Ahad, 8 Jun 2014

Dunia Adalah Penjara Bagi Orang Mukmin

  
Memperingati Israk Mikraj, umat Islam mestilah sentiasa memberi perhatian kepada permasalahan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa kerana peristiwa ini menjelaskan tautan rapat antara kedua-dua masjid ini serta kesuciannya kepada masyarakat Islam.
 

Baitulmaqdis telah dinobatkan sebagai kota suci ketiga bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Pembebasan kota ini menjadi kewajipan kepada umat Islam seluruhnya. Kita juga dapat mengambil seribu pengajaran lain pada peristiwa Israk Mikraj.

Antaranya, kita dilarang meletakkan pergantungan kepada dunia kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan dunia ini untuk mereka yang mengharapkan akhirat.
 
 

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Dunia penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir.” (Riwayat Muslim)

Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan dunia adalah penjara bagi Mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan serta ancaman yang mencabar keimanan mereka.

Manfaat dunia secara bijaksana

Justeru, selaku orang Mukmin kita diseru memanfaatkan dunia secara bijaksana dengan menjadikan dunia jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah SWT akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).
Jabir bin Abdullah berkata: “Pada suatu hari sewaktu saya bersama Baginda Rasulullah SAW, maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih.

Lantas dia menghampiri Rasulullah SAW dan berkata: Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu? Maka Rasulullah SAW berkata: Dunia itu adalah impian orang yang tidur. Bertanya orang itu lagi: Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW? Sabda Baginda SAW: Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa’ir.”

Kita hendaklah mengembalikan kecintaan kepada Allah SWT kerana kepada-Nya tempat kembalinya kita semua. Perasaan cinta dan kasih sayang adalah fitrah manusia. Cinta yang lain sesama makhluk mestilah berpaksikan cinta kerana Allah SWT.

Oleh itu, untuk mendapatkan kecintaan kepada Allah SWT, mestilah membanyakkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan. Sentiasa bermunajat, solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Lidahnya tidak kering sentiasa menyebut nama-Nya, memuji dan mengagungkan-Nya.
 http://ber-kongsi.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...