Ahad, 8 Disember 2013

Cerpen - DULU SALING MEMBENCI, SEKARANG SALING MENCINTAI.

“Tak boleh! Walid tak boleh paksa Aulia balik kampung. Johor bukan kampung Aulia, itu kampung abang. Aulia tak nak! Umi tolonglah Aulia, umi tak sayang ke dekat anak perempuan umi ni?” Aku yang berkeras tidak mahu pulang ke kampung merayu pula kepada umi yang duduk di sebelah walid.

 “Aulia, disebabkan sayanglah umi setuju dengan cadangan walid.” Pujuk umi sambil mengusap tanganku yang memegang tangannya. 

Sejujurnya aku bukanlah tak suka dengan persekitaran kampung. Lagi-lagi bila kampung tu ada dusun buah, pemandangan yang indah dan ada sebatang sungai yang sentiasa terjaga cuma aku malas, risau dan takut nak berhadapan dengan seseorang yang bernama Puan Najah. Orang yang akan membuatkan hidup aku tak tenteram, terancam sehinggalah terjadinya simpton-simpton tidur tak lena, makan tak kenyang dan mandi tak basah.



“Tak! Itu bukan sayang namanya. Umi macam tak kenal dengan nenek, garang dia mengalahkan singa. Aulia tak sanggup nak menempah sangkar singa mengaum. Baiklah! Aulia janji yang Aulia akan berubah seperti walid dengan umi nak tapi tolong jangan hantar Aulia balik kampung.” Naik jemu aku memujuk walid untuk membatalkan niatnya. Sampaikan sekarang ni aku sendiri dah tak terkira untuk berapa kali aku memujuk dan merayu kepada walid namun semuanya ternyata ‘hampeh!’. 

“Aulia ingat walid akan berkompromi untuk kali kedua? Dah banyak kali walid bagi peluang, tapi sekali pun Aulia tak nak dengar. Walid dengan umi sayangkan Aulia sebab tu kami nak yang terbaik untuk Aulia. Walid tak kisahlah Aulia nak anggap walid macam mana yang penting, keputusan walid adalah muktamad!” Putus walid sebelum meninggalkan aku yang terkulat-kulat mendengar keputusan rasminya.

“Walid! Walid! Dengarlah dulu Aulia nak cakap. Umi tolonglah Aulia, Nek Jah tu garang. Cuma Abang Nazrin saja yang boleh masuk dengan nenek tapi bukan Aulia.” Giliran umi pula aku cuba memujuk tetapi umi hanya menarik senyum sebelum mengikut langkah walid masuk ke bilik.

Arghh! Semuanya nak tinggalkan aku. Apa? Ingat aku ni teruk sangat ke sampai kena hantar balik kampung gara-gara dengan alasan nak jadikan aku gadis Melayu. Ini semua nenek punya idea. Aulia tak nak! Tak nak...

*****
Dalam aku berkeras tak nak balik kampung akhirnya kaki aku terpaksa juga jejak di bumi Johor. Ini semua terjadi sebab kena ugut dengan walid lah. Kalau aku tak ikut cakap dia dan Nek Jah segala elaun dan apa-apa kemudahan yang aku dapat akan ditarik balik. Adil ke macam tu? 

“Nazirah Aulia, tercegat apa dekat situ? Cepat naik!” Arah Nek Jah dari muka pintu dengan suaranya yang lantang. Belum hilang pun kereta walid meninggalkan kawasan kampung aku, Nek Jah dah mula nak guna kuasa vetonya.

“Yalah nek, Aulia naik.” Aku yang terpaksa akur dengan arahan Nek Jah terpaksa juga mendaki satu persatu anak tangga.

“Bawa semua beg-beg ni masuk bilik. Kemas baju elok-elok, letakkan baju dalam almari yang nenek sediakan dan pastikan rapi.” Pesan Nek Jah lagi sebelum menghilangkan dirinya ke dapur.

Nenek aku ni tak tahu ke cucu dia tengah penat? Dari Kuala Lumpur ke Johor ingat dekat ke? Bagilah aku rehat, ni baru sampai dah berdozen-dozen bagi arahan dekat aku. Beg yang berada di ruang tamu, terpaksa juga diangkatnya dengan susah payah. Terasa sangat saat ni hidup macam anak terbuang, menagih kasih pada yang tidak sudi.

“Ya Allah. Nazirah Aulia! Anak dara apa tidur petang-petang ni? Bangun!” 

Berdesing telinga aku mendengar bebelan daripada seseorang. Mata yang masih lagi mengantuk terpaksa juga aku gagahkannya untuk dibuka. Terpacul muka Nek Jah yang bengis di depan mata. “Mak!” Kerana terperanjat aku tergolek jatuh dari katil.

“Bertuah punya cucu. Aku suruh kau kemas baju, bukan tidur! Kau bangun mandi, solat asar lepas tu kemas semua baju-baju ni.” Bebel Nek Jah lagi mengalahkan bertih jagung.

“Kemas baju apa? Bibik kan ada, suruhlah dia yang kemas.” Aku yang masih mamai mengesot ke tepi katil sambil mengurut-gurut pinggang yang masih terasa sakit.

“Banyak kau punya bibik? Ingat ni Kuala Lumpur? Pergi mandi cepat!” Arah Nek Jah kali ni aku merasakan yang rumah kayu ini seakan bergegar kerana suara lantangnya.

 Kalau setiap hari aku perlu berhadapan dengan situasi yang sama macam sekarang tak hairanlah dua tiga bulan akan datang aku pula boleh jadi pekak.“Ya! Aulia nak mandilah ni.” Kerana dipaksa oleh Nek Jah akhirnya aku terpaksa juga mengalah.

Selesai saja aku memenuhi arahan Nek Jah, perut yang berkeroncong dari tadi memaksa aku untuk turun ke dapur.

“Nek oh nek!” Dah satu rumah aku berteriak memanggil Nek Jah tapi batang hidung dia pun tak muncul. Disebabkan perut aku sekali lagi berkriuk minta diisi, aku kembali semula ke dapur. Dari jauh tudung saji yang terletak cantik di atas meja diangkat oleh aku. Senyuman syukur yang tadinya terukir cantik di bibir kian layu bersama perasaan hiba yang lahir dari hati.

“Apa lagi dugaan aku ni? Mana lauk? Mana nasi? Aku nak makan apa?” Soal aku bertubi-tubi untuk diri sendiri. Aku hanya mampu melihat tudung saji yang berada di depan mata dengan perut yang kosong.

“Termenung apa tu?” Soal Nek Jah dari muka pintu belakang.

“Tak ada apa-apalah. Nek, tak ada makanan ke? Perut Aulia dah lapar sangat ni.” Adu aku sambil mengusap perut yang sedang kelaparan.

“Ada! Ini dia...” Jawab Nek Jah sambil menunjukkan aku tiga ekor ikan keli yang masih hidup.

Ikan misai? Biar betik nenek aku ni. Perut aku dah lapar sesuka hati pula dia nak buat lawak.

“Nek biar betul ikan misai tu? Lagipun ikan tu belum masak. Aulia nak lauk yang dah dimasak siap terhidang atas meja.”

“Inilah anak dara zaman sekarang. Selama ni hidup ada orang gaji sampaikan buat kerja pun malas. Orang malas ni selalunya rugi. Kalau tak nak masak tak apa, aku tak kisah sebab dah kenyang.” Sindir Nek Jah sambil meletakkan ikan keli yang masih hidup itu di dalam periuk.

Arghh! Geramnya... Nak main ugut-ugut pula. Aku bangkit dari tempat duduk menuju ke arah Nek Jah yang sibuk menguruskan ikan misainya itu. “Ala nek, Aulia tak makanlah ikan ni. Masak lainlah nek, boleh kan?”

“Ada aku kisah? Selagi ikan ni tak dimasak, lauk lain pun tak akan dimasak!”

Ada juga orang tua macam ni? Bukan nak mengalah, dah tu aku dulu ke yang kena mengalah ni? “Baiklah nek. Sekarang ni nenek nak Aulia buat apa?” Nek Jah yang tersenyum mendengar soalan aku memuncungkan bibirnya ke dalam singki di mana ikan keli itu berada. 

Terjenggil biji mataku, faham dengan maksud Nek Jah. “Nek tak kanlah Aulia kena uruskan ikan misai tu? Kan ikan tu ada sengat. Nek tak sayang ke dengan satu-satunya cucu perempuan nenek ni?” Aku melancarkan kempen meraih simpati.

“Sayang tak sayang. Cepat siang ikan tu!” Arah Nek Jah dengan tegas. Dia mengambil tempat di meja makan dan hanya melihat saja gelagat aku menguruskan ikan-ikan kelinya.

Siang? Nak siang macam mana? Ikan ni masih hidup lagi, dah lah dengan badannya berlendir. Ikan ni pun satu, yang liat sangat nak mati kenapa?

“Tengok apa lagi? Cepatlah!” Tegur Nek Jah yang dari tadi sengaja nak mengenakan aku.

“Sabarlah nek, ikan ni degil sangat. Air tak ada pun tak nak mati-mati lagi.” Aku memberi alasan. Nek Jah pula yang dengar jawapan aku hanya ketawa.

“Kalau nak tunggu ikan tu mati sendiri jawabnya sampai esoklah tak mati-mati. Lain kali rajinkan kaki tu masuk dapur, ringankan tangan tu memasak. Dah pergi ambil garam.” Setiap ayat yang keluar dari mulut Nek Jah aku hanya menganggukkan kepala tanda faham.

Garam? Alahai payah betul! Aku mengambil sebotol garam yang memang tersedia di atas kabinet dapur sebelum disuakan kepada Nek Jah.

“Buat apa bagi aku? Pergilah letak garam ni dalam periuk tu. Ikan keli kalau nak bagi dia mati cepat kena letak garam.”

“Lah! Macam tu pula? Pelik juga ikan misai ni.” Aku membebel sendiri sambil ikutkan saja apa yang disuruh oleh Nek Jah. Satu sudu, dua sudu dan ambil kau ikan, hampir 15 sudu besar aku letak. Bagi cepat sikit mati.

Aku meletakan kembali garam tersebut di tempat asalnya, tak sampai beberapa saat ikan yang berada dalam periuk mula bergerak-gerak. Aku yang sememangnya tertarik untuk melihatnya datang dekat menghampiri periuk tersebut. Jangan katalah betapa seronoknya aku tengok ikan-ikan tu berpesta dalam periuk sampai ralit dibuatnya dan tanpa sedar...

“Ne... Nek!” Aku menjerit sekuat hati dengan berkaki ayam aku berlari keluar.. Tak pedulilah kena marah ke apa ke,  yang penting diri kena selamatkan dulu. 

‘Pap!’ Aku terjatuh duduk di atas tanah. “Apa lagi malang aku hari ni!” Aku menjerit sekuat hati.

“Maaf.” Suara seorang lelaki menampar lembut gegendang telinga aku. Aku yang terasa malu dengan kelakuan sendiri tersenyum kelat. Jatuh saham macam ni. Tanpa bersuara lagi, aku hanya mengangguk tanda yang aku terima maafnya.

“Nak ke klinik tak?” Soal lelaki itu prihatin. 

Aku yang sememangnya benci dengan perkataan klinik atau hospital menggelengkan kepala. “Err... Tak apa, dah okey ni.” Aku beralasan. Lelaki itu yang nampak aku ingin bangun turut sama menghulurkan bantuan.

“Terima kasih.” Ucapku sepatah tanda penghargaan. Aku mengangkat muka, mata aku dan lelaki itu saling bertaut. “Sir Farizal?” Soal aku dengan agak pelik.

Lelaki itu pula a.k.a Sir Farizal berkerut dahi cuba mengingati aku. “Nazirah Aulia! Ikan keli tu apa cerita?” Marah Nek Jah dari beranda.

Ikan keli, ikan keli tak habis-habis dengan ikan misai tu. “Nek, Aulia dah mengalah! Tak kisah apa nak jadi, jadilah. Ikan tu degil tahap kritikal meloncat sana sini.” Aku menjawab terus terang.

“Baru suruh uruskan ikan dah menjerit macam kena histeria. Dah masuk! Kaki tu jangan lupa basuh. Ha Rizal ada apa datang rumah Nek Jah ni?” Selepas memberi arahan kepada aku, Nek Jah menyoal pula lelaki yang berada di sebelah aku. Aku yang malas nak masuk campur urusan Nek Jah hanya turutkan saja arahannya.

Rizal? Memang tak syak lagi dia tu Sir Farizal bekas pensyarah aku masa kolej dulu. Tapi apa dia buat dekat sini? Hei! Satu-satu bala datang dekat aku.
*****
Hari ni merupakan hari kedua aku direkrut oleh Puan Najah. Kalau semalam sibuk aku kena bergelumangan dengan kedegilan ikan misai tu tapi pagi-pagi tadi usai saja solat subuh berjemaah sekali lagi aku dipaksa masuk ke dapur. Teruk jugalah telinga aku kena ceramah percuma daripada Nek Jah katanya gadis Melayu kena hormatkan orang tua, kena pandai mengemas rumah dan paling penting kena selalukan diri untuk masuk dapur atau lebih mudah difaham kena pandai memasak, dan itulah dia misi aku yang paling penting buat masa sekarang. Hari ni dan seterusnya aku kena belajar M-E-M-A-S-A-K, memasak!

“Nazirah Aulia, sini sekejap!” Aku yang sedang menikmati buah belimbing di bawah pokok manggis hampir tersedak mendengar laungan daripada Nek Jah.

Gugur semangat aku hari-hari macam ni. “Ya nek. Aulia datang.” Aku mengusap dada perlahan mengurangkan rasa terperanjat. 

Sampai saja di depan bilik Nek Jah aku mengetuk dulu pintu bilik sebelum masuk. Maklumlah ini kali pertama aku nak menapak masuk ke bilik Nek Jah yang tak pernah langsung selama ni aku melihatnya. Masuk saja ke bilik Nek Jah hampir terlopong mulut aku, apa taknya punyalah pembersih nenek aku ni sampaikan bilik dia wangi gila, perabot dan segala isi dalam biliknya juga tersusun kemas patutlah dia mengamuk sakan kalau aku buat sepah.

“Apa lagi yang berdiri kaku tu? Sini duduk cepat.” Panggil Nek Jah lagi menyuruh aku duduk berdekatannya. Almari lama tetapi masih lagi cantik dan terjaga dibukanya.

“Apa ni nek? Nak bagi harta karun ke?” Soal aku dengan niat ingin bergurau.

“A’ha. Nak bagi harta yang sangat berharga.” Jawab Nek Jah serius. Aku yang terasa lain macam dengan jawapannya hanya menyepikan diri.

“Aulia cuba pakai baju ni.” Sepasang Baju Kurung Pahang dihulurkan kepada aku. Aku memandang pelik Nek Jah dan baju kurung tersebut bersilih ganti.

“Apa tengok-tengok lagi? Pakailah cepat.”

“Nek, nenek ni pelik-peliklah. Suruh orang pakai baju kurung pula. Panaslah nek.” Aku menolak pemberian daripada Nek Jah.

“Jangan nak melawan! Ingat Aulia kena hormatkan orang tua. Aku ni lagi tua daripada Aulia. Apa yang aku suruh buat, itu semua ada sebab tersendiri dan pemakaian baju kurung ni pun salah satu ciri gadis Melayu. Aulia tu...”

Ya Allah mula lagi nenek aku ni membebel. Tak apa demi misi menjadi gadis Melayu aku akan pakai. “ Baiklah nek, Aulia pakai.” Aku menyambut huluran daripada Nek Jah.

Hampir lima minit aku bersiap dengan memakai Baju Kurung Pahang milik Nek Jah. Sekali pandang nampak cantik, dua kali pandang nampak ayu dan kali ketiga aku berkenan pula dekat baju ni. Tak panas, tak ketat macam baju-baju aku yang lain dan nak bergerak bebas pun boleh.

Setelah aku berpuas hati dengan penampilan aku mengenakan baju kurung Nek Jah, aku menuju ke biliknya tetapi dia tiada, ke ruang tamu pun tak ada dan aku pasti nenek aku mesti ada di dapur.

“Nek, tengok ni. Cantik tak Aulia pakai?” Aku yang sibuk membetul-betulkan baju kurung yang dipakai tidak sedar yang Sir Farizal dari tadi jadi pemerhati.

Aku mengetap bibir kerana benggang dengan kehadiran Sir Farizal yang tak diundang. “Sir? Apa Sir buat dekat sini?” Soal aku yang geram dengan kemunculannya.

“Saja. Jadi ini lah dia Nazirah Aulia yang suka pancitkan tayar kereta saya?” Soal Sir Farizal dengan senyuman sinis bermain di bibir.

Adui... Dia dah dapat cam aku pula. Nenek punya pasallah panggil nama penuh aku. “Kalau ya pun, apa saya kisah? Sir tu yang menjengkelkan. Tapi apa sebenarnya tujuan Sir datang ke sini? Sir nak mengadu domba pasal perangai saya dekat Nek Jah kan?” Aku membuat spekulasi sendiri.

“Mengadu domba tu tak adalah, tapi kalau nak balas sikit-sikit perbuatan awak dulu tu apa salahnya kan?” Sir Farizal meletuskan tawanya apabila melihat riak muka aku yang mula sakit hati dengan perangainya.

“Aulia, Rizal amboi rancak berbual.” Tegur Nek Jah yang baru memunculkan diri dari belakangku.

“Nek, nenek pergi mana tadi? Aulia cari tak jumpa pun.” Aku sengaja menukar topik perbualan.

“Aku dekat bilik belakang. Ha, kan cantik pakai baju kurung macam ni baru terserlah ciri keperempuanan.” Puji Nek Jah sambil mengusap lembut bahuku. Aku hanya tersenyum mendengar pujian daripada Nek Jah tetapi mata aku masih kekal fokus ke arah Sir Farizal yang tak habis-habis nak tersengih macam kerang busuk.

“Kalau nenek tak cakap pun Aulia tahu. Nek, Aulia naik tau.” Aku yang malas menghadap muka Sir ingin berlalu pergi tetapi ditahan pula oleh Nek Jah.

“Nak ke mana? Kan tetamu ada ni, buatkan air untuk Rizal.” Pinta Nek Jah lembut sebelum menyuruh tetamu TERhormatnya itu duduk.

Nek Jah ni tahu ke tidak yang aku tak sanggup nak tengok muka plastik Rizal tu a.k.a Sir Farizal aku zaman kolej dulu. Cukuplah aku kena menghadap muka dia dua semester berturut-turut tapi bukan sekarang. Walaupun hati tak rela tetapi aku tetap juga mengambil jug dari kabinet.

“Aulia buat air tu biar dengan rasa ikhlas jangan biarkan amarah menguasai diri. Karang orang buat air rasa manis, kau buat air rasa masin.” Perli Nek Jah. Mana pula Nek Jah tahu aku tengah marah, terpampar ke dekat muka ni yang aku tengah mencuka?

“Ni nek airnya. Kalau dah tak ada apa-apa Aulia nak naik dulu.” Kali kedua aku ingin berlalu pergi namun sekali lagi dipanggil oleh Nek Jah untuk duduk menyertainya pula.

“Kat atas tu bukan ada kerja pun. Duduk sini! Cuba kenang balik jasa Rizal yang mencurahkan ilmu pada Aulia. Tak kanlah dengan cikgu pun tak nak bertegur.”

Amboi cepat gila Nek Jah tahu aku ni bekas pelajar Sir Farizal? Mulut murai tempayan betul tak reti nak berahsia! Patut Nek Jah perli aku punya pedas rupanya tembelang dah pecah.

“Rizal macam mana dulu perangai Aulia dekat kolej?” Soalan daripada Nek Jah membuatkan aku menelan air liur seperti menelan pasir, kesat sampai ke tekak. Aku mengeleng-gelengkan kepala perlahan berharap yang Sir Farizal membantu aku dengan menyembunyikan perkara sebenar.

“Aulia?” Sir Farizal melihat aku dengan senyuman yang meleret keningnya di gerak-gerakkan, sengaja nak mengenakan aku!

“Aulia lah pelajar yang paling saya tak pernah lupa. Rajin buat tugasan, orang lain buat sikit dia sanggup nak buat banyak. Orang pergi kelas ikut jadual tapi dia punya tahap rajin tu Nek Jah, hampir setiap kali saya mengajar dia wajib datang dan sampaikan ada satu  perkara yang paling saya suka, bila saya sendiri kena buat lebih kerja dengan menolong Aulia menaip surat. Kan Aulia?” Soal Sir Farizal sinis.

“A’ha nek. Sejahat-jahat Aulia pun masih ada sikap rajin tu.” Aku menjawab mesra soalan daripada Sir Farizal walaupun hakikat sebenarnya dia bukan memuji tapi memerli.

Punca kenapa aku benci sangat dengan Sir Farizal ni bermula dari hari pertama lagi dia menjadi pensyarah sementara bagi subjek LAW. Langsung tak ada sikap keperimanusiaan. Hari pertama kelas dia, aku dah kena denda sebab masuk kelas lambat walaupun itu sebenarnya salah dia sendiri. Sepanjang kelas dia jugalah, aku tak habis-habis dijadikan mangsanya pasti ada saja yang kena aku lakukan. Kerana marah, aku pun berdendam dengan memancitkan tayar kereta Sir Farizal. Kali pertama terlepas, kali kedua hampir kantoi tapi kali ketiga terus kena tangkap. Sepanjang satu semester aku kena buat tugasan tambahan, kena sentiasa datang ke kelas yang diajarnya. Namun benda yang sangat aku benci,setiap kali nak habis semester macam mana sekali pun prestasi aku dalam kelasnya pasti akan dapat surat cinta.

*****
“Aulia, dah siap belum?” Pintu bilik aku diketuk-ketuk oleh Nek Jah.

“Dah!” Dengan rasa malas yang menguasai diri aku buka juga pintu bilik yang terkunci. Lemah rasanya kaki ni nak melangkah pergi ke rumah Sir Farizal. Walau hati kata tak rela tapi bila arahan sudah keluar dari mulut Nek Jah automatik tak rela akan menjadi terpaksa dan aku adalah mangsa yang terpaksa.

“Nek kalau Aulia jaga rumah ni tak boleh ke?” Aku menanya lagi soalan yang sama.

“Kita ni hidup kena saling tolong-menolong. Itu lah masalah anak muda zaman sekarang sampaikan amalan tradisi seperti rewang ni pun dah makin luput ditelan zaman. Tak boleh! Aulia kena ikut juga pergi rumah Si Rizal tu. Nanti orang kampung kata aku mengurung cucu pula.” Bebel Nek Jah lagi tanpa jemu. Selepas mengunci pintu dia menarik tangan aku menuju ke rumah Makcik Halimah, iaitu rumah Mak Sir Farizal.

“Assalamualaikum, maaf lambat. Menunggu anak dara ni siap kemain lama.” Nek Jah menegur orang kampung yang sedang sibuk membuat kerja masing-masing ada yang mengupas kulit bawang, memotong kentang, cili dan banyak lagi.

“Ni ke cucu kau Najah? Adik Si Nazrin? Cantik!” Puji seorang wanita tua yang aku agak lebih kurang sama dengan umur Nek Jah. Aku hanya mampu tersenyum dan menyalam semua kawan-kawan Nek Jah.

“Dah lah sopan, cantik pula. Kalau saya ada anak bujang hari ni juga saya masuk meminang.” Giliran seorang makcik pula yang memuji aku. 

Terdengar saja orang memuji aku ni sopan, lemah lembut nak ketawa pun ada, siap ada hajat lagi nak dijadikan aku menantu. Tahukah orang kampung siapa aku yang sebenarnya?

“Makcik Leha mana boleh, Nazirah Aulia ni saya dah chop sebagai calon isteri.” Hampir tersedak aku mendengar gurauan daripada Sir Farizal. Sejak bila pula mamat ni munculkan diri? Nak bergurau pun agak-agaklah abang oi... Tengok dulu kiri kanan.

“Rizal, naik merah muka Aulia tu menahan malu. Kalau dah jodoh tunggu apa lagi kamu pun dah ada kerjaya yang bagus, masuk aje lah meminang.” Seorang lagi makcik yang aku tak kenal siapa boleh pergi layan kepala gila Sir Farizal. Makin bengkak hati aku menahan geram.

Aku menjinjit kaki agar ketinggian aku boleh melepasi Sir Farizal. “Sir, tak payahlah bab kahwin pun nak dijadikan barang gurauan. Saya tak suka!” Aku berbisik perlahan ke telinga Sir Farizal.

“Siapa pula yang bergurau? Saya serius.” Jawab Sir Farizal dalam nada berbisik sebelum meninggalkan aku.

“Aulia, tolong makcik cabutkan bulu-bulu ayam ni.” Dari jauh Makcik Halimah memanggil aku untuk menolongnya.

Cabut bulu ayam? Ini payah! Tadi baru kena puji sopan, lemah lembut tapi kalau kerja macam ni pun aku tak reti buat macam mana? Adui, siapa yang aku nak minta tolong ni? Aku memusingkan kepala aku ke kiri dan ke kanan untuk mencari mangsa tapi masing-masing sibuk dengan kerja mereka sendiri.

“Nak cabut bulu ayam pun tak reti ke cik adik?” Teguran daripada Sir Farizal aku tidak endahkan.

“Tengok saya cabut macam mana. Kalau dah tak boleh cabut rendam lagi dengan air panas.” Sir Farizal yang berada di depan aku membuat demo cara mencabut bulu ayam dengan teknik tradisional.

“Ala orang tahulah. Sibuk!” Aku mencerbikkan bibir.

“Baguslah kalau macam tu. Nah! Buat semua ni.” Putus Sir Farizal sambil menolak besen yang penuh dengan ayam ke arahku.

“Lah! Sir nak ke mana pula?” Soal aku yang pelik dengan tingkah Sir Farizal ingin meninggalkan aku.

“Tadi awak baru kata saya ni menyibuk. Jadi saya tak naklah menganggu orang tu buat kerja dia.” 

Walawey, itu pun nak merajuk juga ke? “Sir tolonglah saya, banyak sangat ni. Mana cukup tangan nak buat semua ni.” Hari ini dalam sejarah apabila aku terpaksa juga meminta bantuan daripada musuhku sendiri.

“Apa tak dengar?” Soal Sir Farizal lagi ala-ala orang yang tak dengar jelas. Pekak betul baru tahu!

“Aulia nak minta tolong Sir. Duduklah sini, tolong sekali cabut bulu-bulu ayam ni. Aulia tak mampu buat sendiri.” Aku bersuara dengan lemah lembut lagi supaya bekas Sir aku ni cair dengan permintaan aku.

Sir Farizal tersenyum mendengar permintaan aku. Dia kembali mengambil tempat di depanku sambil mengambil ayam yang masih berbulu di dalam besen. “Itu lah, bila orang nak tolong jangan sombong.” Aku yang terasa dengan sindirannya cuma mendiamkan diri.

Buat seketika ruang antara aku dan Sir Farizal menjadi sepi. Aku yang mula dihimpit bosan menegur Sir Farizal yang sibuk mencabut bulu ayam. “Sekarang ni Sir jadi pensyarah lagi ke?” Soalku tanpa melihat wajahnya.

“Tak! Sekarang saya bekerja sepenuh masa sebagai peguam. Kenapa?”

“Tak ada apalah, cuma pelik tengok muka Sir asyik ada saja dekat kampung ni. Sir bekerja dekat mana?” Soal aku lagi yang tiba-tiba datang mood syok pula nak berbual.

“Sekarang saya tengah cuti untuk kenduri ni. Tiga hari lagi saya akan balik Kuala Lumpur. Kenapa Aulia dah mula jatuh suka dekat saya ke?” Soalan daripada Sir Farizal membuatkan ayam yang berada di tangan aku terlepas jatuh ke atas dulang. 

Hai hati, kenapa pula kau nak berdengup kencang macam ni? Tak kan apa yang Sir cakap tu betul? Tapi... Tak! Tak mungkin, Nazirah Aulia itu Sir kau merangkap musuh kau. Dah lupa ke apa yang dia pernah buat dekat kau?

“Jangan nak perasanlah Sir. Ni Sir habiskanlah cabut bulu-bulunya. Jari jemari saya dah naik kembang cabut bulu ayam ni. Susah sangat nak dicabut. Nah!” Ayam yang berada di atas dulang aku hulurkan kepada Sir Farizal. Tak sanggup nak berlama di depan Sir Farizal, aku menuju pula ke arah Nek Jah yang sibuk membuat kerjanya.

*****
“Siap! Ikan siakap masak tiga rasa, tom yam campur, sup cendawan, sayur kailan dan sajian terakhir adalah sotong goreng. Tengok umi, walid, abang, Aulia masak semua lauk-pauk ni sendiri tau. Nek Jah tak tolong pun.” Aku memperkenalkan satu per satu lauk yang aku sendiri masak kepada seluruh ahli keluargaku.

“Betul ke kau masak ni? Was-was pula aku nak makan.” Teguran daripada abang aku yang bernama Nazrin, langsung tak berhati perut! Ada ke patut dia berprasangka buruk dengan masakan aku.

“Iya lah. Apa ingat Aulia ni tak pandai masak ke? Tak apalah abang Nazrin, kalau tak nak makan pergi masak sendiri. Tak paksa pun.” 

“Alahai, cucu Nek Jah ni cepat sangat nak terasa.” Dengan sesuka hati saja kedua-dua pipi aku ditarik kasar oleh Abang Nazrin.

“Sakitlah!” Aku yang geram kerana di perlakukan  seperti itu, memijak kakinya dengan sekuat hati. “Ni makannya...”

“Hei, sudah! Benda kecil macam ni pun nak bergaduh? Awak berdua ni dah besar masing-masing tunggu hari nak ada keluarga sendiri tapi perangai tak ubah macam budak-budak.” Umi yang pening melihat gelagat aku dan Abang Nazrin mula membebel. Tu lah pepatah Melayu ada mengatakan ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ buktinya umi dengan Nek Jah sendiri yang kuat membebel.

“Aulia, sepatutnya Aulia kena berterima kasih dekat walid dengan umi sebab cadangan walid lah hari ni merasa juga walid nak makan masakan anak sendiri. Lepas tu kena berterima kasih pada nenek Aulia tu. Tanpa jasa nenek, tak adanya Aulia dapat bezakan halia, kunyit dengan lengkuas.” Giliran walid pula bersuara. Aku yang faham maksud walid tersenyum sebelum mengucapkan terima kasih kepada keluargaku yang banyak berjasa.

“Walid, umi dengan Nek Jah je? Abang?” Aku hanya mampu tersenyum mendengar soalan daripada Abang Nazrin.

“Abang tu nak buat apa? Buat habiskan beras!” Jawabku dengan selamba.

“Macam-macamlah kau orang berdua ni. Pergi siap cepat kita solat maghrib dulu baru hidangkan makanan.”  Nek Jah yang dari tadi jadi pemerhati mula mencelah. Aku dan Abang Nazrin hanya ikutkan saja arahan Nek Jah.

Usai saja menunaikan solat mahgrib berjemaah aku berteleku di atas tikar sejadah. Pejam celik, pejam celik dah hampir dua bulan setengah aku di kampung menemani Nek Jah. Walaupun mulutnya pot pet pot pet namun itulah sebenarnya menjadi berkat untuk aku berubah ke arah yang lebih baik. Dari aku ni jenis yang suka berhuha, tergedik sana sini dengan lelaki, berpakaian macam sarung nangka, pemalas nak buat kerja, sampaikan pada satu tahap tu nasi pun aku tak reti nak masak, dan sembahyang? Lagilah jauh dari kehidupan aku.

Tapi selepas walid dan umi membuat keputusan untuk menghantar aku ke kampung barulah hati aku begitu tenang untuk menyusuri ranjau kehidupan yang beronar dengan duri-duri pidana. Betullah cakap walid kalau bukan jasa nenek mendorong aku untuk berubah bukan setakat kunyit, halia dan lengkuas saja aku tak kenal tapi semua perkara yang perlu menjadi etika dalam kehidupan kita pun aku tak akan pernah kenal. Dan apa yang boleh aku katakan hari ni, aku bangga sebenarnya ada orang yang kuat membebel disisi aku sebabnya itu membuktikan yang mereka nak mendidik dan menunjukkan rasa sayangnya. 

“Assalamualaikum.” Ketukan pintu mengembalikan fikiran aku ke alam nyata. Baru aku perasan dari tadi hanya tinggal aku seorang yang berada di atas sejadah. Masing-masing dah menghilangkan diri. Tanpa membuang masa, aku membuka telekung dan meletakkannya di tempat yang telah disediakan.

Aku yang baru saja buka pintu untuk keluar dari bilik solat menjerit kerana terperanjat dengan kelibat Makcik Halimah yang ingin menuju ke dapur. “Fuhh! Gugur jantung.” Aku menarik pintu bilik sebelum membontoti langkah Makcik Halimah.

“Makcik datang seorang je ke?” Soal aku berbasa-basi.

“Tak lah, tu Pakcik Farid tengah berbual dengan ayah kamu kat depan.” Aku yang mendengar hanya menganggukkan kepala tanda mengerti.

Hmm... Sir Farizal tak ada ikut ekali ke? Soalan yang hanya mampu ditanya dalam hati, tak sanggup nak diluahkan. 

“Aulia termenung apa pula dekat tangga tu? Cepat tolong umi hidangkan makanan.”

“Aulia teringatkan Sir Farizal, um...” Aku yang baru tersedar menerkup mulut. Kantoi! Kenapa hari ni tiba-tiba fikiran aku menerawang pula teringatkan dia? Penyakit parah ni!

“Sir Farizal? Siapa pula tu?” Soal umi yang pelik dengan jawapanku. Adui, umi ni nak tanya pula. Janganlah umi, malu!

“Nampaknya tak lama lagi anak aku berbesan dengan kau lah Limah.” Nek Jah yang sibuk mengambil pinggan di kabinet sempat lagi memerli aku. Umi dan Makcik Halimah pula saling berpandangan sebelum mengalihkan perhatiannya kepada aku dengan senyuman yang meleret.

Ha! Kenapa pula tengok aku lain macam ni? “Nek, Aulia tersasullah.” Aku membetulkan kenyataan Nek Jah.

“Tak payahlah nak malu-malu Aulia. Kalau betul Aulia sukakan Rizal, minggu depan makcik hantar rombongan meminang.” Giliran Makcik Halimah pula mencelah. Makin menebal muka aku kena menahan malu.

“Tak lah makcik, Aulia betul-betul tak maksudkannya. Maksud Aulia tu...”

“Tapi kalau ibu bersetuju nak jadikan Aulia ni menantu, Rizal tak ada masalah bu.” Membuntang mata aku terdengar suara Sir Farizal.

 Sekarang ni aku betul-betul terhimpit dengan situasi yang menjerat diri sendiri. Tak pernah aku mengalami peristiwa malu macam ni sehinggalah malam ini yang memecahkan rekodnya. Perlahan-lahan aku mengalihkan pandangan ke arah belakang, wajah Sir Farizal, Abang Nazrin, Pakcik Farid dan walid betul-betul di depan mata aku. “Ya Allah!” Aku yang berdiri di atas tangga hampir-hampir nak terjatuh kerana terkejut.

“Farid, Nizam, Nazrin kita makan dulu. Rizal dengan Aulia jangan nak berdrama pula dekat tangga tu. Cepat turun!” Aku mengigit bawah bibir tanda geram dengan teguran Nek Jah. Elok-elok hal ini terjadi kerana kesalahan kecil terus bertukar jadi salah faham yang besar.

*****
“Sir ni serius ke nak kahwin dengan saya?” Soal aku yang masih was-was dengan pinangan daripada keluarga Sir Farizal dua hari yang lepas. 

Ingatkan kata-kata daripada Makcik Halimah masa makan malam hari tu cuma omongan kosong. Rupa-rupanya keluarga Sir Farizal buat betul. Nasib aku pula kurang baik kerana sewaktu rombongan tu sampai ke rumah, aku keluar dengan kawan-kawan. Balik aje ke rumah, Nek Jah dah tolong aku terima pinangan daripada Sir Farizal. Patutlah beriya Nek Jah nak ikut aku balik ke Kuala Lumpur, rupanya ada muslihat disebalik perilaku.

“Yalah. Kalau tak serius tak adanya saya pergi hantar rombongan meminang dekat rumah awak Cik Nazirah Aulia.” Jawab Sir Farizal tidak serius. Makin bertambahlah rasa was-was aku.

Orang macam ni nak jadi suami aku? Soal kerja mungkinlah serius tapi soal kehidupan dia, semuanya dianggap gurauan. Layak ke dia nak mengalas tanggungjawab menjadi suami aku? Ya Allah, macam manalah aku boleh bertemu cinta dengan Sir Farizal? Macamlah kumbang dekat dunia ni tinggal seekor.

Ombak yang memukul pantai membuatkan kainku menjadi basah, aku yang jauh mengelamun kembali semula ke alam nyata. Baru aku perasan Sir Farizal yang tadinya ada bersama dengan aku sudah menghilangkan diri, mataku meliar mencari kelibatnya. 

Ya Allah, aku dekat sini sibuk cari dia. Dia dekat sana tengah minum sampai lupakan aku? Baru saja aku ingin mengatur langkah mendapatkan Sir Farizal yang sedang duduk di sebuah warung, seorang gadis entah datang dari mana mengambil tempat dihadapan lelaki itu.    

“Hai.” Tegurku ramah.

“Hai, I kenal you ke?” Soal gadis itu pelik. Dengan lenggok badannya yang menggeliat ke kiri dan ke kanan membuatkan aku teringat kembali akan ikan keli yang pernah aku taburkan dengan garam. Reaksinya sangat sama, sebiji, spesis!

“Rin kenalkan ini...” 

Belum sempat Sir Farizal mengenalkan aku kepada gadis tersebut. Aku mencelah terlebih dulu. “You memang tak kenal I, tapi kawan you ni kenal I. I bukan tegur you pun, I tegur kawan I ni.” Jawabku dengan sinis. Padan muka!

“Sorry. I tak tahu. By the way, you dah lama ke kenal dengan Rizal, bakal tunang I?”

Aku nak buat perempuan tu yang marah tapi aku pula yang nak marah. Sesuka hati saja cakap bakal suami aku tunang kau? Aku yang geram dengan senyuman plastik perempuan itu mengalihkan pandangan ke arah Sir Farizal meminta kepastian. Ternyata lelaki itu hanya tersenyum mendengar kenyataan daripada gadis tersebut.

“Ooo, tunang you? Bila you nak berkahwin?” Mata aku masih lagi setia merenung Sir Farizal. Sir Farizal yang perasan dengan reaksi aku, membuat riak muka seperti tiada apa-apa.
As soon as possible.” Jawab gadis itu penuh yakin.

“Tahniah. Maaf menganggu kau orang berdua.” Ucapku sebelum berlalu pergi. Rasa sakit yang menyelinap di ruang hati membuatkan air mata aku hampir gugur membasahi pipi. 

“Tunang? Nak berkahwin? As soon as possible? Kau ingat aku ni apa? Manusia yang tak ada perasaan?” Bertubi-tubi soalan yang aku lontarkan untuk diri sendiri. Air mata yang tidak mampu dibendung semakin galak menitis ke pipi.

“Aulia! Tunggu sekejap!” Dari jauh kedengaran suara Sir Farizal memanggil aku. Kerana ikutkan rasa hati, aku hanya membiarkan suaranya lenyap dibawa angin. 

Tanpa mempedulikan keadaan sekeliling, aku semakin mempercepatkan langkah. Suara Sir Farizal yang semakin kuat memanggil namaku, aku tidak mengendahkannya. Apa nak jadi, jadilah. Aku tak kisah!

“Nazirah Aulia!” Suara Sir Farizal yang meninggi semakin jelas di pendengaran sebelum aku merasakan ada suatu tangan yang sasa merangkul kemas tubuhku. Mata yang berat aku gagahkan jua untuk membukanya. Pandanganku semakin kabur, wajah Sir Farizal yang berlumuran darah menerpa ruang retina sebelum mataku terpejam rapat.
*****
“Sir!” Aku yang baru tersedar dari tidur berusaha membuka mata perlahan-lahan. Lampu yang menyilaukan mata semakin membuatkan kepalaku sakit. 

“Doktor, pesakit sudah sedarkan diri.” Suara dari seorang gadis yang serba putih membuatkan aku semakin keliru dengan apa yang berlaku.

“Saya dekat mana ni?” Soalku perlahan.

“Sekarang cik berada di hospital?”

“Hospital? Kenapa?” Soalku dengan suara serak, di kepala ligat aku berusaha mengingatkan apa yang sebenarnya sudah terjadi.

“Cik rehat dulu. Saya akan panggil keluarga cik.” Pesan gadis itu sebelum meninggalkan aku bersendirian.

Rasa sakit yang menyerang kepalaku, membuatkan mataku kembali terpejam dan sekali lagi aku terhanyut dalam mimpi.

“Abang, anak kita dah sedar.” Buka saja mata wajah umi yang dibasahi air mata bermain di ruang mata.

“Umi, walid.” Panggilku lemah. Umi yang mendengar panggilanku mengeratkan lagi pegangannya.

“Kenapa Aulia dekat sini?” Soalku lagi ingin mendapatkan kepastian.

“Aulia kemalangan.” Beritahu umi tanpa berselidung. Aku yang mendengar jawapan umi terdiam seketika.

Kemalangan? Aku cuba mencernakan balik maksud umi. Darah? Sir Farizal? Fikiran aku jauh menerawang teringat kembali wajah Sir Farizal yang penuh dengan darah. “Umi, walid, Sir Farizal mana? Aulia nak jumpa dia?” Tanpa segan silu sekali lagi air mataku merembes keluar.

“Aulia, sabar nak.” Giliran walid pula memujukku.

“Walid, tolong izinkan Aulia jumpa Farizal. Umi, mana Farizal?” Sekali lagi aku mendesak umi dan walid.

“Aulia, Farizal tak ada. Dia...”

“Apa maksud umi? Dia kenapa umi, walid? Farizal tak ada apa-apa kan?” Aku yang tidak sabar mendengar kenyataan daripada umi mendesak lagi.

“Buat mengucap Aulia. Jangan macam ni.” Umi yang duduk di kerusi bangun mendakap tubuhku yang berada di atas katil.

“Umi, macam mana Aulia nak bersabar? Aulia nak jumpa Farizal! Aulia cintakan Farizal! Aulia tak sanggup kehilangannya...” Tangisku lagi dalam pelukan umi.

Pintu bilik aku yang dibuka dari luar aku tidak hiraukan. Tak payah tengok aku dah agak siapa gerangan si pelawat. Sekarang ni yang penting adalah Sir Farizal, aku nak tengok muka dia dan kalau ada apa-apa yang terjadi pada dia, orang yang perlu bertanggungjawab adalah aku!

“Dan Farizal cintakan Aulia.” Sambut satu suara yang sangat aku kenali.

Aku mengalihkan pandangan ke arah pintu, satu keluhan lemah meniti bibir. Aku yakin suara itu  milik Sir Farizal, tetapi kenapa perlu Nek Jah, ibu bapa Sir Farizal dan abang aku Nazrin saja yang munculkan diri? Adakah telahan aku adalah benar? Sir Farizal telah meninggalkan hidup aku untuk selama-lamanya.

“Ma, Aulia nak jumpa Rizal...” ucapku lemah sebelum aku rebah dalam dakapan umi.

*****
“Nazirah Aulia, bangunlah! Jangan nak tidur aje. Cukup-cukuplah terlantar sakit, cepat sikit sembuh boleh kita kahwin.” Suara milik Sir Farizal bergema di pendengaranku. Aku tahu itu suara Sir Farizal, suara yang sangat aku rindui tetapi aku sengaja membiarkan mataku terus tertutup. Andai aku perlu menghadapi kenyataan yang menyeksakan hati, biarlah buat seketika aku mendengar suaranya di dalam mimpi.

“Aulia cepatlah sedar. Saya rindukan awak. Saya nak dengar sekali lagi yang awak cintakan saya.” Ujar suara itu lagi tetapi kali ni lebih beremosi.

Ya Allah berikan aku kekuataan untuk menerima takdirMu, sekiranya ini peluang terakhir untuk aku mendengar suaranya, KAU izinkan aku lena sementara dalam tidurku. Doaku dalam hati. Setiap kali lelaki itu menuturkan bicara, aku terasa bagaikan dia berada disebelah, merenung wajahku tajam, memujukku untuk sedar dari tidur yang panjang. Air mata yang ingin aku tahan dari terus mengalir, tetap menitis satu demi satu membasahi pipi.

“Rizal, Aulia belum sedar lagi ke?” ada satu suara yang menegur Sir Farizal dan aku yakin suara itu milik walid.

“Belum lagi pak cik. Aulia tak sedarkan diri cuma air mata dia saja yang mengalir.” Beritahu Sir Farizal jujur.

“Kalau air mata mengalir tu maknanya dia dah sedarlah tu.” Suara milik Abang Nazrin pula mencelah.

Aku yang mula rasa lain dengan situasi yang berlaku, sudah tidak senang duduk. Kenapa tiba-tiba terasa yang suasana sekarang bukan mimpi tetapi realiti? Kelopak mata yang terasa berat, perlahan-lahan aku cuba mengangkatnya, silauan lampu yang berada di siling sangat menyakitkan mata.

“Kan aku dah cakap dia dah sedar. Tu!” sekali lagi Abang Nazrin bersuara. Kali ini wajah pertama yang aku lihat adalah Sir Farizal dengan keadaan kepalanya berbalut.

Aku yang masih terasa di awang-awangan berusaha bangkit dari tempat pembaringan. “Agrr!” aku menyeringai kesakitan.

“Dah tahu badan tu lemah, tak payahlah nak bangun.” Masih terngiang-ngiang suara Abang Nazrin memerliku.

Apa masalah Abang Nazrin sebenarnya? Aku yang merupakan adik perempuannya, terlantar sakit tapi dia tak ada langsung rasa simpati. Aku mengetap bibir menahan rasa sakit yang memang sah-sah aku kena tanggung ditambah pula dengan mendengar suara Abang Nazrin yang tidak enak didengar.

“Nazrin,  kenapa cakap dekat Aulia macam tu? Dah jom keluar, bagi ruang untuk mereka selesaikan masalah sendiri.” Tegur walid yang dari tadi mendiamkan diri. Aku hanya mampu tersenyum dalam hati, akhirnya hilang satu beban tapi beban yang lain datang menunggu.

Aku menjeling Sir Farizal yang masih kaku duduk di kerusi sebelah katilku. “Apa?” soalku lemah yang geram dengan tingkahnya. Tenung orang macam nak telan!

Di bibirnya terukir senyuman, makin sakitlah hati aku dibuatnya. “Apa? Kenapa? Kalau datang sini nak tersenyum-senyum sebab tengok saya sakit, lebih baik balik bilik sendiri!” marahku lagi walaupun nada suara yang aku gunakan tak menunjukkan pun yang aku tengah marah.

“Saja nak bayangkan muka awak meraung pagi tadi, nampak comel! Dan macam nak dengar sekali lagi awak cakap ‘Aulia nak jumpa Farizal! Aulia cintakan Farizal! Aulia tak sanggup kehilangannya’. Saya dengar tadi pun terasa macam tengah bermimpi.” Jawabnya kali ini terlebih jujur.
Aku terasa dah muka aku tengah berona merah. Maknanya suara yang sebelum ini aku dengar memang betullah suara Farizal dan apa yang aku cakapkan semua tu dia dengar? Ya Allah, malunya...

“Dah! Jangan nak cakap lagi. Awak kan dah ada pengganti saya.” Akhirnya aku terpaksa juga luahkan apa yang bersarang di dalam hati.

“Tapi itu bukan salah awak ke? Sampai dua kali perkara sama berulang.” Jawapan yang keluar dari mulutnya sengaja membuatkan aku naik angin.

“Salah saya? Mungkinlah salah saya, sebab saya dah tahu awak rapat dengan saya sebab nak balas dendam tapi saya masih lagi bagi awak peluang tu.” Balasku agak beremosi.

“Bukan itu maksud saya, wahai bakal Puan Nazirah Aulia. Masuk kali ni, tiga kesalahan dah awak buat. Biar saya jelaskan dulu.”

“Awak nak jelaskan apa Rizal? Saya akui itu semua kesalahan saya.”

“Dah empat kesalahan dan tolong jangan buat kesalahan kelima. Cuba awak tenangkan dulu hati tu, bagi rehat mulut awak dan biarkan saya pula yang bercakap .” Ujar lelaki itu, dan aku terpaksa beralah dengan memberinya peluang.

“Kesalahan pertama- saya nak kenalkan status sebenar awak, awak mencelah dulu. Lepas tu tak bercakap jujur, cakap yang awak tu kawan saya. Nasiblah kalau dia buat cerita tipu mengaku saya ni tunang dia.”

Baiklah, alasan yang boleh terima. “Kesalahan kedua?”

“Kesalahan kedua- suka sangat buat keputusan meluru, ikut kepala sendiri. Memanglah tak salah kalau nak cemburu sebab saya sendiri suka tengok awak cemburu, itu tandanya awak sayangkan saya. Tapi jangan sampai nak cederakan diri sendiri dan akibatnya hari ni kita berdua yang kena tanggung. Kalau saya seorang tak kisah, tapi awak?” soalannya membuatkan aku rasa terharu. Tidak sangka sampai begitu sekali Sir Farizal mencintai aku.

“Lagi?”

“Kesalahan ketiga- gemar sangat buat telahan yang salah lepas tu nak main tuduh-tuduh orang. Saya nak sebuah perhubungan yang halal bukan nak buat anak orang menderita. Lagipun hal yang dah lepas tu tak pernah saya anggap sebagai kenangan buruk tetapi itu semua adalah kenangan terindah dalam hidup saya. Tak sangka bekas pelajar saya boleh jadi bakal isteri. Macam tajuk novel pula ‘bekas pelajarku, isteriku’.

Alasan yang ketiga membuatkan aku meletuskan tawa. Nampak sangat Sir Farizal ni kaki jiwang, sampai samakan kisah hidupnya macam novel. Tapi aku tidak pernah berharap kisah hidup aku akan sama macam novel, memanglah pengakhir cerita selalunya bahagia tetapi sepanjang nak mencapai tahap bahagia tu punyalah banyak konflik kena lalui.

“Kenapa ketawa?” soal Sir Farizal pelik. Laju aku menggelengkan kepala.

“Tak ada apa-apa. Terakhir?” soalku tapi masih ada sisa tawa.

“Yang terakhir? Lain kali kalau tak puas hati tolong berterus terang dengan saya dan kalau nak tahu perkara sebenar berikan saya peluang untuk bercakap jujur.” Aku terdiam mendengar penerangannya. Aku akui itu memang sikap buruk aku dan aku sangat bersyukur atas nikmat Allah kerana telah memberi peluang untuk menyedarkan kesalahan aku dengan mengirimkan seseorang yang sabar dalam melayan setiap kerenahku.

*****
“Tahniah!”

“Tahniah Aulia, Sir Farizal, semoga berkekalan sehingga jannah. Dulu saling membenci, sekarang saling mencintai.” Perli salah seorang kawan baik aku yang faham sangat dengan fiil aku tidak menyukai Sir Farizal.

Seorang demi seorang tetamu yang datang mengucapkan kata tahniah. Termasuklah kawan-kawan aku yang merangkap bekas pelajar suami aku juga. Kalau bab terperanjat jangan cakaplah, bertubi-tubi soalan datang menyerang. Kalau bab perli memerli dah boleh mengalahkan udang terbakar aku kena menahan malu. Tapi Sir Farizal yang sudah sah bergelar suami aku pula, punyalah gembira sampai ke telinga senyumannya dan nampak jugalah muka dia tu berseri-seri. 

“Sama cantik, sama sepadan. Tahniah untuk kau orang berdua. Rizal lepas ni kau jangan nak dera lagi Si Aulia ni. Dulu pelajar, sekarang isteri.” Giliran bekas pensyarah aku pula yang menegur. Walaupun semua tu dah lama berlalu tapi kenangan lama membuatkan aku betul-betul terasa malu.

“Itu dulu sebelum Aulia ni jadi pelajar aku yang paling degil tapi sekarang dah jadi isteri. Siapa tak sayang isteri? Orang pertama dan terakhir yang akan kekal dalam hidup aku.” Aku disebelah Sir Farizal menarik senyum gembira. Walaupun ada ciri-ciri yang dia sengaja nak kenakan aku tapi ayatnya yang terakhir membuatkan aku mampu terbang ke awan.

“Kalau Si Rizal ni aku tak kisah sangat. Tapi kalau adik aku Si Aulia ni aku kisah sikit. Dia ni pramatang, perangai pun macam budak-budak. Tapi paling tak sangka boleh pula kawan aku yang sekampung, sekuliah, jadi adik ipar aku.” Sampuk seseorang yang mengacau aku untuk terbang bebas.
Kasut aku dah terletak cantik dekat kaki. Tajam tumitnya jangan cakaplah kalau dah nama steleto. Niat dalam hati ni macam nak pijak-pijak saja kaki si abang tapi tak sampai hati pula. Memanglah aku dengan Nazrin rapat tapi kerja dia yang kuat menyakat membuatkan aku rasa tertekan.

“Pramatang aku pun tetap dah kahwin. Kau? Matang cap ayam! Minat dekat Kak Heliza tapi sampai sekarang tak terluah. Sepatutnya majlis ni untuk kau dulu bukan aku...” Puas hati aku kenakan balik sampai tak sedar yang aku sudah terlepas cakap.

“Heliza? Jadi kau betullah minat Heliza?” suami dan bekas pensyarah aku menyoal Nazrin serentak. Masing-masing jelas di muka riak tidak percaya dengan tembelang yang sudah pecah.

“Ishh, mana ada! Kau dengarlah budak ni cakap.” Abang Nazrin sudah membesarkan matanya ke arah aku. Ingat aku takutlah?

“Ha! Budak memanglah budak tapi sekarang dia ni isteri aku. Kan sayang?” panggilan sayang daripada Sir Farizal membuat aku tercengang seketika.

“Pengantin baru kalau nak bermesra masuk dalam. Tetamu dekat sini masih ramai lagi.” keluar lagi sindiran berbisa daripada Nazrin.

“Cemburulah tu. Kak Heliza, sini sekejap! Abang Nazrin nak beritahu sesuatu ni.” Aku yang ternampak kelibat Kak Heliza laju memanggilnya. Muka Abang Nazrin yang menahan malu dan marah bertukar warna merah. Tu lah nak kenakan aku sangat, ini habuannya.

“Sayang jom kita tinggalkan mereka bertiga. Biarlah mereka uruskan hal sendiri.” Bisik Sir Farizal di telingaku lembut. Aku mengangguk perlahan sebelum mengatur langkah mengikut sang suami. 

Ya Allah, terima kasih atas percaturanMu yang terindah dalam hidupku. Doaku dalam hati, tangan yang dipimpin Sir Farizal aku membalasnya erat dan andai ada orang yang bertanya ‘saat apakah yang akan membuatkan aku paling gembira?’, aku akan menjawab ‘saat aku berkenalan dan bernikah dengan seorang insan yang bernama Farizal.’
novel melayu kreatif

3 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...