“Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
“Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,”tambahnya lagi.
“Mengapa? Teruji sangatkah?”
“Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”
“Kau menjaga pandangan?”
“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”
“Ya, Iman kita sering teruji,” balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.
“Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik, cantik. Tapi
entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri.”
“Kita dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini,” pujuk saya untuk meredakannya.
“Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai
suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita
hadapi ujian itu.”
Saya senyum. ‘Bantuan’ yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.
“Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allah isteri akan mengikut nanti,” cadang saya.
“Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat ‘signal’ tu…”
“Amin.”
Saya termenung memikirkan ’masalah kecil’ yang kekadang boleh
mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai
suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias.
“Apa guna, kita dah tua.”
“Alah, awak ni tumpu ibadat lah.”
“Dah tua buat cara tua.”
Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.
Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk
menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran
dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik ( seperti
poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga
yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.
“Tak berani poligami?” Dia menggeleng kepala.
“Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.
“Ramai…”
Memang saya lihat pada usia awal 40-an dia tambah segak dan bergaya.
“Habis kenapa?”
Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu.
Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah
khusus dan sunat.
“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris
atau tercalar. Aku kenal dia. Walaupun mungkin dia tidak memberontak,
tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”
“Kau sudah berterus terang dengannya?”
“Tentang apa, tentang poligami?”
“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”
“Aku takut melukakannya.”
“Tak mengapalah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.
Dia faham maksud saya.
“Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.
“Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”
“Lagi?”
“Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila
kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih
muda, cantik atau buruk, dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak
jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum.
Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan
oleh media massa bagaimana ‘ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang
terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka.
Mereka ini berhias untuk membuat dosa. Lalu apa salahnya isteri-isteri
yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka, berhias
untuk mendapat pahala? Salahkah?
Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik
“Kita para suami pun banyak juga salahnya,” kata saya.
“Kita tak berhias?”
“Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.
“Salah bagaimana?”
“Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”
“Dalam makna kata-kata kau tu…”
“Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada
kecantikan isteri. Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”
“Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”
“Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa
yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi
lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang
isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”
“Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku
maksudkan tadi, aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”
“Kasih ke kasihan?” saya menguji.
“Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”
Tongkat ‘muhasabah diri’ vs tongkat Ali
“Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”
“Maksud kau?”
“Bila kita sedar kita telah tua, kita akan lebih serius dan lajukan
pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”
” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun,
dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa
jawabnya?”
Saya diam.
“Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku
sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk
menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”
Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia
awal 50-an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah
sentiasa diredhai.
“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah
isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk
sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.
“Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar
yang menguji Iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu
kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”
“Ya, kalau kita baik, isteri pun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”
Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini.
Seperti Imam Safie, pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari
tongkat. Sayangnya, bukan ‘tongkat muhasabah diri’ tetapi ‘tongkat Ali!’
http://sehinggit.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan