Rabu, 26 Oktober 2011

Kerajaan arah rakyat pindah, TETAPI ABAIKAN KEBAJIKAN MEREKA

Oleh Sofi Wahab


Penyelia Dun Bukit Baru, Yusof Wahab menyeru pihak kerajaan agar menurap jalan tanah merah menghala ke rumah  6 keluarga yang terpaksa berpindah ke  Kampung Solok Sama Tahu, Bukit Katil akibat pengambilan tanah mereka di Jalan Datuk Demamg Hussein.

"Penduduk masih menunggu kemudahan infrastruktur seperti jalan tar di penempatan baru mereka memandangkan jalan tersebut masih lagi belum diturap sedangkan sudah ada enam buah rumah yang siap di bina. Keadaan jalan yang berdebu dan kadang-kadang berlumpur  mendatang keadaan kurang selesa kepada penduduk di situ."

"Sepatutnya pihak kerajaan menurap jalan tersebut terlebih dahulu bagi memberikan kemudahan untuk mereka berulang alik" ujar Yusof yang meninjau keadaan mereka semalam.

Salah seorang penduduk terbabit Nyemah Binti Mohamad, 50-an berkata mereka telah lama berpindah ke kampung tersebut tetapi kerajaan seolah-olah tidak mengendahkan kebajikan mereka.

"Kami sudah lama berpindah kerana mengikut arahan kerajaan supaya berpindah ke tempat baru setelah rumah dan tanah lama kami ambil untuk tujuan pembangunan tetapi kebajikan kami diabaikan" ujar Nyemah.

Yusof berkata sebelum ini penduduk terbabit terpaksa menyewa rumah selama 6 bulan yang mana kadar sewanya RM300 bagi setiap bulan di Lorong Undang, Bukit Katil kerana mereka tidak dapat berpindah ke rumah baru akibat  tiada jalan berturap dan tiada wang untuk membuat pendawaian elektrik.

"Akhirnya mereka sudah tidak sanggup lagi menyewa rumah sedangkan rumah baru mereka telah siap, akhirnya mereka berpindah juga walaupun keadaan tidak selesa" tambah Yusof.

Beliau berharap pihak yang berwajib dapat menunaikan permintaan supaya kemudahan asas disediakan terutamanya jalan yang sering berlumpur dalam keadaan hujan.

"Penduduk juga mengeluh kerana ada antara mereka yang terpaksa membayar harga rumah mereka yang melebihi dari wang pampasan yang diterima. Ada antara penduduk yang menerima kira-kira RM60,000 sahaja sedangkan harga rumah baru yang dibina mencecah lebih dari RM70,000"

"Mereka juga terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membuat pendawaian elektrik, paip dan sebagainya, ada antara mereka yang memang tidak mampu" tambah Yusof.

Menurutnya kerajaan Melaka jangan berlepas tangan dalam isu ini kerana rakyat berpindah ke tempat baru bukan atas permintaan mereka tetapi diperintah oleh kerajaan yang mengambil tanah mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...