Masyarakat majmuk Malaysia telah melahirkan kombinasi pelbagai hidangan sehingga membentuk satu budaya makanan tradisional yang cukup unik.
Adab dalam pemakanan tradisional dalam menjalani kehidupan harian ini, yang diamalkan generasi lalu, juga banyak memberi manfaat terhadap kesihatan.
Namun faktor pembangunan memberi kesan kepada tabiat pemakanan dan kesihatan rakyat masa kini. Ini diakui Kementerian Kesihatan semasa 'Seminar Peranan Media Meningkatkan Taraf Pemakanan Rakyat' yang diadakan di sini baru-baru ini.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan, Fatimah Salim, dalam usaha mengejar status sebagai sebuah negara maju, pembangunan pesat Malaysia dalam memacu kemajuan ekonomi membolehkan rakyat memperbaiki tahap pendidikan serta sosioekonomi mereka.
Namun faktor peredaran zaman, pembaikan taraf hidup dan perubahan status sosial serta akses mudah kepada makanan barat terutama restoran makanan segera sejak sekitar tiga dekad yang lalu, banyak mengubah tabiat pemakanan tempatan.
Kini terdapat banyak juga restoran yang menghidangkan makanan yang berasal dari luar negara seperti makanan Jepun, Itali, Arab, India dan Amerika.
Ada juga restoran yang tampil dengan suasana mewah dan eksklusif bagi memancing golongan muda agar berbelanja lebih tinggi sebagai tanda status sosial dan gaya hidup mereka.
TABIAT TIDAK SIHAT
Pendek kata tabiat pemakanan rakyat Malaysia kini telah banyak berubah, iaitu menjadi kurang berkhasiat.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam kementerian, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata masyarakat kini semakin gemar makanan yang berlemak dan berminyak selain mempunyai kandungan tinggi garam, gula dan bahan perasa tiruan.
"Memburukkan lagi keadaan, rutin harian kehidupan kita pula menjadi semakin mudah dan sedentari," ujarnya.
(Gaya hidup sedentari bermaksud rutin yang tidak mempunyai atau kurang aktiviti fizikal).
Perubahan lain termasuk meninggalkan sarapan pagi khususnya bagi golongan pekerja dan pelajar, tetapi banyak makan pada waktu malam serta amalan makanan selesa untuk mengatasi tekanan seperti makanan berlemak dan manis.
Ini ditambah pula dengan kewujudan banyak restoran yang beroperasi 24 jam.
KESAN MAKAN DAN SANTAI
Budaya makan dan santai berlebihan menyebabkan pengambilan tenaga yang tidak seimbang berbanding penggunaan tenaga, atau dengan kata lain, banyak makan sehingga terlalu banyak tenaga berlebihan.
"Akibatnya tenaga terkumpul menjadi lemak membuatkan seseorang itu menjadi gemuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit," terang Dr Feisul Idzwan.
Jelas beliau, tiga Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) utama ialah penyakit kardiovaskular, diabetis dan kanser.
Selain itu individu gemuk juga terdedah kepada masalah yang datang bersama obesiti seperti angin ahmar, serangan jantung, sakit sendi dan sukar bernafas.
PUNCA KEMATIAN, OBES
Katanya lagi statistik kesihatan negara bagi tahun 2006 mendedahkan bahawa kematian ekoran NCD di Malaysia adalah amat tinggi.
Ia didapati sebagai punca kematian sekurang-kurangnya 26 peratus dari keseluruhan kematian hospital awam negara dan satu daripada empat kematian melibatkan individu berusia kurang 60 tahun sedangkan golongan ini merupakan kumpulan masyarakat yang produktif dari segi ekonomi.
NCD berkongsi tiga faktor risiko utama iaitu gaya hidup sedentari, pemakanan tidak sihat dan merokok.
Menurut statistik bagi tahun 2006 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, sekitar 1.7 juta warganegara dewasa adalah obes selain 3.6 juta lagi mempunyai berat badan berlebihan.
Dalam kalangan negara Asia, Malaysia menduduki tempat keenam kadar obesiti paling tinggi Asia.
Lain-lain data berkaitan yang perlu diambil kira ialah bilangan dewasa perokok iaitu seramai 2.8 juta orang manakala 5.5 juta lagi menjalani gaya hidup santai atau tidak aktif secara fizikal.
Statistik itu turut menyentuh dua penyakit lain yang berkaitan dengan tabiat pemakanan tidak sihat iaitu diabetis dan darah tinggi.
Didapati seramai 4.8 juta warganegara yang berusia 18 tahun ke atas menghidap darah tinggi, manakala penghidap diabetes meningkat sekali ganda berbanding 10 tahun sebelumnya iaitu kira-kira 1.5 juta orang.
KANAK-KANAK OBES
Kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah berusia antara enam dan 12 tahun juga amat membimbangkan.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 2007 menyatakan bahawa bilangan kanak-kanak obes Malaysia pada tahun persekolahan 2007/08 ialahsebanyak 13.7 peratus, meningkat hampir empat peratus berbanding enam tahun sebelumnya.
Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2009 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nestle Malaysia, bilangan kanak-kanak obes negara, melonjak sebanyak 26.5 peratus dan ini dijangka akan terus meningkat selari dengan peningkatan tahap sosio-ekonomi negara.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang berpusat di Amerika Syarikat menyatakan kanak-kanak yang berlebihan berat badan akan terus menghadapi isu berat badan seperti obesiti selain rendah keyakinan diri, apabila mereka meningkat dewasa.
PERANAN IBU BAPA
Ibu bapa disarankan tampil dengan cara yang lebih kreatif membina rutin harian yang lebih sihat terhadap anak-anak mereka dengan memasukkan aktiviti kecergasan fizikal dan mental yang lebih interaktif dan menyeronokkan di rumah.
Rutin seperti berlumba jalan kaki ke kedai, bermain badminton atau layang-layang bukan saja menyeronokkan malah melengkapkan keperluan senaman untuk setiap ahli keluarga.
Menurut CDC, usaha ini akan lebih berjaya sekiranya aktiviti bercorak permainan atau pertandingan yang memenuhi kehendak anak-anak dijalankan.
Untuk lebih berkesan, mungkin ibu bapa boleh berbincang dengan anak, meminta cadangan aktiviti yang disukai mereka untuk dimasukkan ke dalam jadual harian.
Selain itu, memandangkan kanak-kanak kini telah biasa dengan budaya makanan ringan dan segera, ibu bapa mesti mempunyai pengetahuan tentang nutrisi dan tabiat pemakanan yang seimbang.
Sudah tentu menjana kehidupan sihat adalah satu cabaran besar kepada ibu bapa.
Apapun langkah pencegahan dari usia muda adalah lebih baik, kos-efektif dan berkesan berbanding merawat penyakit kronik di usia tua.
bernama
MindaRakyat Tidak dikemaskini, sila ke 1 Media - https://www.1media.my/
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan