Ahad, 31 Ogos 2014

Fakta - Apa Yang Berlaku Pada 26 OGOS 1975. PERISTIWA INI PERNAH MENGEMPARKAN NEGARA MALAYSIA!

 
 
SEMPENA  bulan kemerdekaan ini mari dapatkan sedikit maklumat bersejarah untuk hari ini. Semoga artikel dan peristiwa bersejarah ini dapat menambah ilmu pengetahuan dan rasa kecintaan kita pada bumi bertuah 'MALAYSIA'.
 

Komunis letup Tugu Negara!

Berasa terhina kerana pengganas menganggap merekalah pejuang negara SEPANJANG tahun terutama ketika musim cuti sekolah, ribuan rakyat dan pelancong asing menziarahi Tugu Peringatan Negara atau Tugu Negara yang menjadi lambang kedaulatan, kemegahan serta mercu tanda pejuang yang mempertahankan tanah air, Malaysia.

Tugu yang dibina dengan kos RM1.5 juta itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 8 Februari 1966 dan setiap tahun, pasti diadakan pelbagai program sempena memperingati Hari Pahlawan bertujuan mengenang jasa pejuang negara.

Bagaimanapun, langkah kerajaan mengagungkan pejuang bangsa itu jelas merobek perasaan pengganas komunis yang kononnya mendakwa mereka juga pejuang negara. Yang pasti komunis berasa begitu terhina dengan patung pengganas yang rebah menyembah bumi manakala patung askar berdiri teguh memegang senjata dan bendera negara manakala satu patung lagi memangku rakan yang cedera.

Oleh kerana bencikan kerajaan, ingin melumpuhkan agenda mewujudkan keamanan dan cintakan negara di kalangan rakyat, komunis bertindak dengan mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos 1975.
  
KERANA BENCIKAN KERAJAAN, TUGU NEGARA MENJADI MANGSA
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 pagi yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh daripada kedudukan asal. Pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).
  
TUGU NEGARA YANG MUSNAH SELEPAS DI BOM OLEH KOMUNIS
Berdasarkan siasatan awal, polis percaya komunis merancang untuk meletupkan Tugu Negara pada jam 6 pagi iaitu ketika sesi tiupan biugel yang diadakan di situ. Mereka mensasarkan untuk membunuh semua peserta yang mengambil bahagian dalam perbarisan, tetapi malangnya cubaan mereka gagal.

Mengikut perancangan awal, mereka merancang untuk meletupkan tiga bom yang diletakkan di situ, tetapi malangnya satu daripada tiga bom itu meletup lebih awal yang meruntuhkan satu patung besar yang beratnya dianggarkan satu tan.
  
KEBENCIAN KOMUNIS DI LEPASKAN TERHADAP PATUNG YANG TAK BERDOSA
Lantai marmar di keliling kawasan tugu retak sepanjang 2 kaki disebabkan patung besar jatuh ke lantai. Letupan kuat itu menggegarkan kawasan perumahan di sekitar Taman Bunga dan sebahagian daripada tingkap rumah mereka pecah akibat gegaran letupan.
  
TUNKU ABDUL RAHMAN ANTARA ORANG PERTAMA KE TEMPAT KEJADIAN
Antara penduduk yang mendengar letupan kuat itu ialah Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran Tugu Negara. Beliau terdengar letupan kira-kira jam 5 pagi ketika bangun untuk solat menunaikan Subuh.
  
KERJA-KERJA MEMBAIK PULIH TUGU NEGARA SEDANG DIJALANKAN
Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. 

Polis percaya empat pengganas terbabit dalam serangan itu termasuk seorang wanita. Sebaik saja letupan berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Travers dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Mereka melepaskan tembakan ke arah polis yang cuba menahan mereka sebelum menghilang di sebalik kegelapan kabus pagi yang tebal. Di tempat letupan, polis menemui dua topi keledar dan dua helai bendera komunis yang ditinggalkan di situ.

Berdasarkan penemuan kesan darah di tempat kejadian, polis percaya kemungkinan seorang penyerang Tugu Negara tercedera terkena letupan. Berikutan itu, polis segera mengeluarkan arahan meminta kerjasama doktor di hospital atau klinik yang didatangi mana-mana individu yang cedera terkena letupan supaya segera menghubungi polis. 

Polis melancarkan gerakan besar-besaran mengesan empat pengganas berkenaan dan tumpuan operasi ialah di semua kebanyakan penempatan yang disyaki terutama di sekitar Bangsar. Polis percaya, kumpulan pengganas itu mungkin menyamar sebagai pekerja buruh binaan.

Sehari selepas kejadian letupan itu, polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 100 cc tersadai di tempat letak kereta berhampiran pasar Jalan Pudu kira-kira jam 1 tengah hari. Berdasarkan rekod, motosikal itu dipercayai dicuri di Flet Jalan Loke Yew pada 18 Ogos.

Walaupun tidak dapat disahkan motosikal itu digunakan pengganas, jenisnya dikatakan menyamai laporan awal kenderaan yang digunakan dua pengganas untuk melarikan diri ketika terserempak dengan polis. 

Penolong Kurator Kajian dan Penyelidikan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Selamat Sainayune menjelaskan Tugu Negara itu adalah sebagai peringatan kepada perwira yang terkorban demi tanah air ketika peperangan dan darurat pada 1942-1960.

“Ia simbol kenangan, pengorbanan yang dilakukan dengan penuh taat setia oleh segenap lapisan pasukan keselamatan yang rela mengorbankan jiwa dan raga mereka semata-mata untuk menyediakan sebuah negara yang merdeka di mana rakyat dapat hidup aman harmoni. Sebab itu Ia wajar dihormati dan dipelihara bersama,” katanya.

Info Tambahan Berkenaan Tugu Negara :

Tugu Negara disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan Darurat (1948-1960).

Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.
Pada setiap tahun, 11 November, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara.

Tugu itu menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang.
Setiap patung gangsa melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian dan pengorbanan.

Dibina pada 1966, tugu setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggung jawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat.

Sejarah awal Tugu Negara

Tugu Negara terawal adalah tiang konkrit terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, bersebelahan Masjid Negara.

Ia didirikan oleh Pentadbir British bagi memperingati peperangan dan perwira yang terkorban. Kini hanya asasnya tanah seluas 10 meter persegi yang tinggal.

Tiang asal dialih ke kompleks Tugu Negara dan padanya tercatat tarikh tragedi kemanusiaan: Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1939-1945) dan Darurat (1948-1960).
 http://alamcyber.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...