Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan
Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah
setelah Allah s.w.t. menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina
Baitullah itu.
Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. meninggikan tapak
Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah
tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda. Satu
riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam
taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain.
Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang
lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim
menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar
seperti yang difirman oleh Allah s.w.t. yang bermaksud,
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 127).
Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah s.w.t. sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah s.w.t.
Apabila agama Islam datang, Allah s.w.t. mensyariatkan untuk
bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana firman Allah s.w.t.
yang bermaksud, “Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat
sembahyang.” (surah al-Baqarah ayat 125).
Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak
kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim. Setelah selesai pembinaan
Baitullah, maka Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Ibrahim memberi
kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah. Firman Allah
s.w.t. yang bermaksud, “Dan serulah umat manusia untuk datang
mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan
berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang
datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh.” (surah al-Haj
ayat 27).
Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung
yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau memanggil dengan
nama Allah s.w.t., “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu
telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua
tunaikan haji di sana.” Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri
seolah-olah orang melaungkan azan. Allah s.w.t. menyampaikan seruan Nabi
Ibrahim a.s pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan
itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji
itu tidak akan sah tanpa talbiah.
Bacaan talbiah antara lainnya, “Labbaikallahhummalabbaik” yang bermakna,
“Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah.” Menunaikan haji
adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya
apabila kita sudah mampu melaksanakannya.
Ramai orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan
haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan
maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu,
hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya
menunaikan haji.
Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka
sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh
Allah s.w.t.
Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji
melakukan bermacam-macam maksiat. Bagi mereka yang mendapat kenikmatan
haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai
oleh Allah s.w.t. sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim
yang sempurna. Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang
berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan
diterima oleh Allah s.w.t.
Wallahu’alam….
Sumber: hasnulhadiahmad.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan