Isnin, 5 Mei 2014

Info -Lemak ikan baik untuk jantung

Makanan laut adalah baik dalam Islam dan sangat istimewa kerana semua makanan laut adalah halal. Hasil pemerhatian awal saintis mendapati masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung rendah dan paras kolesterol lebih rendah berbanding masyarakat bandar di Amerika Syarikat dan Eropah.

Diet pemakanan masyarakat Eskimo tinggi dengan lemak dan minyak, walaupun kurang memakan sayur-sayuran. Makanan orang Eskimo adalah hasil laut, terutama ikan.
Kajian juga menunjukkan rakyat Jepun adalah ‘pemakan‚ ikan terbesar dunia dan mempunyai kadar penyakit jantung rendah berbanding masyarakat di Amerika Syarikat.

Begitu juga masyarakat di Mediterranean yang banyak makan ikan dan makanan laut. Kesimpulan daripada kajian itu ialah, ikan dan kebanyakan hasil laut kaya dengan asid lemak Omega 3. 



Fenomena ini menjadi ‘ironi‚ yang menarik dan seolah-olah ‚menentang arus‚ serta berbeza dengan pandangan umum bahawa pemakanan tinggi lemak menjadi punca penyakit jantung.

Hakikatnya ada lemak yang baik untuk kesihatan jantung iaitu Omega 3. Sekarang kita biasa melihat iklan dan jenama produk mempunyai kandungan Omega 3 yang dikaitkan dengan kesihatan jantung. Tentu anda selalu melihat singkatan EPA dan DHA pada label tin susu dan minyak masak yang dibeli di pasaran.

Asid lemak Omega 3 adalah contoh lemak sihat yang boleh membantu mencegah penyakit jantung. Selalunya kita takut dengan istilah ‘lemak‚ hingga menyangka semua lemak adalah tidak sihat dan boleh meningkatkan paras kolesterol.

Sebenarnya, lemak ikan boleh membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan trigliserida serta menaikkan paras kolesterol baik HDL.

Banyak kajian membuktikan lemak ikan kaya dengan asid lemak ‘Omega 3‚ yang terbukti boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari.

Kajian sains menunjukkan ikan berlemak seperti salmon, tuna, sardin, makerel dan trout mempunyai kandungan Omega 3 yang tinggi.

Asid lemak Omega 3 akan memperlahankan pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah dan mengurangkan keradangan pada dinding saluran dalam tubuh manusia.
Oleh itu, pemakanan ikan setiap hari digalakkan sebagai sebahagian daripada cara pemakanan sihat yang boleh menurunkan paras kolesterol, mengawal tekanan darah dan mencegah sakit jantung.


Bukti kajian sains mengenai ikan dan kesihatan jantung

Pada 8 September 2004, FDA ia-itu badan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal perubatan di Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan menyokong Omega 3 (EPA & DHA) sebagai makanan tambahan yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

FDA juga menyarankan pemakanan ikan dengan lebih kerap kerana kandungan Omega 3 dalam ikan mampu menurunkan risiko sakit jantung koronari.

FDA juga membenarkan pengilang dan pengedar menghasilkan makanan dan makanan tambahan mengiklankan bahawa produk mengandungi Omega 3 boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari dan menurunkan paras kolesterol darah.

Saranan FDA kerana bukti kukuh hasil pelbagai kajian menunjukkan kesan baik pemakanan ikan dengan kesihatan jantung.

Antara laporan mengenai kelebihan Omega 3 diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition pada 1997, pengkaji mendapati pengambilan Omega 3 dengan makan ikan setiap hari menurunkan paras trigliserida darah sehingga 25 hingga 30 peratus.

Satu kajian di Amerika Syarikat yang mengkaji hubung kait pemakanan ikan dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua mendapati penurunan 29 peratus kadar kematian di kalangan pesakit yang makan ikan setiap hari.

Pada 1999, pengkaji dari Gissi Prevenzione melaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet mengenai kajian membabitkan 11,324 pesakit yang mendapat serangan jantung (myocardial infarction).

Semua pesakit ini diberi Omega 3 sebanyak 1,000 miligram setiap hari dan kesimpulan kajian ini menyatakan pengurangan kadar kematian akibat serangan jantung kali kedua sebanyak 45 peratus. Kesan baik pengambilan Omega 3
diamalkan setiap hari didapati selepas tiga bulan dan seterusnya.

Pada 2006, dua jurnal perubatan utama di Amerika Syarikat iaitu American Journal of Clinical Nutrition dan Journal of American Medical Association (JAMA) memberi ulasan positif mengenai kelebihan Omega 3.

Ia menyatakan, berdasarkan laporan kajian dijalankan di seluruh dunia, wujud pengurangan ketara dalam kadar kematian keseluruhan dan insiden penyakit serangan jantung dalam kalangan mereka yang mengamalkan pemakanan banyak ikan atau minyak ikan atau mengambil makanan tambahan Omega 3 setiap hari.
mymetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...