Rabu, 21 Disember 2011

Tip mengurus peti sejuk

PETI sejuk, terutama sekali dalam rumah keluarga-keluarga yang aktif, mungkin sukar untuk diselenggara dan seringkali juga berlaku makanan yang disimpan menjadi rosak.

Ada antara kita yang tidak mengendahkan bagaimana kita dapat mengelolakan peti ais supaya makanan dan bahan-bahan yang dalamnya lebih tersusun.

Mengelolakan sebuah peti ais bererti lebih daripada hanya mengetahui di mana semuanya terletak.

Ia membabitkan memaksimumkan ruang dan memanjangkan jangka hayat simpanan barang-barang simpanan dalam peti sejuk.

Maka, adalah penting mengekalkan sebuah peti ais dalam satu keadaan yang terancang. Bukan apa kita tidak mahu peti ais yang tidak diselenggara dengan betul akan merosakkan makanan dan bahan mentah yang kita simpan di dalamnya dan dengan itu dapat jugalah kita elakkan pembaziran wang dalam jangka masa panjang.
Lagi satu jika kita menguruskan dengan tata cara yang betul atau kaedah penyimpanan yang betul dalam peti ais maka makanan yang disimpan lebih selamat dimakan.

Tip-tip berikut mungkin akan membantu menjadikan peti sejuk anda dalam keadaan yang lebih baik dan tersusun.

Pertama sekali, keluarkan semua barang di dalam peti sejuk sebelum anda memulakan urusan untuk mengemas peti sejuk anda.

Langkah ini membolehkan anda melihat keseluruhan bahagian di dalam peti sejuk anda dan memudahkan anda untuk membersihkan kawasan yang kotor.

Kemudian sisihkan barang-barang mengikut keperluan sahaja dan buang semua bahan yang tidak diperlukan dari peti sejuk.

Selepas anda membersihkan peti sejuk anda, langkah seterusnya adalah anda perlu asingkan semuanya kepada kumpulan makanan, seperti makanan yang diproses, daging-daging dan produk tenusu.

Untuk makanan yang tidak mempunyai bekas atau kontenanya sendiri anda perlu meletakkannya dalam bekasnya sendiri dalam kontena yang jelas supaya anda mudah untuk melihat apa kandungannya ketika anda mencari bahan itu didalam peti sejuk.

Bahan yang telah tamat tempoh dan telah menjadi rosak perlulah dibuang supaya ia tidak menyempitkan ruang penyimpanan peti sejuk.

Kita seringkali menyimpan makanan yang tidak habis dimakan di dalam peti sejuk maklumlah hendak dibuang pasti akan rasa membazir bukan?

Oleh itu, buang mana-mana barangan makanan yang anda tahu anda tidak akan makan sebelum ia menjadi rosak.

Misalnya, spageti lama yang telah dua minggu anda simpan adalah tidak lagi segar untuk dimakan semula ketika ini. Ruang-ruang tempat simpanan peti sejuk telah direka untuk makanan tertentu, seperti sayuran di bahagian laci bawah dan daging pula di bahagian simpanan beku.

Simpan makanan yang mudah layu seperti sayur-sayuran di para yang bersuhu sejuk-dingin supaya ia dapat memanjangkan kesegarannya. Suhu dingin yang akan memanjangkan hayat simpanan.Jadi simpan makanan menurut kesesuaiannya di tempat yang telah dikhaskan.

Saya mencadangkan anda untuk membaca manual peti sejuk anda supaya anda dapat laraskan suhu dan menyediakan suhu dengan betul.Jangan campur adukkan makanan yang mentah dengan makanan yang telah dimasak kerana dikhuatiri berlaku pencemaran silang iaitu boleh membuatkan bakteria daripada bahan mentah tercemar ke dalam makanan yang telah dimasak.

Tip yang paling penting adalah jangan anda menyusun barang terlalu padat kerana ini akan menyekat pengaliran udara sejuk dalam peti sejuk anda dan ini akan membuatkan makanan cepat rosak. 

utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...