'Kalau
engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu. Tandanya
hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah didaftar anak bumi yang
terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas Kasih-Nya kepadamu lantaran
pergaduhan hati sesama makhluk. Dan jiwa di seberang masyrik dan maghrib
telah terkungkung di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di
sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam
falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan
ke telingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian, dua jiwa
berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam, keduanya
berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu
bersungguh-sungguh.
Dan jika engkau mencintai tetapi cintamu tak terbalas, senangkan jugalah
hatimu. Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan
ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jatuh dari
matanya: dia akan cinta , cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada
cinta lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian
meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Dengan sebab itu,
engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada
pada insan, ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah
menerima dan menyuburkan cinta, walau bagaimana besarnya tanggunganmu,
kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa
tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila
lalunya.
Hendaklah engkau menjadi orang yang besar, yang sanggup memikul cinta
yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan
murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi
naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa
yang sukar ditempuh oleh manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup itu
berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh
kerinduan itu sendiri.'
Cinta yang
sejati adalah cinta di antara dua hamba Allah yang dipaterikan oleh
cinta kepada Allah. Janganlah kita berkhayal kerana iblis suka meracuni
jiwa yang lalai.
http://madah-tazkirah.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan