayang. Dan itulah pengalaman paling pahit buat saya.
 Tanggal 17/Januari/2014 bersamaan 15 Rabiulawal 1435, ibu saya telah dijemput kembali ke Rahmatullah dalam keadaan yang sangat tenang.
Sebelum ini, beliau telah menghidap kanser payu dara lebih kurang 4tahun. Dalam masa menghidap penyakit tersebut kami pernah memujuk beliau untuk membuat rawatan di Hospital, tetapi sayangnya beliau berkeras untuk berubat dengan cara tradisional (Kampung).
Kami sekeluarga macam mengikut saja kemahuan beliau kerana tidak mahu memberi tekanan padanya. Kemana sahaja beliau mengajak kami pergi berubat, kami ikutkan. Sehinggalah tempat paling jauh ke Pulau Pinang. Dari Kota Bharu ke Pulau Pinang ayah saya membawa beliau untuk berubat. Cuma harapan kami sekeluarga agar satu hari beliau akan sembuh seperti sedia kala.
Hari demi hari beliau lalui dengan begitu tabah. Dengan semangat dari seorang suami dan anak-anak beliau terima semua kesakitan dengan redha, dimana daging-daging sebelah dada telah luruh dan relai satu demi satu dengan baunya yang sangat busuk. Tapi dalam masa yang sama masih ada daging baru yang tumbuh, itu menunjukan satu perkembangan positif yang kami ceritakan yang beliau akan kembali pulih dan itu merupakan salah satu suntikan semangat pada beliau. Dari raut wajahnya pun memang nampak sinar dari matanya yang dia ingin pulih…
Sehinggalah pada satu pagi hati kecil ini terdetik untuk menghubungi beliau. Setelah terdengar suara saya, beliau terus menangis memberitahu yang dia sangat letih. Sayu hati ini hanya Tuhan saja yang tahu.
 Perbualan kami terlalu pendek kerana beliau tidak boleh bersuara lantang seperti dulu. Tamat sahaja perbualan, saya terus menghubungi suami minta izin untuk pulang ke kampung dengan membawa anak (cucu kesayangan beliau). Dan bertemankan adik ipar (kerana saya sedang sarat) dengan menaiki bas pada malam itu. Waktu itu suami saya sedang menghadiri mesyuarat di Bukit Aman.
Sampai sahaja di Kota Bharu ayah telah menjemput kami pulang ke di rumah. Tibanya dirumah saya tidak sangup melihat keadaan ibu saya, yang mana beliau sudah lagi tidak mampu bangun sendiri.Pendek kata makan, minum, kencing dan berak semuanya harapkan bantuan ayah dan anak-anak yang lain.
Pada malam harinya beliau telah mengerang kesakitan yang mana sebelum ini belum pernah pun mendengar satu keluhan yang keluar dari mulut beliau yang menyebut perkataan “sakit” tapi pada mlm itu beliau memberi tahu kami yang beliau sakit yang teramat sangat.
Kami sekeluarga termasuk ayah hanya mampu melihat saja dan cuba memujuk untuk beliau bersabar. Waktu itu semua anak-anaknya telah menitiskan air mata kerana tidak sangup melihat kesakitan yang terpaksa ditangung seorang ibu. Lebih-lebih lagi apabila beliau menyebut ;
“Aduh sakitnya Long (saya)…tolonglah mak, Long… sakitnya…”
Kemudian mak berkata lagi dengan suara yang perlahan, seperti berbisi…terlalu lemah :
“Aduhhh… sakitnya Ngah (adik no 2) tolong la mak…sakit sangat niii”
 Kami hanya mampu berdiam (tiada kata-kata yang boleh diungkapkan).
Walaupun begitu saya cukup kagum melihat beliau kerana sehingga saat itu, setitis air mata pun tidak pernah gugur ke pipi beliau. Semuanya kerana beliau tidak mahu kami risau.
Pada ketika itu hati kecil saya berdoa :
“Ya Allah, jika sudah tiba saatnya dan tidak ada ruang untuk dia kembali sembuh seperti sediakala Kau ambillah lah dia. Sesunguhnya kami redha… kerana tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang beliau tanggung ini…”
Seperti yang dijanjikan oleh Allah S.W.T dan telah ditetapkan olehNYA di Loh Mahfuh. Pada tanggal 15 Rabiulawal 1435 pada jam 8.04 pagi, mak telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mak pergi menemui Ilahi, dan tak kembali lagi…
Walau bagai mana pun saya sangat bersyukur kerana mempunyai ayah yang bertangungjawab sangup menjaga ibu saya dari awal beliau sakit sehingga akhir hayat ibu tanpa sekali pun mengeluh.
Sahabat-sahabat pembaca, apakah yang anda fikirkan setelah membaca coretan ini?
Pada saya ada beberapa perkara yang boleh kita ambil pengajaran daripada coretan ini.
  • Bersyukurlah pada Allah bagi mereka yang ibu ayahnya masih hidup.
  • Sentiasalah taati, hormati, hargai dan sayangi ibu ayah. Sayangi mereka sepenuh jiwa raga. Berbaktilah pada mereka. Jangan sesekali menyakiti hati dan perasaan mereka. Berusahalah untuk jadi anak soleh @ solehah.
  • Kepada yang ibu ayahnya sudah tiada, banyakkan membuat amal kebajikan. Banyakkan membaca al-Quran. Banyakkan bersedekah dengan meniatkan pahala untuk arwah. Selalulah berdoa untuk kesejahteraan ruh mereka di sana.
  • Cuba renungkan saat sakaratul maut yang dialami. Ohh alangkah pedih dan sakitnya. Tak terbayang betapa siksanya ruh tatkala nyawa mahu keluar dari jasad. Siapakah yang boleh membantu di saat kematian kita? Sesungguhnya setiap yang bernyawa PASTI dan PASTI akan merasai MATI! Bersediakah kita?
saat sakaratul maut
Allahu akbar… Tak dapat saya bayangkan saat kita di ambang sakaratul maut nanti.
Bagaimanalah agaknya kematian kita yer???
Saya berdoa semoga Allah tempatkan ruh ibu penulis, ruh ibu dan abah saya, juga ruh kaum muslimin dan muslimat di kalangan ruh orang yang baik-baik. Semoga mereka bahagia di taman-taman syurga sana…aamiiin.
pakar how to

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...