GEORGE TOWN: Sebuah kamera pasukan penyelamat mengesan objek
yang dipercayai manusia selepas melihat tangan yang tidak bergerak di
dalam sebuah kereta yang tertimbus di bawah konkrit dan keluli yang
beratnya bertan-tan akibat runtuhan penyambung Jambatan Kedua Pulau
Pinang di Batu Maung pada malam Khamis.
Para penyelamat menjumpai sebahagian daripada nombor plat kenderaan dengan nombor “437”.
Polis mempercayai bahawa ia merupakan tiga digit pertama bagi nombor plat kenderaan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar pada Jumaat
berkata, sebuah kamera pasukan penyelamat telah digunakan dan anggota
penyelamat mengesan sekali imbas bahawa terdapat tangan mangsa tetapi
tiada pergerakan atau tindak balas yang dikesan.
“Kami tidak dapat pastikan berapa ramai mangsa tetapi sekurang-kurangnya seorang telah dikesan.
“Ia (kereta) merupakan Perodua Kelisa warna hijau,” katanya.
Abdul Rahim berkata, polis tidak dapat mengenal pasti mangsa dan
menggesa mana-mana pihak yang kehilangan anggota keluarga sejak malam
Khamis diminta membuat laporan polis.
Kerja-kerja menyelamat telah berjalan selama lebih 14 jam.
“Beratus-ratus tan konkrit dan keluli runtuh, dan kami perlu
bergantung kepada jentera yang berat bagi membantu dalam kerja-kerja
pembersihan,” katanya.
Lebih 300 anggota penyelamat di kalangan polis, jabatan bomba dan
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan kontraktor sedang berusaha
untuk memasuki kawasan kereta yang tertimbus.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan dijangka akan selesai menjelang petang.
“Kami berharap orang ramai dapat bersabar,” katanya.
mstaronline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan