Kini
anda tidak perlu lagi risau sekiranya bateri telefon bimbit kehilangan
kuasa semasa berkhemah dalam hutan atau memancing di laut.
Ini kerana seorang penyelidik Universiti
Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan dapur mudah alih yang mampu
menjana kuasa bagi mengecas peralatan seperti telefon bimbit atau radio.
Dapur berbentuk enam segi rekaan Prof.
Mohd. Zulkifly Abdullah itu mampu menghasilkan sel-sel termoelektrik
daripada haba yang diserapkan ke bahagian dinding dan boleh digunakan
untuk mengecas bateri telefon bimbit.
Dalam pada itu, Mohd. Zulkifly berkata,
dapur rekaannya itu dikatakan yang pertama di pasaran menggunakan poros
daripada seramik sebagai bahan pemanas.
Poros ini mengandungi alumina disalut
karbida silikon yang berupaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida
dan nitrogen oksida.
“Tanpa nyalaan api, masakan boleh
dipanaskan dengan hanya menggunakan haba yang dihasilkan oleh poros
itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman.
Mohd. Zulkifly berkata, konsep sinaran
haba sedemikian lebih menjimatkan bahan bakar seperti gas sehingga 50
peratus berbanding nyalaan api.
Selain itu jelasnya, kepanasannya boleh
mencecah sehingga 720 darjah Celcius berbanding nyalaan api yang
biasanya sekitar 600 darjah Celcius.
Dapur berkenaan boleh menggunakan
pelbagai bahan bakar seperti gas petroleum cecair (LPG) jika di dalam
bangunan dan butana untuk kegiatan di luar.
Mohd. Zulkifly daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal mengambil masa tiga tahun untuk menghasilkan prototaip dapur tersebut.
mummynemo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan