Macam-macam yang sanggup ibu ayah lakukan demi memastikan anak tersayang membesar sebagai anak yang sihat dan bijak. Cakap sahaja apa jenis aktiviti, permainan atau teknik membantu merangsang anak bijak, pasti anda akan cuba lakukannya.

Selain melakukan pelbagai rangsangan untuk membantu si kecil membesar sebagai anak yang pintar, ibu dan ayah jangan terlupa juga kepentingan faktor pemakanan.

Fakta pemakanan membuktikan makanan laut kaya dengan khasiat yang diperlukan untuk pertumbahan dan perkembangan sihat dan cerdas anak. Kandungan proteinnya yang tinggi sememangnya diperlukan oleh kanak-kanak sepanjang tumbesaran mereka.

Fakta paling menarik apabila dikatakan, dengan makan makanan laut ia boleh meningkatkan kecerdasan anak!



1.  Perkembangan optima anak
Makanan laut mengandungi protein sebanyak 15%, lemak 15% dan vitamin mineral 5%, ia juga terkenal mengandungi Omega 6, Omega 9 dan asid amino essensial yang boleh membantu perkembangan optima seorang anak.

2.  Pertumbuhan sel badan yang baik
Makanan yang termasuk dalam kategori makanan laut adalah ikan, udang, sotong, rumpai laut, ketam.  Makanan laut juga baik untuk membantu sistem pencernaan anak. Oleh itu ibu disarankan memperkenalkan makanan laut kepada anak sejak awal lagi. Kandungan protein yang tinggi dalam makanan laut digunakan untuk pertumbuhan dan pembaikan sel dalam badan anak.

3.  Ketinggian badan lebih optima
Tidak hairanlah jika anak yang gemar makan makanan laut sejak usia kanak-kanak akan memiliki ketinggian badan lebih optima berbanding anak yang tidak makan makanan laut.

4. Sistem pencernaan lebih baik
Makanan laut juga membantu sistem pencernaan anak kerana kandungan protein yang dimiliki mudah dihadam.

5. Mencegah masalah jantung
Selain kandungan protein yang tinggi, makanan laut juga merupakan sumber vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan jantung. Menurut fakta pemakanan, kandungan lemak tidak tepu yang ada dalam makanan laut tinggi dan boleh mencegah masalah jantung koroner.

6. Kandungan taurin untuk kecerdasan minda
Selain daripada itu, fakta menarik yang mesti diketahui iaitu makanan laut mengandungi taurin yang juga terdapat dalam susu ibu. Taurin diperlukan bayi untuk pertumbuhan sarafnya dan mencerdaskan minda. Kandungan taurin yang tinggi boleh diperoleh daripada kerang dan ketam.  Makanan laut membantu pembentukan otot dan menjaga keseimbangan metabolilsme badan.

Jadi, jika si kecil sudah berusia setahun ke atas jangan takut hendak memperkenalkan makanan laut kepadanya. Banyak manfaat untuk minda yang cerdas!
pama