Saya berasa amat kasihan terhadap ramai pemuda dan pemudi Islam di luar sana yang masih termanggu-manggu dan terpingga-pingga dalam usaha mencari jodoh. Kehidupan mereka seperti kupu-kupu yang terbang ke sana dan ke sini sambil mencari aktiviti dan aksi agar dapat menyibukkan diri untuk mengelakkan hati dari terus merasa sunyi.
Apabila ditanya kenapa tidak berusaha maka mereka pun berkata bahawa kami telah berusaha dan sentiasa berdoa serta meminta kepada yang Maha Esa agar kami masing-masing diberikan bidadari dan suami yang tercinta.
Doa itu usaha tetapi ia bukanlah hanya dengan sekadar duduk sahaja menanti si cantik manis datang dan berkata sayalah gadis yang awak doakan selama ini, sayalah penawar hati yang anda sedang nanti-nantikan selama ini. Allah Yang Esa telah mengirimkan saya dari timur ke barat buat bertemu anda untuk diserahkan diri ini sebagai menjawab doa anda di suatu malam pada Jumaat yang lalu.
Oh bukan begitu perjalanan doa…
Doa tidak dimakbulkan tanpa usaha sedang hamba-hamba itu diberikan peluang, kemudahan dan kemampuan untuk mencuba.
Firman Allah SWT kepada Maryam AS,
“Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah: "Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.” (Maryam : 24-25)
Dalam sarat Maryam (AS) mahu melahirkan anak itu pun Allah tidak terus menjamu Maryam (AS) dengan hidangan dari langit dengan turunnya makanan tanpa perlu digoyangkan pokok kerana Maryam (AS) masih mampu menggerakan tangan dan pertolongan Allah SWT hanya diberikan kepada hamba-Nya dengan kadar selama manusia itu tidak mampu mengusahakannya.
Demikianlah juga firman Allah SWT dalam ayat yang lain yang mengajar kita tentang keperluan usaha dengan maksudnya :
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” (Ar-rad : 11)
Doa itu ialah tawakal dan penyerahan serta kepatuhan kepada Allah SWT tetapi usaha itu ialah arahan dan kewajipan sebagai hamba Tuhan. Al-Quran dan As-sunnah itu diturunkan sebagai panduan dan cara untuk berusaha dan beramal di atas dunia.
Usaha itu pula ada bermacam cara dan setiap satunya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan menurut kehendak syarak serta membawa kebaikan dan maslahat kepada orang yang beramal. Ada pula orang yang berusaha namun hasilnya tidak memuaskan kerana itu sudah ditakdirkan dan yang penting sebenarnya bukanlah hasilnya tetapi amalan dan usaha itu berapa kalikah dilakukan, sebanyak manakah ia berjaya dilaksanakan dan seikhlas manakah ianya ditunaikan.
Kita semua akan dibangkitkan dengan amalan yang dilakukan dan semuanya itu akan bertukar menjadi bekalan dan teman di hari yang tiada kematian dan diwaktu seluruh manusia dibangkitkan untuk diperlihatkan hasil amalan.
Walaubagaimana pun Allah SWT itu tidak zalim, siapa berusaha maka dia akan pasti mendapat hasilnya. Siapa mencuba maka dia pasti akan berjaya. Ada orang yang tertulis takdir buatnya bahawa dia akan mendapat kejayaan hanya setelah berusaha lebih dari 10 kali percubaan dan ada pula manusia yang telah dipermudahkan dengan hanya perlu melakukan dua kali atau sekali percubaan untuk mendapat hasil kejayaan.
Semua itu tidak penting tentang berapa kalikah anda perlu mencuba tetapi yang paling utama ialah sentiasa dan teruskan mencuba sehingga berjaya atau kembali kepada tuhan dalam keadaan sedang mencuba kerana itu akan menjadi tanda bahawa anda sedang menunaikan kewajipan.
Menikah Cepat
Siapa yang tidak mahu menikah cepat ? Jika ada maka dia pasti ada masalah di dalam jiwanya yang perlu diselesaikan.
Sesungguhnya setiap orang perlu bernikah kerana ianya fitrah dan bahkan ia sudah menjadi sunnah dan kewajipan dalam agama dan masyarakat. Nikah itu dapat membina keperibadian dan membentuk kekeluargaan serta sifat tanggungjawab dalam diri seorang insan untuk terus hidup dengan membela dan mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan dan kelangsungan generasi masa depan.
Baiklah mari kita bincangkan tentang bagaimanakah seseorang itu boleh menikah dengan cepat ?
Ada sepuluh cara semuanya yang mampu saya titipkan sebagai petua dan panduan untuk memudahkan pernikahan dan sebagai langkah-langkah panduan kepada anak-anak muda tentang cara untuk segera beroleh jodoh dan mendapatkan pasangan.
Cara 1- Merayu dengan ibubapa agar sudi mencari calon atau menikahkan dengan segera
Ibubapa memainkan peranan penting dalam urusan nikah kerana jika mereka menyokong dan membantu maka akan mudah dan segeralah pernikahan itu dapat berlangsung. Mereka boleh membantu pernikahan itu disegerakan atau pun menghalangnya sehingga ianya dilambat-lambatkan.
Perhubungan yang baik dengan ibubapa amat penting bagi membantu menyegerakan nikah. Mereka boleh berusaha mencari calon dan tahu memilih pasangan yang sesuai dengan diri kita kerana disamping diri sendiri maka merekalah orang yang paling tahu kebolehan dan keperluan diri kita.
Pengalaman saya mengajar bahawa anak yang baik hubungan dengan ibubapanya dan bijak memainkan peranan serta tahu berkomunikasi secara berkesan selalunya berhasil memujuk ibubapa untuk membantu dalam urusan pernikahan bahkan mencari calon isteri atau suami untuk anak mereka.
Seorang kawan saya telah bernikah ketika usianya 19 tahun dan mereka masing-masing dibiayai oleh ibubapa. Perwatakan si lelaki baik, lembut dan pendiam sehingga berjaya merangkul hormat dan sokongan ibubapa masing-masing dan si perempuan pula aktif , mesra dan bijak berkomunikasi.
Gabungan dua sikap dan ciri-ciri ini selalunya berjaya menghasilkan sokongan dan kerjasama keluarga.
Ada pula sesetengah ibubapa yang neutral dan berkecuali maka cara yang dapat dilakukan ialah dengan mendorong dan memujuk mereka agar beroleh kesedaran untuk menikahkan anak-anak melalui kaset ceramah, kuliah atau pun perkenalan dengan tokoh-tokoh yang boleh mempengaruhi pemikiran mereka.
Majoriti ibubapa mempunyai banyak calon pasangan untuk anak-anak mereka. Penghalangnya ialah diri mereka sendiri kerana berasa tidak bersedia menerima menantu atau orang asing. Siapa suka menerima orang asing dalam keluarga ?
Maka ibubapa seperti ini perlu dibiasakan dengan kehadiran orang lain dan didedahkan dengan keindahan keluarga yang besar seperti keseronokkan mendapat cucu dan sebagainya sehingga mereka tertarik dan terdorong untuk mencarikan pasangan buat anak mereka.
Namun bagi mereka yang terhalang nikah kerana keluarga maka nasihat saya segeralah bernikah dengan menggunakan wali hakim atau wali sultan dan berusaha mencari jodoh atau pasangan secara sendiri dan menggunakan bantuan kawan-kawan yang dipercayai.
Jodoh tidak akan datang kalau tidak dicari !
Cara Ke 2 -Minta bantuan ahli keluarga yang simpati dan berkemampuan untuk menghulurkan bantuan
Ahli keluarga tidak semestinya hanya ibubapa sahaja tetapi sesetengah orang mempunyai pakcik dan makcik yang unik atau datuk atau nenek atau ahli keluarga terdekat seperti abang dan kakak yang dapat membantu dalam urusan pernikahan.
Seorang kawan dapat bernikah kerana menggunakan khidmat pakciknya dengan menikahi anak pakciknya itu sendiri. Siapa sangka rupanya jodoh terletak di depan mata ?
Pernikahan dengan sepupu tidak haram dalam Islam bahkan tiada dalil atau hujah yang jelas mengatakan ianya makruh atau ditolak serta tidak digalakkan kerana baginda Rasulullah Salallahualaihiwassalam sendiri bernikah dengan Zainab ra yang merupakan sepupu baginda bahkan rasulullah juga turut menikahkan anak kandung baginda Fatimah binti Muhammad dengan Ali bin Abi Talib ra yang merupakan sepupu baginda.
Pernikahan sepupu tidak digalakkan demi mengelakkan masalah kesihatan dan dakwaan bahawa kononnya ia akan menyebabkan berlaku ketidak suburan dalam kelahiran tetapi ianya tidak dapat dipastikan kebenaran oleh itu pernikahan sepupu adalah harus dan boleh diamalkan.
Seseorang yang bernasib baik akan dapat memiliki pakcik-pakcik atau ibu saudara yang mesra dan rapat lalu boleh membantu untuk mencarikan jodoh atau menawarkan anak-anak gadis mereka atau anak lelaki untuk dijadikan suami.
Kalau tiada sokongan dari atas mungkin ada abang atau kakak-kakak yang berkeluarga dan bersedia membantu mencarikan pasangan untuk adik-adik melalui kenalan, rakan dan sahabat sepengajian yang dipercayai dan diyakini berkemampuan dan layak dijadikan pasangan untuk ahli keluarga mereka.
Cara ke 3- Rapat dengan orang tua-tua dan tokoh agama untuk memudahkan dapat bantuan
Saya dapat bernikah diusia yang agak muda iaitu ketika umur saya 22 tahun kerana rapat dan mesra dengan ramai tokoh-tokoh agama yang sedia menawarkan diri kepada saya untuk mendapatkan calon isteri dan menolong untuk bernikah. Saya telah diberi bantuan oleh seorang ustaz dan dipermudahkan sehingga berjaya menjadi seorang suami diusia yang cukup muda kerana sikap saya yang suka bergaul dengan tokoh agama dan orang-orang tua yang lebih berusia daripada saya. Di mana-mana saya mempunyai kenalan dan kawan yang berusia 10 tahun atau lebih daripada saya kerana disamping matang golongan tua ini lebih senang didekati dan berbicara dengan saya daripada golongan muda yang tidak pandai berkomunikasi dan kerap kali membuang masa.
Orang tua tahu dan mengenali ramai orang yang mungkin dapat membantu kita memperolehi jodoh yang baik. Si minah yang memakai tudung labuh, anak makcik Siti yang menghafaz Al-Quran, Johari yang rajin solat di masjid dan pelbagai lagi cerita dan perkara yang diketahui oleh mereka dapat membantu kita menemui jodoh yang sesuai dengan izin Allah SWT.
Bahkan kerap kali persahabatan dengan tokoh agama dan orang tua juga berfungsi untuk memujuk ibubapa dan pihak keluarga yang mempunyai keberatan untuk menikahkan anak-anak mereka.
Cara ke 4- Menyertai jamaah atau organisasi dakwah dan mencari jodoh melalui unit di dalam organisasi
Ramai orang bercinta sesama ahli jamaah, rakan persatuan atau organisasi yang diceburi. Perkara ini sudah merupakan suatu lumrah di kalangan pelajar IPT untuk terlibat dengan kegiatan usrah, tamrin atau program motivasi di mana pelajar lelaki dan perempuan akan bertemu dan bergabung dalam satu organisasi jawatan lalu mempunyai ruang untuk berkenal-kenalan dan berhubung antara satu sama lain.
Pada saya menyertai jamaah atau organisasi dakwah dengan hasrat untuk mencari jodoh dan pasangan adalah lebih bermakna dan berbaloi dari menyertainya untuk berjuang tanpa arah tuju dan tanpa kefahaman ilmu semata-mata mengikut semangat dan perasaan. Setiap AJK atau ahli jawatankuasa biasanya akan mempunyai pembantu atau ketua dari lawan jantina bagi membantu mendapatkan sokongan dari semua gender. Hal ini ialah satu peluang untuk berkenalan dan mencari pasangan dengan memaparkan kebaikan yang ada untuk menarik hati pihak yang disukai.
Bahkan jika anda merasa malu untuk terus menyatakan hasrat suka kepada mana-mana lelaki atau muslimat kerana takut dicop sebagai tidak menjaga hati (kekeliruan pelajar IPT terhadap dakwah dan hubungan jantina) maka adalah digalakkan untuk mencari jodoh dan pasangan melalui unit BAITUL MUSLIM yang diwujudkan dalam organisasi atau jamaah yang disertai.
Unit ini biasanya dibawah kendalian lajnah kebajikan atau dibawah bidang kuasa tugas Timbalan Amir atau ketua. Hubungi wakil jamaah dan organisasi yang dapat dipercayai lalu luahkan hasrat dan kehendak untuk menikahi mana-mana lelaki atau perempuan yang disukai dan mintalah pihak jamaah menguruskan proses taaruf (perkenalan) dan menjadi orang tengah.
Setiap organisasi dakwah biasanya mempunyai unit BAITUL MUSLIM ini atau sekurang-kurangnya lajnah kebajikan yang menjaga keperihatinan dan keperluan ahli persatuan dan organisasinya.
Saya mengenali ramai rakan-rakan yang berjaya bernikah di usia muda apabila mengenali dan bertemu calon pasangan di zaman belajar melalui unit baitul Muslim dan gerak kerja jamaah serta organisasi.
Bahkan sesetengahnya bernasib baik apabila jamaah atau organisasi turut membantu proses pernikahan dan mengutip derma bagi membiayai pernikahan.
Cara ke-5 - Mencari calon pasangan dari keluarga yang terkenal memahami sunnah dan memudahkan perkahwinan
Cara ini tidak boleh digunakan untuk semua orang tetapi jika benar anda mengenali atau mengetahui ada keluarga yang beragama dan terkenal warak serta memahami agama dan sunnah maka cubalah nasib dengan meminang anak-anak gadis mereka atau pun menghampiri keluarga mereka untuk berkenalan jika ada anak lelaki mereka yang dapat dijadikan pasangan.
Ramai orang memandang rendah kepada agama dewasa ini tetapi hakikatnya agama lebih utama daripada kemewahan dan harta kekayaan. Ramai sahaja anak-anak orang kaya menderita tiada jodoh atau susah mendapatkan pasangan tetapi anak-anak orang susah dan miskin pula dengan segera dan mudah sahaja membina rumahtangga dan bertemu pasangan.
Agama itu penting bukan sahaja semasa hidup bahkan sesudah mati. Mana-mana keluarga yang beragama selalunya akan mengutamakan nikah dan menyegerakannya dikalangan anak-anak muda mereka.
Oleh itu jika anda tahu sesiapa yang beragama seperti keluarga pak ustaz, pendakwah atau keluarga tokoh agama terkenal yang berkemampuan untuk didekati maka hampirilah mereka dan cubalah nasib anda dengan bertanya jika ada sesiapa dari kalangan mereka yang boleh menolong anda mendapatkan pasangan.
Jika sudah namanya jodoh insyaAllah tidak mustahil jalan akan dipermudahkan dengan segalanya tersiap untuk kita membuat pilihan.
Cara ke 6 - Bernikah dengan anak yatim, janda atau duda yang sedia menyegerakan nikah
Saya kurang pasti tentang nikah anak yatim di Malaysia tetapi jika di tempat belajar saya dahulu banyak rumah anak yatim akan mengadakan majlis pernikahan beramai-ramai dengan memberikan galakan kepada orang ramai yang berkemampuan untuk mengambil anak-anak yatim sebagai isteri dan pasangan hidup.
Anak yatim lelaki biasanya akan diajar berdikari dan bekerja dengan pelbagai kemahiran dan akan keluar meninggalkan rumah perlindungan. Kemudian apabila mereka dewasa dan telah cukup usia maka ada yang kembali ke rumah anak yatim perempuan dan mencari pasangan di situ. Ada pula anak yatim perempuan yang diberikan sebagai pasangan kepada lelaki-lelaki yang dikenali atau baik serta berkemampuan untuk menyara mereka dan dinikahkan oleh pihak penjaga rumah anak yatim.
Menikahi anak yatim banyak kebaikannya serta diberikan pahala dan ganjaran yang besar jika dapat menjaga dan memelihara mereka dengan baik. Bagi orang lelaki, anda boleh bertanya kepada penjaga dan pengasas rumah anak yatim yang dikelolakan oleh ramai individu secara persendirian atau kepada rumah anak yatim yang dikendalikan secara syarikat atau organisasi tertentu.
Sepatutnya tidak ada masalah menikahi anak-anak yatim ini kerana wali mereka sudah tiada dan proses urusan nikah seharusnya lebih mudah bagi membantu mereka mendirikan rumahtangga dan kehidupan baru yang bahagia.
Kadang-kadang tidak semestinya anak yatim tetapi orang pelarian, pendatang asing dan gadis yang melarikan diri daripada rumah seperti wanita muallaf yang tiada tempat tinggal kerana masuk Islam dan dihalau oleh keluarga juga boleh dijadikan sebagai teman hidup dan pasangan jika ianya dapat disesuaikan dengan keperluan diri dan kemampuan serta kesanggupan.
Jodoh tidak mengenal sesiapa, asam di darat dan ikan di laut jika ditakdirkan bersatu akan bertemu jua sebagai pasangan hidup.
Seorang rakan saya menikahi seorang wanita Mesir dan kini menetap di Selangor bersama isterinya dan sudah pun mempunyai beberapa orang anak. Suatu ketika dahulu ramai sekali lelaki tempatan yang mengahwini wanita Indonesia, Pattani dan gadis daripada Burma dan Myanmar.
Itu semua adalah jodoh dan apa yang penting ialah tujuan rumahtangga itu dibina.
Cara ke 7 - Menggunakan orang tengah yang berpengalaman untuk mencari pasangan
Orang tengah yang berpengalaman selalunya terdiri daripada kalangan naqib, naqibah, mursyid, mursyidah, guru, ustaz, ustazah, pensyarah atau tokoh tertentu yang banyak membantu mengendalikan urusan masyarakat dan perhubungan dengan ramai orang khasnya generasi muda, para pelajar universiti dan terlibat dengan gerakan tertentu.
Lelaki agak kurang menggunakan khidmat orang tengah dalam urusan mencari pasangan kerana mereka lebih suka merasa keseronokan mencari sendiri pasangan hidup, memikat dan meminang wanita yang hendak dijadikan sebagai isteri.
Tetapi kaum wanita lebih suka dan sesuai mempunyai orang tengah, pengantara atau wakil yang dapat menyelamatkan dirinya daripada terdedah kepada bahaya gangguan dan dapat menjadi wakil bicara serta menyampaikan maksud atau kehendak dirinya tanpa perlu malu atau merasa bersalah.
Setakat pengetahuan saya, ramai orang yang menggunakan khidmat wakil mencari jodoh atau orang tengah yang mahir dan berpengalaman biasanya akan berjaya dan mampu mencari pasangan hidup. Ini kerana orang tengah biasanya menjalinkan hubungan dengan ramai potensi calon suami atau calon isteri melalui penglibatamnnya dengan pelajar, mahasiswa dan mahasiswi, usrah dan mempunyai rangkaian kenalan yang luas dan besar.
Mereka lebih mengetahui tentang info-info sulit seperti apakah si Fatimah anak pak Said atau Aisyah pelajar tahun tiga fakulti sains itu sudah berpunya atau belum. Mereka juga mempunyai maklumat tentang siapakah yang sesuai untuk diregukan dengan Ahmad yang pemarah atau Ramli yang lembut dan sopan itu.
Selaku orang tua, selaku naqib dan naqibah atau ustaz dan ustazah yang banyak pengalaman dalam membantu mendirikan rumahtangga kepada ramai orang biasanya orang tengah akan mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk memujuk keluarga, memujuk pihak wanita dan juga berbicara dengan lelaki serta menasihati pasangan lelaki supaya melakukan sesuatu yang dapat disukai oleh pihak perempuan atau meninggalkan sesuatu amalan atau tabiat yang buruk.
Faedah lain menggunakan orang tengah juga ialah dapat mengurangkan perhubungan bebas dan mengelak dari terjebak dengan zina disamping membantu mempercepatkan nikah kerana orang tengah biasanya akan push atau menekan supaya disegerakan nikah agar tugasnya selesai dan akan berusaha membantu pasangan untuk berjaya mendirikan rumahtangga.
Saya sendiri pernah bernikah dengan menggunakan khidmat orang tengah dan Alhamdulillah saya sendiri juga pernah menjadi orang tengah dan setakat ini telah berhasil membantu ramai pasangan untuk mendirikan rumahtangga.
Cara ke 8- Menyertai aktiviti kebajikan dan seminar atau program-program keagamaan serta aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan
Jangan salah faham, memanglah kita belajar, menyertai seminar atau menyertai program agama dan menyumbang dalam masyarakat serta melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan itu semuanya ikhlas kerana Allah SWT tetapi ianya bukanlah halangan untuk mendapat manfaat sampingan seperti dipermudahkan mendapat jodoh melalui rangkaian kenalan dan hubungan.
Ramai wanita yang menyertai aktiviti jamaah, organisasi atau program-program keagamaan seperti ceramah, seminar, bengkel dan sebagainya didapati lebih berpeluang untuk mendapatkan jodoh daripada mereka yang tidak menyertainya.
Siapa yang menghadiri seminar aqidah, seminar hadis dan agama jika bukan orang yang beragama ? Di sinilah anda dapat bertemu pasangan yang sesuai dan dapat dijadikan calon suami atau isteri dengan informasi atau maklumat mereka dapat diperolehi di meja pendaftaran dan melalui seminar atau program seperti bengkel penulisan, bengkel dakwah atau workshop tertentu anda mungkin dapat bertemu dan berbincang secara dua hala dengan pasangan atau calon-calon yang disukai atas alasan yang kukuh.
Seorang lelaki yang tertarik dengan wanita yang ditemuinya dalam bengkel ceramah itu boleh sahaja menegur wanita tersebut dan berkata “awak ini yang hadir ke bengkel ceramah hari Isnin lepas kan ? Saya ternampak awak, tak sangka bertemu lagi di sini…Juga tidak salah bagi seorang muslimat untuk mendapatkan maklumat dan info tentang lelaki yang disukainya dan kemudian meminta rakan atau kenalan yang baik dan rapat untuk bertanyakan perihal lelaki tersebut apakah sudah berpunya, sesuai atau mampu untuk menjadi pasangannya.
Selalu terjadi lelaki dan perempuan yang aktif dalam program kemasyarakatan dan kebajikan menemui jodoh di antara sesama mereka. Saya sendiri sudah berjumpa lebih dari sepuluh pasangan yang telah mendirikan rumahtangga hasil pertemuan di dalam program dan aktiviti kemasyarakat yang disertai mereka.
Pernah seorang kawan menyertai PERKIM dan melaluinya dia berhasil bertemu jodoh dengan seorang muallaf Cina yang kini telah menjadi isterinya. Ada juga seorang muslimat yang menyertai seminar penulisan dan mahu belajar menjadi penulisan buku dan novel kemudian setelah beberapa kali mengikuti seminar tersebut dia akhirnya bertemu jodoh dengan penulis terkenal tanahair yang terbabit dalam kursus tersebut sebagai fasilitator dan penceramah jemputan.
Itulah jodoh namanya ianya bukan boleh dirancang tetapi boleh dicuba dan diusahakan.
Cara ke 9- Menggunakan laman sosial seperti forum agama, facebook atau blog untuk mendapatkan calon pasangan
Cara yang ini agak moden dan lebih kontroversi serta mempunyai risiko yang tersendiri. Laman sosial seperti facebook, twitter, dahulu Friendster dan sebagainya memang berupaya menjadi medan untuk bertemu jodoh dan mencari pasangan hidup yang berkesan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan secara benar tanpa menyalahi kehendak syarak.
Melalui facebook seseorang dapat melihat wajah pasangan, dapat mengetahui biodata dan peribadinya, apakah kesukaannya, siapakah tokohnya serta mengetahui tentang reaksi dan pemikirannya dalam sesuatu isu. Hal ini suatu kelebihan yang baik sebelum pernikahan agar dapat mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan siapakah calon pasangan kita.
Facebook juga menyediakan ruangan mesej, aplikasi “like” dan komen yang sesuai untuk seseorang yang tertarik atau suka dengan muslimat atau muslimin tertentu boleh sahaja terus-menerus meng”like” atau memberi komen di ruangan orang yang disukainya sebagai tanda sokongan dan isyarat mudah bahawa “saya suka pada kamu” !
Sisi negatif ruangan facebook dan laman sosial ini ialah ianya bolehg jadi palsu atau dipalsukan oleh individu tertentu serta digunakan untuk tujuan yang tidak baik. Muslimat boleh menjadi mangsa penipuan dan mendedahkan maklumat serta perkara yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan diri mereka terjerat.
Satu lagi apa yang berada di facebook tentang maklumat diri seperti berat badan, wajah sebenar dan rupa paras boleh jadi menipu atau tidak memenuhi kehendak calon yang tidak mengetahuinya sehinggalah masing-masing berjumpa dan bertemu di alam realiti.
Namun kita tidak boleh menafikan bahawa facebook boleh memainkan peranan positif dan membantu dalam mencari pasangan hidup dan membantu mempercepatkan jodoh seseorang.
Ada beberapa tips di dalam menggunakan facebook sebagai medium mencari jodoh. Pertama cuba “add” atau tambahkan kawan dengan mengambil para ustaz, ahli agama dan tokoh-tokoh tertentu yang terkenal, warak dan berkaliber sebagai kawan. Biasanya mereka mempunyai senarai rakan yang baik-baik yang dapat dijadikan calon pasangan.
Selain itu cuba kurangkan atau buang rakan-rakan yang tidak perlu, mengotorkan ruangan facebook anda atau terlalu banyak membuang masa dengan game, aplikasi tidak perlu atau menceritakan terlalu banyak berkenaan peribadi anda.
Ada muslimat yang akaun facebooknya dicemari oleh komen-komen rakan-rakannya yang tidak senonoh atau gadis sekelas dengannya yang menjadikan ruangan facebook itu sebagai tempat berceloteh sesama mereka atau tempat meninggalkan pesanan sehingga persoalan seperti saterika, penyangkut baju simpan di mana pun ditanyakan dalam ruangan depan facebook.
Hal ini akan menghalau potensi lelaki-lelaki yang baik atau yang mempunyai hasrat untuk berkenalan dengan merasa semak atau menyampah dengan pemilik-pemilik akaun facebook sebegini. Hiasilah ruangan facebook anda wahai muslimah dengan gambar-gambar bunga, kelembutan dan memaparkan kekemasan seperti kemasnya diri anda.
Begitu juga bagi orang lelaki yang mahu menarik perhatian wanita harus menghiasi ruangan facebooknya dengan berhati-hati. Terlalu semak dengan gambar kereta, game atau pasukan bola sepak akan menyebabkan para muslimah yang bertudung labuh ini kurang gemar untuk membacanya.
Selain facebook, forum agama juga tidak kurang dapat membantu saudara dan saudari yang berhasrat mencari pasangan hidup dalam menemukan calon pasangan. Forum seperti ruang bicara keagamaan, hukum-hakam, petua, sembang mahasiswa dan tempat bertazkirah antara satu sama lain juga sebenarnya dipenuhi oleh ramai gadis-gadis dan lelaki yang mencari-cari pasangan hidup.
Ini boleh dikenal dengan melihat kepada former yang terkedapan, rajin dan aktif mengisi ruangan bicara selalunya ialah orang-orang yang sunyi dan kekurangan kawan di alam realiti. Dalam hal ini anda harus bijak menggunakan nick atau kata ganti diri atau nama samaran yang baik dan bertanggungjawab untuk mendapat kepercayaan disamping cuba mengelakkan dari mengepos sesuatu yang kontroversi dan menimbulkan perbalahan.
Selalulah beri tips dan petua serta tampil di forum sebagai watak yang baik dan dipercayai maka tidak susah untuk mendapat rakan dan calon-calon pasangan.
Orang mungkin berkata anda tidak ikhlas dalam berforum atau berfacebook tetapi ianya bukan halangan dari agama untuk menyertai ruangan maya ini demi mencari jodoh. Nikah itu sunnah dan ianya dibenci oleh syaitan maka oleh itu pelbagai cakap orang akan terpaksa anda hadapi untuk mencapai kejayaan kerana syaitan pasti akan menganggu anda dari berhasil mengerjakannya.
Cara ke 10 - Menawarkan diri kepada lelaki atau perempuan yang dipercayai beragama dan layak dijadikan pasangan hidup
Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadis dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? lalu ketika menceritakan hadis ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri kepada nabi) adalah lebih mulia dan lebih baik dari dirimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya demi kebaikan. (Hadis riwayat Bukhari , Nasaie dan Ibn Majah).
Sesungguhnya di dalam Islam adalah disyariatkan kepada seorang wanita untuk menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh dan beragama apabila dirinya mendapati lelaki tersebut benar akhlaknya dan benar peribadinya menurut syariat Islam. (Lihat Sahih Fiqh Sunnah)
Sungguhpun wanita muslimah dan solehah itu akan mempunyai perasaan malu dan sebagai perempuan, sifat malu itu merupakan salah satu dari perhiasan mereka namun tidaklah patut perasaan malu itu menjadi penghalang kebaikan dan menyekat dari terlaksananya fitrah dan amal ibadah kerana golongan yang beriman dan solehah itu antara ciri-ciri mereka ialah bersegera kepada kebaikan dan kebajikan.
Firman Allah SWT : “Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48).
Bagi mereka yang merasa malu dan segan untuk menawarkan diri secara berdepan maka mereka boleh menggunakan bahasa lapik atau perumpamaan, sindiran, kiasan atau mengunakan orang tengah dan perantara sebagai menyampai pesanan dan hasrat .
Berkata Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) untuk menyampaikan hajatnya kepada rasulullah melalui katanya :
“Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya kata-katamu….” (lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam)
Siapakah wanita Islam yang lebih baik dari Khadijah ra ? Wanita pertama Islam, serikandi mulia yang utama dan disebut dalam hadis yang sahih dari riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra dengan katanya : “Aku tidak pernah mencemburui mana-mana isteri nabi melainkan Khadijah walaupun aku tidak pernah menjumpainya lalu beliau menceritakan : Sesungguhnya rasulullah apabila menyembelih kambing akan berkata : “Hantarkanlah sebahagian dari daging ini kepada sahabat Khadijah” lalu berkata Aisyah dengan marah pada suatu hari : Khadijah ? (iaitu seperti mempersoalkan kenapa Khadijah) lalu dibalas oleh baginda rasulullah : “ Sesungguhnya aku diberi rezeki oleh Allah untuk mencintainya.” (hadis riwayat Muslim)
Firman Allah SWT : “Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48).
Bagi mereka yang merasa malu dan segan untuk menawarkan diri secara berdepan maka mereka boleh menggunakan bahasa lapik atau perumpamaan, sindiran, kiasan atau mengunakan orang tengah dan perantara sebagai menyampai pesanan dan hasrat .
Berkata Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) untuk menyampaikan hajatnya kepada rasulullah melalui katanya :
“Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya kata-katamu….” (lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam)
Siapakah wanita Islam yang lebih baik dari Khadijah ra ? Wanita pertama Islam, serikandi mulia yang utama dan disebut dalam hadis yang sahih dari riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra dengan katanya : “Aku tidak pernah mencemburui mana-mana isteri nabi melainkan Khadijah walaupun aku tidak pernah menjumpainya lalu beliau menceritakan : Sesungguhnya rasulullah apabila menyembelih kambing akan berkata : “Hantarkanlah sebahagian dari daging ini kepada sahabat Khadijah” lalu berkata Aisyah dengan marah pada suatu hari : Khadijah ? (iaitu seperti mempersoalkan kenapa Khadijah) lalu dibalas oleh baginda rasulullah : “ Sesungguhnya aku diberi rezeki oleh Allah untuk mencintainya.” (hadis riwayat Muslim)
Menawarkan diri kepada lelak tidak akan mengurangkan nilai dan maruah wanita tersebut di hadapan lelaki bahkan sebaliknya akan dihargai oleh lelaki sebagai wanita yang berani dan layak dihormati kerana kesanggupannya untuk melawan rasa malu dan berterus terang dengan dirinya sendiri.
Walaubagaimanapun kita haruslah beringat bahawa tidak semestinya tawaran dan menawarkan diri itu selalu akan berhasil mendapatkan pasangan kerana boleh jadi si lelaki atau wanita yang ditawarkan itu sudah mempunyai pilihan hati atau telah tertarik kepada orang lain.
Maka hendaklah sentiasa redha dan sabar serta terus berusaha tanpa malu atau segan kerana pinangan kita telah ditolak oleh orang lain. Bahkan rasulullah, para sahabat radiallahuanhum sendiri pernah ditolak pinangan mereka dan hal itu tidaklah menjadikan mereka berputus asa kerana rahmat dan rezeki Allah SWT itu amat luas dan sentiasa terbentang untuk mereka yang beriman dan menyakini kebesaran-Nya.
Demikianlah sepuluh cara yang mampu saya titipkan tentang petua dan tips untuk mendapatkan calon pasangan bagi mereka yang berada dalam keadaan kebuntuan dan sedang tertekan bagaimana mahu mendapatkan pasangan.
Isteri yang solehah dan suami yang soleh tidak akan diberi secara percuma oleh Allah SWT tetapi ianya terhasil melalui proses dan peluang yang disediakan oleh Allah SWT melalui ibadah yang bernama nikah. Melalui kehidupan berumahtangga dan menjadi pasangan kepada seorang lelaki atau perempuan serta mentaati perintah Allah barulah anda akan dapat memperolehi peluang untuk menjadi isteri dan suami yang soleh.
Syurga Allah itu indah dan ianya tersimpan untuk hamba-hamba yang beriman dan mereka itu sentiasa menjadi ahli syurga sejak di dunia lagi. Ke mana sahaja mereka pergi keberkatan dan kebaikan akan turut mengikuti.
Segeralah bernikah kerana ianya fitrah !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan