Jumaat, 13 Januari 2012

Remaja Tanpa Didikan Khusus Mudah Tersasar

Masyarakat sering menumpukan pendidikan peringkat kanak-kanak, tetapi jarang kita dengar tumpuan diberikan kepada remaja, terutama pendidikan yang boleh dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan seharian. Remaja dewasa ini umpama hidup tanpa arah dan tujuan.

Pendidikan yang mereka peroleh seolah-olah gagal membentuk keperibadian seperti disyariatkan Islam. Kebanyakan mereka terbabit dengan gejala yang tidak bermoral. Alasannya semata-mata kerana inginkan keseronokan dan hiburan.

Mengejar keseronokan menyebabkan mereka lupa tanggungjawab dan melupakan tujuan asal mereka diciptakan di muka bumi Allah ini.Adakah kerana pendidikan yang diterima ketika peringkat kanak-kanak tidak membantu untuk mereka tumbuh menjadi remaja yang mempunyai identiti sendiri tanpa perlu terikut-ikut dengan budaya luar yang dianggap lebih ‘serasi’ dengan jiwa remaja.

Masalah sosial umpamanya, yang membabitkan remaja kini bukan satu perkara yang boleh diambil mudah. Jumlah mereka yang terbabit dalam pelbagai jenayah dilihat kian meningkat.

Namun disebabkan kerajaan memikirkan masa depan mereka, ada dalam kalangan mereka yang diberi hukuman alternatif demi untuk mengelakkan mereka bergelar ‘banduan’ sebaik saja hukuman berakhir.

Semua ini perlu kita perhatikan dari saat awal perkahwinan. Kebanyakan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada waktu ini kurang mempersiapkan diri dengan ilmu perkahwinan. Jika ilmu perkahwinan mereka kurang apatah lagi jika bercakap soal ilmu keibubapaan.

Bagaimana mungkin mereka mampu mendidik anak. Akhirnya tugasan itu nanti diserahkan kepada pembantu rumah dan akhirnya kepada guru di sekolah. Maka dengan itu, kanak-kanak itu membesar menjadi remaja yang dibentuk bukan daripada acuan didikan kedua-dua ibu bapanya, tetapi lebih kepada pengaruh pendidikan ‘orang luar’ yang berada di sekeliling mereka.

Oleh yang demikian, tidak menghairankan apabila ada remaja yang terbabit dengan ‘gangsterisme’ kerana inginkan perhatian. Tempoh waktu sebagai remaja amat penting kerana ketika itu remaja memerlukan perhatian.

Kebanyakan remaja di Malaysia tidak pernah diberi kebebasan untuk meluahkan kehendak dan buah fikiran mereka. Bentuk pendidikan yang diberikan menjadikan mereka sebagai seorang individu yang hidup sekadar memenuhi kehendak orang lain iaitu ibu bapa.

Bila waktunya ibu bapa atau penjaga pernah memberi ruang kepada remaja untuk membuat pilihan dan keputusan dalam hidup mereka?

Mungkin kebebasan itu tidak diberikan 100 peratus untuk mereka memilih, tetapi sekurang-kurangnya bimbing mereka untuk membuat keputusan agar apa juga bentuk keputusan dibuat dalam kehidupan mereka tidak akan dikesali.

Jika keputusan yang mereka pilih menemui kegagalan sekurang-kurangnya sebagai remaja mereka belajar untuk menangani kegagalan dan berusaha untuk memperbaiki diri dan semua ini memerlukan bimbingan kedua ibu bapa. Oleh itu, sekurang-kurangnya berilah ruang dan peluang kepada remaja untuk mencorak jalan hidup mengikut minat dan kemampuan mereka.

REMAJA RESAH,
Selayang, Selangor


gzbodaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...