Selalunya ibu akan menegah si kecil daripada bermain pasir yang kotor. Memang logik kerana di pasir tersebut terdapat banyak kotoran najis, sisa sampah dan bermacam bakteria yang pasti boleh membawa jangkitan penyakit kepada anak anda. Tetapi tahukah anda sebenarnya kotoran itu bagus kepada si kecil. Mengapa?



1. Elak daripada penyakit

Menurut kajian, membiarkan anak bermain dengan kotoran akan mengelakkan mereka terkena penyakit seperti asma dan alahan. Penyelidikan yang sama juga mendedahkan kanak-kanak yang tiada alahan adalah kanak-kanak yang membesar dalam rumah yang terdedah kepada alergen dan bakteria berbanding dengan mereka yang terlindung daripada kotoran ini yang cenderung menghidap alahan dan asma. Ini kerana kanak-kanak yang berada dalam persekitaran steril tidak dapat membina kekebalan badan seperti mereka yang terdedah kepada "bahaya" tersebut.


2. Pengalaman penting

Sebenarnya pengalaman bermain sama ada dalam atau luar rumah adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa kini berlaku penurunan dalam bilangan kanak-kanak yang melibatkan diri pada aktiviti bermain di luar rumah.


3. Anak semakin aktif

Semakin meningkat usia anak anda bermakna dia semakin bijak dan aktif. Aktiviti luar banyak memberi peluang kepada kanak-kanak melibatkan diri dalam permainan aktif yang penting untuk pembangunan kemahiran motor kasar mereka. Antara aktiviti tersebut seperti berjalan, mengimbangi, mengejar, membuang dan menangkap.




4. Proses pembelajaran

Bermain secara aktif boleh merangsang dan mencipta peluang untuk kanak-kanak mempelajari dan membangunkan kawalan diri. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang berkeyakinan adalah yang cenderung melibatkan diri untuk bermain fizikal dengan kawan-kawan.


5. Membina sistem imun

Bermain secara aktif juga membina sistem imun badan anak membesar sebagai anak yang sihat dan cergas.


6. Interaksi sosial

Kanak-kanak yang biasa bermain di luar rumah bersama kawan-kawan lebih cenderung untuk membangunkan kemahiran interaksi sosial mereka dengan kawan-kawan.


Apa nak main?

Bermain di luar rumah adalah tempat yang ideal untuk kanak-kanak bermain dalam 'permainan kotor' yang melibatkan alam semula jadi, misalnya bermain dengan daun, pasir, air, cat air, batu bata, batu, kulit kayu, air, tumbuh-tumbuhan dan bunga.

Di mana nak main?

Jika rumah anda ada halaman, biasakan si kecil bermain di situ seperti berkebun, bermain air dalam kolam besar, bermain buih sabun. Jika tiada halaman anda boleh bawa anak ke taman permainan yang menyediakan pelbagai aktiviti semula jadi untuk merangsang deria mereka.
  PAMA