Ketenangan
hati ialah satu perkara yang sangat penting. Tidak mungkin ada seorang
manusia walau apa pun latar belakang agama, budaya dan pemikiran yang
tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu
perkara paling penting bagi seseorang manusia.
Mungkin
mereka berbeza dari segi cara untuk mencapai ketenangan hati,
ketenteraman jiwa dan keheningan rohani, tetapi mereka tetap bersetuju
bahawa perkara ini adalah satu perkara yang maha kritikal bagi setiap
insan.
Keutuhan
atau kemantapan emosi berkait rapat dengan keheningan spiritual dan
kemantapan minda. Seseorang yang pemikirannya meyakini bahawa dirinya
adalah berasal daripada suatu ketidaksengajaan biologi berevolusi
daripada monyet kepada manusia, tentunya tidak sama dalam menghadapi
kejadian hidup ini dengan seorang yang berkeyakinan bahawa insan adalah
ciptaan Tuhan yang paling baik, dan di sana Tuhan tetap berperanan di
dalam setiap gerak hukum apa yang berlaku di bumi mahupun di langit.
Dan
Tuhan bukan sahaja berurusan dengan manusia, tetapi setiap atom dan
molekul yang ada di atas muka bumi ini, antara langit dan bumi ini serta
apa yang ada di atas langit yang tujuh ini; semuanya adalah milik
mutlak Tuhan Yang Maha Esa dan berfungsi berdasarkan ketetapan ilmu-Nya
dan izin-Nya.
Dan
seorang yang menjalani hidup dengan hanya melihat bahawa Tuhan ialah
Tuhan dan aku ialah aku; sama sekali tidak sama dengan seseorang yang
hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Tuhan ialah satu-satunya
Tuhan, dan aku ialah hamba ciptaan-Nya; menyelami hakikat rasa hina
seorang hamba dijalin dengan rasa mulia menjadi hamba kepada Tuhan Yang
Maha Esa lagi Maha Agung.
Seseorang
yang menyedari bahawa sentiasa ada di sana satu Kudrat Yang Maha
Pengasih lagi Maha Penyayang serta Yang Sentiasa Berkata, Wahai
hamba-Ku, mintalah kepada-Ku, akan Ku penuhi segala permintaan kamu!
tentulah tidak sama dengan seseorang yang hanya melihat hidup ini
hanyalah antara aku dan kemampuanku!
Seorang
anak kecil akan merasa selamat dan tenang apabila berada di sisi ibu
dan bapanya. Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang
menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapanya semasa membeli belah
di pasaraya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera? Tentu tidak,
tetapi `ketenteraman' dan `ketenangan hatinyalah' yang tercedera.
Dan
kita dapat lihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana
lututnya berdarah lantaran jatuh; berhenti menangis hanya kerana si ibu
berkata, ``Dah, jangan menangis sikit je tu! Nanti ibu sapukan ubat!''
Adakah dengan berkata demikian, sakit luka yang dirasainya sudah hilang?
Tidak!
Sakit
luka di lututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti kerana rasa
`sakit' pada jiwa dan emosinya telah pun diubati dan telah hilang
diganti dengan rasa tenteram, kerana anak itu yakin, ibunya memahami
`penderitaannya' dan ibunya `mampu' mengubati luka di lututnya dengan
ubat yang akan disapu nanti. Ini menunjukkan, ketenteraman hati dan
ketenangan hidup adalah satu kuasa maha ajaib yang sangat diperlukan
dalam hidup seorang manusia.
Dan
adalah satu hukum serta prinsip alam, seseorang itu akan merasa aman
dan tenang apabila mengetahui dan merasa bahawa di sana adanya satu
`kuasa' yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam yang
ada.
Seorang
yang genius sekalipun, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi pasti
tidak dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian IQ-nya dengan betul
jika jiwanya sentiasa bercelaru dan dan tidak mantap.
Kecemerlangan
dan kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ. Tetapi seseorang
yang mantap EQ-nya, walaupun dia hanya seorang yang buta huruf dan
bekerja di sawah bendang, tetapi dengan ketenangan jiwa yang
dimilikinya, ia dapat menghadapi hidup dan segala masalah hidup ini
dengan penuh ketenangan dan ketertiban. Malahan, seringkali terlontar
daripada patah bicaranya, perkataan-perkataan yang bersifat `teraputik'
yang mampu menyegarkan kerengsaan jiwa dan kegersangan emosi.
Kekuatan
rohaniah (SQ) akan menjadi penjana EQ yang kental, dan EQ yang ada akan
menyempurnakan IQ seseorang walau pada tahap manapun IQ-nya berada.
Bukan semua orang dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh menjadi
bijaksana. Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia malah seluruh
alam ini telah menyatakan sebagai satu prinsip,
Bukankah dengan berzikir kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang?
(Ar-Ra'd: 28).
Berzikir
di sini membawa maksud yang luas, iaitu kita dapat menyebut dan
mengingat Allah, merasakan kehadiran-Nya dan merasa keagungan-Nya di
dalam setiap masa dan keadaan. Mana mungkin seseorang yang melihat Tuhan
itu - dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya - berada begitu hampir
dengan dirinya, masih boleh merasa tidak tenteram dan aman?
Mereka
yang benar-benar membina kekuatan dan `nur' kerohanian yang jernih,
pasti akan mampu merasa ketenangan hidup dan kekentalan serta
keharmonian emosi. Tuhan berfirman yang bermaksud,
Dialah
yang menurunkan `sakinah' ke dalam hati orang-orang yang beriman!
(Al-Fath: 4). Erti `sakinah' ialah ketenangan yang tetap.
Jika
demikian, sudah tentu di dalam apa yang diperintah-Nya itu, ada
alat-alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati
ini, seperti amalan zikrullah, solat, tafakkur, amalan doa, wuduk dan
lain-lain lagi.
Semoga
hati kita tidak `buta' daripada melihat dan merasai kebesaran Allah,
Tuhan seru sekalian alam ini. Sesungguhnya Dia-lah Allah, Zat Tunggal
Maha Pencipta!
http://tazkirahagama.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan