Aurat lelaki seperti yang dinyatakan sebelum ini agak longgar kerana
selain waktu bersendiri dan bersama isteri, aurat lelaki hanya antara
pusat dan lutut sahaja. Maknanya kalau seseorang itu hendak melakukan
solat, auratnya ialah cukup antara pusat dengan lutut, begitu juga kalau
dia berada di khalayak ramai.
Berdasarkan itu, ramailah orang
lelaki mengambil mudah dengan menyatakan harus kita berada dalam sesuatu
majlis dengan hanya memakai seluar pendek sampai ke paras lutut. Sebab
itulah barangkali kita sering melihat orang lelaki suka memakai seluar
pendek ketika membasuh kereta di luar rumah.
Benar,
jika mengikut hukum asal tidak salah memakai seluar pendek yang sampai
ke paras lutut kerana itulah sahaja aurat bagi lelaki. Tetapi jangan
lupa bahawa hukum itu perlu juga mengambil kira waktu berjalan dan
duduk. Apakah ketika itu aurat lelaki tersebut masih terpelihara?
Bayangkan
seorang lelaki yang hanya memakai kain sarung yang menutup pusatnya dan
lutut. Solatnya sah kerana aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara
pusat dengan lutut. Tetapi bagaimana kalau dia rukuk, sujud, dan duduk
antara dua sujud? Tidaklah lututnya ternampak? Sahkah solatnya ketika
itu? Jawapannya ialah tidak sah.
Bagaimanapun pula kalau dia
membasuh kereta dengan pakaian yang sama, sesekali dia akan tunduk juga.
Adakah ketika itu tidak terbuka auratnya iaitu lutut? Kalaupun dia
memakai seluar pendek yang labuh hingga ke paras lutut, waktu dia
mencangkung akan ternampak lututnya. Tidak berdosakah dia ketika itu?
Jawabnya tentu berdosa. Ya, kalau dalam solat tidak sah maka pada ketika
waktu lain dia berdosa.
Bagi masyarakat kampung pula, mereka suka
pakai kain pelakat yang digulung sampai ke paras lutut. Malah
kadang-kadang ternampak pusatnya sewaktu terlondeh. Waktu berborak
dengan kawan-kawan di serambi pasti tersingkap juga auratnya.
Bagaimana
kalau dia melakukan solat dengan kain itu walaupun dilabuhkan di bawa
lutut? Waktu rukuk dan sujud setidak-tidaknya akan ternampak pahanya
oleh orang yang di belakangnya. Sahkah solatnya?
Begitu juga kalau
si ayah memakai kain pelakat di dalam rumah bersama anak-anak, lalu
pada waktu duduk terselak bahagian lututnya. Agaknya berdosa atau tidak
ketika itu? Jawapannya sudah tentu berdosa kerana aurat ketika bersama
mahram ialah antara pusat dengan lutut.
Kalau berdasarkan
keterangan di atas adalah haram hukumnya, bagaimana keadaannya anak-anak
muda yang suka memakai seluar pendek di dalam rumah, bersukan, main
bola dan sebagainya? Seluar pendek yang dipakai mereka adalah di atas
lutut, maka dalam keadaan itu dia bukan sahaja mendedahkan lututnya
malah mendedahkan pahanya.
Nampaknya lelaki secara berleluasa
mendedahkan aurat mereka tatkala bersukan. Apakah atas alasan bersukan
aurat boleh didedahkan? Ya, kalau berhadapan dengan Allah sewaktu
bersolat pun salah, betapa ketika berhadapan dengan orang ramai. Pada
zaman ini, bukan sahaja orang yang dalam stadium yang melihatnya tetapi
seluruh dunia melihatnya. Bayangkan berapa besar dosanya ketika itu.
Pakaian
sukan tajaan Barat memang begitu. Hal ini kerana dalam teori sains,
mereka yang memakai pakaian longgar dan menutup tubuh boleh melambatkan
pergerakan. Tetapi teori itu ternyata tidak tepat apabila pelari pecut
wanita Islam (dari Bahrain-kalau tak salah penulis) dapat mengalahkan
pelari lain yang hanya sekadar memakai cawat dalam sukan bertaraf dunia
baru-baru ini.
Selain itu, kalau benarlah teori itu, mengapa perlu
pakaian itu diperkenalkan kepada pemain boling. Sukan itu tidak
memerlukan pergerakan pantas.
Barat menipu kita dan kita hanya
menurut sahaja tanpa mahu membantah. Kita akur dengan peraturan itu demi
sukan padahal kita belum berani berbincang secara serius untuk mohon
pengecualian bagi atlet Muslim.
Bayangkan sudah berapa lama umat
Islam melakukan dosa mendedahkan aurat dalam bidang sukan. Jika dalam
hal ini kita sudah berdosa dengan Allah, bagaimana usaha kita untuk
membentuk perpaduan melalui sukan seperti yang sering diuar-uarkan.
Mahukah Allah merestuinya?
Pada pandangan penulis, cara berpakaian
dalam sukan itulah yang menjadi sebab mengapa kurang penyertaan orang
Islam dalam sukan. Sebenarnya mereka masih berminat untuk bersukan
tetapi mereka tiada pilihan untuk bersukan. Akhirnya sukan dikuasai oleh
orang bukan Islam.
Dalam hal ini, alangkah baiknya bagi
negeri-negeri yang di perintah oleh Pakatan Rakyat itu menjadi model
menganjurkan sukan yang mempunyai konsep pakaian sukan Islam. Jika
mereka berjaya, pasti dunia akan melihat dan lambat laun mereka akan
mencontohinya.
- Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan