Isnin, 4 Februari 2013

Aku Bukan Rabiatul Adawiyah


Dia merenung ke dada langit. Bayu yang semilir menampar lembut pipi mulusnya. Dia memejamkan mata, cuba untuk merasai bayu ciptaan Tuhan. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Hembusan bayu di pantai itu sungguh mendamaikan qalbu. Apatah lagi qalbu yang kini sedang menyepi. 
Matanya terarah ke hadapan. Laut membiru terbentang luas di hadapannya. Deruan ombak yang beralun mengusik hati dan jiwanya. Jiwanya bergolak. Akalanya berselirat. Hatinya berkecamuk. Banyak persoalan yang bermain di mindanya. Ada sesuatu yang membelenggu hati dan fikirannya. Dia berjalan ke arah laut yang terbentang luas. Tidak menghiraukan andai sarung kaki miliknya basah dek terkena air laut yang masin itu. Jubah miliknya diangkat sedikit. 
 
 
 
 
Sejuk. Itu yang dia rasakan. Tatkala ini tiba-tiba sahaja pipinya hangat. Ya, hangat dek airmata yang membasahi pipinya. Dia membiarkan. Dia melihat keadaan sekeliling. Masing-masing sibuk dengan diri masing-masing. Ada yang bergelak ketawa. Ada juga yang sedang melayani jiwa sepertinya. Anak-anak kecil sibuk berlari ke sana ke mari. Dia tersenyum. Tersenyum dalam tangisan yang menghibakan. 
 
''Mereka masih kecil,'' bisik hatinya. ''Mereka masih belum tahu erti hidup. Masih belum mengerti bagaimana untuk bernafas dalam jiwa hamba,'' hatinya bermonolog lagi. 
 
Untuk kesekian kali, dia memejamkan matanya lagi. Kali ini airmata yang mengalir di tubir matanya makin laju mengalir. Mengalir tanpa henti. 
 
''Ya Allah, berdosakah aku merindui hamba-Mu itu?''
Kali ini airmata miliknya jatuh ke dalam air laut yang masin, bergabung menjadikan lautan itu seakan sebati dengan dirinya yang kian berduka lara.
 
****
''Wardah, kamu ke mana?'' Umi bertanya lembut. Dia cuba tersenyum untuk uminya. Dia mendekati uminya yang sibuk menyimpan buku-buku miliknya. Uminya ini rajin sungguh. Padahal, bukannya dia tidak boleh melakukan itu semua sendiri. 
 
''Umi, tak payah lah simpan. Nanti Wardah simpan,'' Dia menarik uminya lembut. Uminya tersenyum. Namun, senyumannya serta-merta mati. Dibelek wajah satu-satunya puterinya itu. Naluri ibu mengatakan, ada sesuatu yang tidak kena. 
 
''Wardah, kamu menangis?'' Uminya menyentuh pipi mulusnya. Dia menggeleng. Berusaha untuk menidakkan. ''Eh? Mana ada umi. Tadi kan Wardah pergi pantai. Lepas tuh, biasalah ada angin kan. Tuh yang pasir masuk tuh,''
 
Menangis hatinya kerana 'terpaksa' menipu uminya. Jika dia tidak lakukan begini, uminya akan susah hati. 
Tiba-tiba sahaja uminya memeluk dirinya. Kini, dia tidak dapat menahan lagi benteng airmatanya. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini dia begitu sensitif. Sangat-sangat sensitif. ''Umi tahu puteri umi sedang berduka. Umi tahu puteri umi sedang mencipta alasan. Moga Allah memberimu kekuatan nak,'' Itu doa seorang ibu dalam hatinya.
 
****
Malam itu, dia berkesempatan untuk menunaikan solat Isyak berjemaah bersama orang ramai di kampungnya. Maklumlah, sejak dia diterima belajar di Universiti Islam Antarabangsa(UIA) dia tidak berkesempatan untuk solat berjemaah bersama orang di kampungnya.
 
Dia menggeliatkan tubuhnya. Usai menghafaz surah Al-Mulk, dia mengulang-ulang bacaannya. Dia impikan dirinya menjadi 'Hamilatul Quran' sesuai dengan keinginan walid dan uminya. Usai mengulang-ulang. Dia berpuas hati dengan bacaan dan hafazannya. Esok dia harus tasmik dengan abang sepupu yang dikasihinya. Maklulmah, dia hafaz sendiri-sendiri. Dia juga sedang cuba mengusahakan seorang guru di universitinya. Tahun depan, entah dengan siapa dia mahu tasmik. Abang sepupu yang dikasihinya itu sudah mahu 'terbang' ke Mesir. Tempat di mana dia ingin pergi suatu hari nanti.
 
Dia membuka 'lappy' kesayangannya. Pemberian walidnya waktu dia mendapat 5A dalam UPSR. Kini usianya sudah 19 tahun. Sudah 7 tahun usia 'lappy' nya itu. Dengan lafaz bismillah dia membuka harta kesayangannya. Entah mengapa, malam ini dia mahu berkarya. Biasalah, bila dia dirundung keresahan, dia akan terus solat dan baca Al-Quran. Setelah itu, dia akan 'menulis'. Menghuraikan dan menyimpulkan maksud di jiwa melalui tintanya di blog. Dia masih ingat pesan umi sewaktu dia mula-mula menulis.
 
''Wardah, menulis harus dengan hati. Dengan iman. Bukan sekadar bisunya bicara kalam. Harus ada 'roh'. Perlu ada 'cinta'. Barulah dapat menyentuh hati dan jiwa seseorang. Tidak ramai yang tahu menulis dengan hati dengan iman. Tajdid niat sentiasa. Menulis kerana-NYA.''
 
Itulah bait-bait kalimah dari seorang umi yang sangat-sangat dia kasihi sewaktu dia memberitahu dia ingin menjadi seorang penulis. Dia ingin memberi manfaat kepada orang lain. Sebenarnya, dia menulis untuk menegur dirinya sendiri pada asalnya. Namun apabila membaca satu hadis, segalanya berubah.
 
Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya :
''Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain,''
(Riwayat Al-Baihaqi)
Kini dia lebih terdorong untuk menulis. Menulis untuk memberi peringatan pada dirinya dan juga pada orang lain. Setakat ini, dia masih tidak mampu untuk menyeru secara lisan, sebab itu dia cuba memberi dan menyeru secara penulisan. Menulis sedikit sebanyak membantunya mencari kelemahan dan kekuatan. Menulis juga banyak membantunya dalam melakukan perubahan secara perlahan-lahan.
 
Jari-jemarinya mula rancak menari di atas papan kekunci. Anak matanya bergerak-gerak. Dahinya kadang-kadang dikerutkan tanda dia sedang berfikir. Akhirnya, perkongsian dari hati itu selamat diterbitkan.
 
''Alhamdulillah,'' Ada senyuman yang terukir di bibirnya. 
 
Usai menulis, dia bergerak ke arah beranda di biliknya. Bintang-bintang di langit mencerahkan keadaan di bumi. Dia tersenyum sendiri. Namun, senyumannya tidak lama. Tiba-tiba sahaja senyumannya mati. Perasaannya berperang lagi. Ingatannya kembali pada seseorang yang sering mengusik hatinya. Puas dia menidakkan. Puas juga dia menghalang. 
 
Namun, hati dan akalnya sering mengiyakan. Dia tidak dapat menafikan, kadangkala sedang dia bersendirian, rindu itu bertamu juga di hatinya. Dia bimbang, bimbang hatinya dimasuki virus dari syaitan. Dia beristighfar. Tidak mahu melayani perasaan. Bukan dia cuba menidakkan fitrah Allah kurniakan, namun dia tidak mahu terus-terusan hanyut dalam perasaan. 
 
Banyak lagi yang perlu dia fikirkan. Hamparan perjalanannya masih panjang, bahkan terlalu panjang. Banyak impian yang dia hajatkan. Dia tahu selama-lamanya dia tidak akan mampu menjadi seperti serikandi Islam yang bergelar Rabiatul Adawiyah itu. Cinta-NYA pada Rabbi begitu tulus dan telus! Sedangkan dirinya??!!
Dia menangis lagi. Kali ini teresak-esak dia menangis. 
 
Dia juga ingin menjadi seperti Rabiatul Adawiyah yang cintanya terhadap Illahnya tidak pernah berbelah bahagi dan terbagi. Dia ingin mencintai Tuhannya sehingga tiada ruang untuk dia mencintai dunia. Namun, dia seringkali tersungkur. Dia masih bertatih untuk menjadi seorang muslimah yang solehah dan mukminah. Dia juga baru berhijrah. Baru mengenal erti dan cara bagaimana untuk bernafas dalam jiwa hamba. Sungguh! Dia tidak mahu kembali ke masa lalu. Wardatul Jannah yang dulu sudah mati! Yang tinggal kini adalah Wardatul Jannah yang baru. 
 
Wardatul Jannah yang sudah mula mengenali siapa Tuhannya, siapa rasulnya dan untuk apa dia diciptakan. Wardatul Jannah yang hidup kini adalah Wardatul Jannah yang ingin menjadi Khairatun Hisan di syurga gelak. Kendatipun dia tahu, dia sungguh tidak layak untuk cinta-NYA apatah lagi jannah-NYA! Terduduk dirinya menangisi setiap dosa dan noda yang telah dia lakukan untuk masa silamnya. Berkali-kali dia beristighfar memohon kemapunan Ilahi. Saat seluruh alam mencemuhnya, DIA memujuknya dengan ayat-ayat cinta-NYA. 
 
Dia tahu. Dia bakal berhadapan dengan pelbagai cemuhan di dunia ini. Sama ada dia baik atau tidak, manusia akan terus-terusan menilainya. Dia tahu dan dia sedar! Namun, dia seringkali memujuk hatinya. Kalau ingin berubah kerana-NYA, untuk apa gentar pada manusia? Kau siapa? Aku siapa? Dia siapa? Mereka siapa? Argh! Kita semua sama! Kita hanyalah hamba-NYA! Hamba yang lemah dan tidak akan lepas daripada melakukan dosa dan noda! Kita bukan Nabi! Kita bukan Malaikat! Kita hanyalah hamba! Yang diciptakan untuk beribadah kepada-NYA! Kita kotor! Kita hina! Kita jijik! Asal penciptaan kita hanya dari setitis air mani yang hanyir. Itulah hakikatnya. Itulah kita. Lalu, mengapa kita seringkali berbalah dengan-NYA? Berbalah dengan hukum-NYA? DIA sudah mengatur cantik kehidupan kita. Mengapa kita serngkali memusuhi-NYA? 
 
Allah. Allah. Allah.
Dia menekan-nekan dadanya yang sakit. Sakit berperang dengan iman dan nafsu. Inilah jihad yang sebenar-benarnya. Jihad menentang hawa nafsu! Dalam hadis Jabir, sekumpulan sahabat pulang dari satu peperangan, lalu Rasulullah S.A.W bersabda :
 
Kamu pulang dari jihad kecil kepada jihad yg lebih besar, iaitu: Mujahadah seseorang hamba terhadap nafsunya.(HR: Dailami)

Nabi SAW bersabda :
“Orang yang berjihad ialah orang yang melawan nafsunya” HR Tirmizi (no: 1621). Katanya: Hadis Hasan Sahih.

Dia tekad. Dia harus melawan dan menepis segala rasa rindu yang bertamu di hatinya. Rindu itu tidak halal baginya. Biarlah rindunya kepada kepada Yang Haq. Biarlah rindunya itu hanya kepada Allah, Rasul-NYA, dan keluarganya. Dia tidak mahu hanya kerana secebis rindu yang bertamu dalam hatinya, segala-galanya berantakan. Hafazan entah kemana, pelajaran entah kemana, hati entah kemana. Dia sedar, seandainya dia terlalu terbuai akan rindu yang bertamu, akan ada noda hitam di hatinya. 
 
Bagai ada sesuatu yang memegang erat hatinya. Argh! Biarkanlah yang fitrah itu bermujahadah dahulu! Yang penting amanah! Dia tidak mahu yang fitrah itu menjadi fitnah! Dia tidak mahu yang amanah itu akhirnya menjadi sampah! Tidak! Dia harus bangkit berjuang! Antara iman dan nafsu, dia berjuang untuk meraih mahkota cinta dari syurga. 
 
Sabarlah wahai hati. Seandainya dia jodohmu, pasti Allah akan mendekatkan hatinya dengan hatimu. Andainya tidak, Allah menyediakan seseorang yang lebih baik dan lebih layak untukmu. 
 
Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. ( QS. Al Israa’: 32)
 
Ketika cinta kini hadir tidak untuk Yang Maha Mengetahui, saat secercah rasa tidak lagi tercipta untuk Yang Maha Pencipta. Izinkanlah hati bertanya untuk siapa ia muncul dengan tiba-tiba, mungkinkah dengan redha-NYA atau hanya mengundang murka-NYA.
 
Jika benar cinta itu kerana Allah maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran Allah kerana hakikatnya ia berhulu dari Allah maka ia pun berhilir hanya kepada ALLAH.
 
" Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin ALLAH akan memampukan mereka dengan kurniaNYA." (QS. An Nuur: 32 )
 
Tetapi jika kelemahan masih tidak mampu , maka bersabarlah. Berdoalah. Berpuasalah.
 
Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah bersedia untuk bernikah, maka menikahlah, sesungguhnya nikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara kamu belum sanggup untuk menikah, maka berpuasalah, kerana sesungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya. ( Hadis )

Cukup cintai dia dalam diam. Bukan kerana membenci hadirnya, tetapi menjaga kesucinnya. Bukan kerana menghindari dunia tetapi meraih syurga-NYA. Bukan kerana lemah untuk menghadapinya, tetapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus dan menyelusup sanubarinya.
Cukup cintai dia dari kejauhan.
 
Kerana hadirnya tiada kan mampu menjauhkan dirinya dari ujian. Kerana hadirnya hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan. Kerana mungkin saja ia akan membawa kelalaian. Cukup cintai dia dengan kesederhanaan.
 
Memupuknya hanya akan menambah penderitaan. Menumbuhkan harapan hanya akan memberi kebahagiaan para syaitan. Maka cintailah dia dengan keikhlasan. Kerana tentu kisah Fatimah dan Ali Bin Abi Talib diingini oleh hati. Tetapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salman Al Farisi?
 
Pilihan Allah itu yang terbaik.
“.. boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” ( QS. Al Baqarah: 216 )
 
Cukup cintai dia dalam diam dari kejauhan dengan kesederhaan dan keikhlasan. Kerana tiada yang tahu rencana Tuhan. Mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan. Kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikkan. Serahkan rasa yang tiada sanggup mengenepikan cinta Tuhan itu pada Yang Memberi dan Memilikinya. Biarkan DIA yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya.
 
" Barangsiapa yang menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga” (Umar Bin Khattab ra)
 
Aku memang bukan Rabiatul Adawiyah!
Namun....
Aku akan cuba setia dengan cinta Illah!
*Monolog diri dan hati yang masih mencari cinta Ilahi,cinta yang hakiki
p/s : Artikel Sumbangan Hurun Ain.
 luvislam92.blogspot.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...