Jumaat Penghulu Segala Hari..
JUMAAT penghulu segala hari kerana kemuliaan dan kelebihannya. Malah, peristiwa agung banyak berlaku pada Jumaat.
Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:”Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari)”.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”(Hadis riwayat Muslim).
Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.
Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, ter masuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.
Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”
Sebelum menunaikan solat Jumaat, dianjurkan mandi terlebih dulu sebagaimana hadis daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq `alaih)
Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi, tetapi mandi itu lebih utama.”(Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tirmidzi).
alkurawi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan