Jika ditanya apa yang mesti dibeli oleh setiap orang Muslim menjelang bulan Ramadan, pasti jawapannya buah kurma. Umum sedia maklum kebaikan buah kurma kepada si pemakan. Kurma yang kaya dengan kandungan protein, serat, vitamin C dan gula yang bertukar secara semula jadi.
 
Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.
 


 

Amalan makan kurma juga baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat khalal atau rotab dan menurun sedikit pada peringkat tamar. Selain itu ia mengandungi zat galian dan yang paling banyak dikenali sebagai potasium. Potasium diperlukan oleh tubuh untuk sistem saraf kerana kurma adalah sumber mujarab.
 
Sabda Rasulullah S.A.W. : "Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan."
 
Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud:" Beri makan buah tamar kepada isteri-isteri kamu yang hamil dan barang siapa yang memakan buah tamar tersebut semasa hamilnya, maka anak yang akan lahir itu akan menjadi seorang anak yang penyabar dan bersopan-santun, kerana makanan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa AS adalah buah tamar.
 
Malahan dalam sebuah kajian juga mendapati wanita hamil yang makan kurma akan mudah melahirkan anak dan mengurangkan pengaliran darah semasa proses kelahiran. Bahkan bagi ibu yang menyusukan bayi, buah kurma dipercayai mampu memperbanyakkan pengeluaran air susu.
 
Jadi, pastikan buah kurma ada di rumah anda sepanjang masa dan bukan setakat menjelang bulan Ramadan. Amalan makan buah kurma adalah sunah Nabi dan patut dipraktiskan sepanjang masa.
MAJALAH PAMA