Isnin, 31 Oktober 2011

Nasrudin Jangan Mudah Naik Angin

Oleh MSO

DALAM mana-mana parti politik Pemuda yang dianggap sebagai sayap kanan perlu agresif, peka dan sedia mempertahankan parti. Tetapi keperluan dan fungsi ini bukan bermakna boleh digunakan dengan rakus tanpa memikirkan hikmah di sebalik tindakan itu. Dalam kata lain bangkit tanpa usul periksa.

Sesuatu itu kena ditilik dan direnung secara mendalam sebelum bertindak dan membuat ulasan atau melakukan pembelasan dan tempelakan. Misalnya dalam mengulas kritikan atau teguran orang luar kepada parti hendaklah diteliti sejauh mana ia memberi kebaikan atau pun sebaliknya. Ada kalanya ia perlu diberi reaksi segera, ada kalanya tidak perlu langsung untuk tidak mengundang polimek yang boleh menjejaskan kredibiliti kita.

Tindakan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan memberi respons segera tanpa meneliti pandangan atau nasihat bekas Mufti Perli Asri Zainal Abidin, (foto) sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Tampak dalam kes ini Nasrudin membuat serangan balas secara membabi buta dan tidak pun melihat hikmah di sebalik nasihat Asri itu. Mungkin beliau terlebih aktif kerana menerima pancaran ajaib dari permata cincin hijaunya.

Sepatutnya Nasrudin memeriksa apakah yang dikatakan Asri sebenarnya. Apakah ia berunsur dengi khianat ataupun ada elemen keikhlasan untuk menambah baikkan sikap dan juga pembawaan pemuda di zaman Nasrudin.

Kalau Asri hanya memberi ingatan supaya Pemuda Pas tidak meniru aksi Taliban, apa salahnya. Meniru bukan bermakna menuduh. Itu nasihat dan Asri tidak pun membuat atau mencopkan Pemuda Pas sebagai Taliban. Kenapa harus dikelirukan perkataan itu yang akhirnya menyebabkan kita sebak. Sayang kerana .. mungkin ada sentimen lain nasihat Asri itu terus ditelan Nasrudin sebagai menganggap Asri menuduh Pemuda Pas Taliban. Kegaduhan inilah menimbulkan suasana tidak menyenangkan.

Bagi saya kedua pihak ada hak dan tanggungjawab masing-masing. Keduanya adalah ansurullah. Nasrudin dan Pemuda Pas berhak menegur atau menghalang konsert Elton John itu kerana alasan-alasan yang diberikan. Niatnya untuk mencegah kemungkaran. Tetapi Asri juga berhak memberi nasihat dari sudut pandangannya. Teguran itu saya kira bukan untuk memburukkan pemuda Pas sebaiknya meletakkan pemuda Pas sebagai barisan yang rasional dan tidak dianggap sebagai ekstrem dalam konteks siasah ala negara ini.

Dalam konteks hari ini pemuda Pas harus bersikap terbuka (berada di luar jendela masa) atau pun mengambil tindakan ke atas sesuatu kemungkaran itu secara bijaksana kerana pemuda Pas berada dalam sistem politik yang mana ianya diramui dengan pelbagai tafsiran dan persepsi. Apakah Nasrudin ingin membawa pemuda Pas keluar dari gelang sekular yang disarung Pas kini?

Diharap lain kali Nasrudin perlu mengamati apakah maksud dan mesej apa-apa kritikan atau nasihat yang dibuat oleh sesiapa saja untuk Pemuda bagi mengelakkan berlaku perlanggaran yang tidak memberi keuntungan kepada semua pihak dari segi moral berfikir. Jangan mudah bertindak balas tanpa membuat usul periksa kelak akan menampakkan kedangkalan dan kegaduhan kita dalam bertindak. Cara itu tidak fatah - profesional.

Berlega kepala dalam media dalam hal-hal seperti itu rasanya tidak banyak memberi kebaikan. Orang tidak menganggap ianya sikap pemuda yang cekap dan komited. Orang tidak akan melihat Nasrudin kuat berpegang kepada agama, dan orang tidak akan melihat Asri seolah menyokong maksiat yang bakal dihasilakn oleh Elton John. Sebaliknya orang akan lihat ia satu kenaifan politik orang Melayu dan Islam.

Seperkara perlu dihayati oleh kedua mereka dan juga orang Islam lain yang 'ada mulut', faham atau renung apakah tujuan dan matlamat sesuatu itu dibangkit. Kadang ia sengaja dibangkit untuk menampakkan keretakan yang kemudian diharapkan perpecahan sesama sendiri (Melayu dan Islam).

Kerajinan kita memberi kenyataan dan melayani pertanyaan-pertanyaan wartawan yang sudah ada agenda tertentu juga satu bahaya. Cara itu kita mendedahkan diri kita kepada pergaduhan sesama sendiri yang dinanti oleh musuh. Perkaraan ini nampaknya sudah jadi sindrom di mana kita bergaduh dan bertelagah kerana diacah oleh pihak kita. Janganlah mudah berlaga kepala dalam media dan janganlah murah mulut dengan wartawan yang kita tidak kenali latar belakang dan misinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...