SUNGAI PETANI, 5 Jan 2012 – Industri Sarang Burung Walit merupakan antara kegiatan sasaran kerajaan negeri yang akan diusahakan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memandangkan permintaan pasarannya amat tinggi terutama dari Negeri China.
“Sarang Burung Walit difahamkan mempunyai khasiat yang tinggi dan menjadi industri besar di China. Penggunaannya melebihi lima ratus tan metrik setahun dan harganya mencecah RM8 ribu sekilo,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan air, Sumber Air Dan Tenaga, YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi.
.
Katanya lagi, setakat ini Kedah hanya mampu mengekspot lebih kurang 6 tan metrik setahun selain negeri Kelantan, Terengganu dan Perak. Oleh itu, untuk menjamin pengeluaran Sarang Burung Walit yang bermutu serta berkualiti, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa kaedah memastikan pengusaha-pengusaha mengikut peraturan yang telah ditetapkan demi menjamin keselamatan, kesihatan pengguna dan persekitaran
.
“Kita telah menetapkan garis panduan melalui Jabatan Veterinar sebagai jabatan pemaju dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau dari segi pembinaan bangunan,” celah beliau.
Menurutnya, lebih 2,228 premis Sarang Burung Walit yang beroperasi di bandar, luar bandar, kawasan pertanian dan kawasan perumahan. Semua kawasan-kawasan berkenaan merupakan kawasan awam dan ada dikalangan mereka yang tidak mempunyai lesen.
Kerajaan negeri tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang kepada pengusaha yang beroperasi tanpa lesen memandangkan kos perusahaan berkenaan melibatkan belanja yang tinggi, walau bagaimana pun beberapa tindakan perlu diambil segera oleh pengusaha serta mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan.
“Langkah awal, setiap pengusaha perlu mendaftar dengan Jabatan Veterinar serta memohon lesen dari PBT.
“Ini sangat penting kerana setiap premis yang berdaftar akan direkodkan dan dipantau serta dikawal selia untuk memastikan taraf keselamatan dan kesihatan mematuhi peraturan,” kata beliau.
Selain itu jelasnya lagi, perusahan Sarang Burung Walit hanya dibenarkan beroperasi di kawasan perusahan ringan, kawasan pertanian dan kawasan kampung. Sementara itu, kawasan-kawasan yang tidak dibenarkan antaranya, kawasan komersial, kediaman, berhampiran hospital dan lapangan terbang.
“Isu yang kita hadapi sekarang, ramai pengusaha yang memulakan operasi sebelum peraturan dibuat.Walau pun sebelum ini kita telah adakan pelancaran pemutihan antara 15 Julai sehingga 31 Disember 2009 namun hasilnya kurang menggalakkan.
“Oleh itu, sekali lagi kita melancarkan pemutihan kali ke 2 dan berharap pengusaha yang belum mendaftar membuat pendaftaran sehingga 30 Jun 2012,” tambahnya lagi.
Kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada pihak pengusaha untuk meneruskan operasi sehingga diberi satu tempoh tertentu untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dan dalam jangka masa tempoh berikut, lesen sementara akan dikeluarkan.
‘Saya berharap, pelancaran pemutihan kali ini berjalan dengan lancar. Kita masih mengekalkan kadar bayaran dalam tempoh pemutihan ini sebanyak RM50 untuk pendaftaran Jabatan Veterinar dan RM180 untuk PBT. Selepas itu segala bentuk bayaran akan tertakluk kepada ruang lantai dan kapasiti sarang burung,” terang beliau.
Nasihatnya pada pengusaha agar menyertai persatuan kerana tidak semua yang menjalankan perusahan Sarang Burung Walit ini berjaya dan ada dikalangan pengusaha yang tertipu serta terpengaruh dengan individu-individu tertentu. Melalui persatuan, pengusaha akan diberi khidmat nasihat dari semasa ke semasa.
Harapannya juga terutama kepada pengusaha baru agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan kerana perusahan Sarang Burung Walit ini merupakan perusahan yang berisiko tinggi dan memakan belanja yang banyak.
“Bila nak bina bangunan perlu ada kelulusan dari konsultan dan kena ikut prosuder PBT. Daftar dengan Jabatan Veterinar, kemudian baru boleh pasang muzik panggil burung,” nasihatnya.
Beliau yang mewakili Menteri Besar seterusnya merasmikan Majlis Pelancaran Pemutihan Sarang Burung Walit Peringkat Negeri Kedah, yang diadakan di Taman Kam Pian, Jalan Sekerat, Sungai Petani.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan ‘steamer’ Program Pemutihan kepada Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar, semua Yang DiPertua dan Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Kedah.
wartakedah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan