Pedro di hadapan Masjid Kg Pandan, tempat dimana beliau melafazkan syahadah buat pertama kalinya. Pedro dilahirkan berbangsa Portugis di Melaka 56 tahun yang lalu. Beliau seorang penganut agama Kristian. Sumber pendapatannya ialah melalui sebuah restoran dan pub yang diusahakannya sekian lama.
Perniagaan PUBnya sungguh laris dan dipenuhi pelanggan setiap malam. Dia seorang yang mudah mesra dan bijak melayan para pelanggannya. Setiap malam dia akan minum arak bersama mereka. Berpuluh tahun lamanya, itulah cara hidup yang diketahuinya.
Ramai pelanggan menjadi sahabat karibnya, bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan tetapi juga di kalangan golongan ekspatriat yang ramai terdapat di sekitar Ampang yang terkenal dengan kawasan pejabat Kedutaan. Perniagaannya berkembang maju dan hidupnya mewah hasil dari penjualan arak.
Beberapa bulan sebelum Ramadhan 1432, hidupnya berubah secara drastik. Tidak tahu dimana dan bagaimana untuk memulakan cerita…secara tiba-tiba berbagai persoalan tentang Tuhan dan kehidupan masuk ke dalam fikirannya. Persoalan yang dia sendiri tidak tahu jawapannya. Hidupnya menjadi tidak keruan, jiwanya kacau, benaknya diasak persoalan.
Tiba-tiba bagai ada satu kuasa menyuruhnya untuk menulis bait-bait puisi yang ada di dalam kepalanya. Dia tidak faham apa yang ditulisnya lalu Pedro merujuk kepada seorang sahabatnya seorang penulis. Menurut sahabatnya apa yang digambarkan di dalam puisinya itu berbicara tentang Allah yang satu. Pedro menjadi bertambah bingung.
Suatu malam dia tersentak dari tidurnya dan serta-merta mulutnya menyebut “Allahuakbar”….. ungkapan yang tidak pernah disebutnya selama ini. Pedro tidak dapat melelapkan matanya malam itu. Bagaikan ada suatu desakan di dalam nalurinya untuk segera beriman kepada Allah.
Keesokannya hari Sabtu dia memohon bantuan seorang rakan untuk membawanya ke PERKIM. 2 jam menunggu rakan itu tidak kunjung tiba. Pedro terus memandu ke PERKIM sendirian. Tiba di PERKIM, Pengawal Keselamatan di situ enggan membenarkan dia masuk dengan alasan pejabat tutup, meskipun terdapat beberapa orang ustaz yang sedang mengajar kelas agama di tingkat atas.
Pedro terus memandu dan tidak tahu ke mana arah untuk dituju dan kepada siapa untuk mengadu. Dia tidak lagi dapat menanggung desakan di dalam jiwanya yang tidak akan tenteram selagi dia tidak menemukan jawapannya hari itu juga. Lalu dia terpandang sebuah masjid berhampiran dan mengambil keputusan untuk berhenti dan masuk memohon bantuan.
Dia terserempak dengan beberapa orang jemaah yang baru habis menunaikan solat dan meminta mereka membawanya bertemu dengan orang yang dapat membantunya. Mereka seakan tidak acuh dengan permintaannya dan menyuruh dia masuk ke dalam mencari sendiri. Akhirnya beberapa orang pengikut tabligh yang berada di dalam masjid menawarkan diri untuk membawa dia ke rumah Imam yang terletak di belakang masjid.
Malangnya Imam sudah keluar. Lalu mereka mengambil keputusan untuk memohon bantuan pembantu Imam. Sampai di rumahnya, isteri pembantu imam tidak membenarkan mereka mengganggu suaminya yang sedang tidur. Walaupun dipujuk berkali-kali dia tetap enggan mengejutkan Imam. Dengan kuasa Allah tiba-tba Imam pun tiba dengan motorsikalnya di rumah bersebelahan. Lalu mereka menemui beliau dan memohon bantuannya. Hari itu juga Pedro memeluk islam dan memilih “Abdul Aziz” sebagai nama baru.
Fauzi, Pengurus Restoran milik Pedro yang telah bekerja dengannya lebih dari 15 tahun. Perubahan Pedro telah mendorong kakitangannya untuk turut berubah menjadi insan yang lebih baik.
4 hari selepas berakhirnya Ramadhan, Pedro membuka restorannya semula dan menukar ia dari sebuah pub kepada sebuah Restoran Portugis Islam. Pekerjanya yang beragama Islam juga kembali bekerja malah telah menjadikan Pedro sebagai inspirasi dan contoh untuk mereka bertaubat dan mendekati Allah. Mereka mula berusaha untuk tidak meninggalkan solat.
Isterinya masih lagi seorang Kristian…seperti kata Pedro; “berikan dia masa…hidayah itu harus datang dari dalam dirinya dan bukan dipaksa”. Anak-anaknya secara perlahan-lahan sudah mula dapat menerima Pedro sebagai seorang Islam.
Pedro harus bangkit semula membina hidupnya di hujung usia setelah kehilangan semua pelanggannya. Jika dahulu dia boleh memperolehi pendapatan sehingga 5 ribu ringgit sehari, sekarang 500 ringgit pun agak payah. Namun keyakinannya terhadap agama yang dipilihnya menjadikan dia lebih tabah dan pasti bahawa hidupnya kini lebih baik dari hari-hari semalam.
Inilah kisah beliau. Kisah sebuah penghijrahan dari kejahilan ke jalan Allah SWT dan bagaimana ia merubah 360darjah hidupnya.
Ketika saya meminta untuk menulis kisah beliau, Pedro sangat keberatan. Beliau tidak mahu menggunakan Islam sebagai landasan untuk menarik pelanggan ke restorannya. Tetapi setelah dipujuk dan saya menyatakan niat saya supaya ceritanya ini untuk tujuan berdakwah dan sebagai inspirasi kepada orang lain barulah beliau bersetuju.
islamituindah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan