Seringkali apabila membincangkan bab keibubapaan, kita selalu
menekankan peranan seorang ibu. Namun jangan sesekali melupakan
kepentingan peranan ayah dalam mendidik anak menjadi insan soleh dan
solehah.
Memang tidak dinafikan ibulah yang bersusah-payah mengandungkan anak
selama sembilan bulan, bertarung nyawa berjam-jam untuk melahirkan
zuriat tersayang, menyusu dan berkorban kesakitan demi memastikan si
anak sihat dan sempurna tumbesarannya.
Tetapi pengorbanan dan peranan seorang ayah dalam kehidupan seorang
anak tidak harus dilupakan. Didiklah anak untuk mengasihi ayah dan
menghargai pengorbanannya.
Biasanya, peranan ayah hanya dilihat dalam aspek pemberi nafkah berupa
sara hidup, makan minum, tempat tinggal untuk keluarga selain sebagai
insan yang bertanggungjawab membiayai pendidikan anak-anak.
Namun adakah setakat itu sahaja peranan seorang ayah? Hakikatnya ayah
adalah pemangkin utama penggerak kepada pembentukan hero-hero di dalam
keluarganya sendiri.
Jika ditanya kepada anak kecil tentang ayah mereka, maka inilah
kebanyakan jawapan mereka ”nak kerja macam ayah”, “nak jadi macam papa”,
“daddy kita paling hebat.”
Nah, ternyata anak-anak sejak dari usia kecil lagi menjadikan ayah
masing-masing sebagai idola mereka. Kebanyakannya tegas memberitahu ayah
merekalah yang paling hebat.
Justeru, ayah perlu membuktikan diri mereka sentiasa bekerja keras dan
bersemangat menjadi individu terbaik buat anak dan isteri. Dalam Islam
sendiri menegaskan peranan seorang ayah sebagai pemimpin dalam keluarga.
Prinsip kepimpinan melalui teladan harus diterapkan dalam rumah tangga
kerana ia antara kaedah berkesan memastikan setiap ahli keluarga berada
dalam keadaan baik. Usahlah menjadi ayah yang sering melindungi atau
membela kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh si anak.
Ia hanya akan membuatkan anak semakin sukar menerima teguran dan terus
melakukan kesilapan. Jika mahu isteri dan anak menjadi insan bertakwa,
maka suami atau ayah itu terlebih dahulu mesti bertakwa.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Orang lelaki adalah penjaga
ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan
perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia
bertanggungjawab terhadap mereka.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
Sebagai ayah, tugas mendidik anak pada zaman sekarang amat berbeza
berbanding dahulu. Didiklah anak-anak anda mengikut acuan Islam agar
mereka mempunyai asas agama yang kuat apabila dewasa kelak.
Para bapa moden hari ini semakin peka dan faham betapa pentingnya
peranan mereka untuk turut terbabit secara langsung dalam proses menjaga
dan mendidik anak-anak. Rata-rata ayah telah mula mendidik anak
mentaati perintah Allah SWT sejak kecil lagi.
Oleh itu apabila besar tidak menjadi masalah besar kepada anak-anak
untuk mematuhi perintah Allah dan memahami tanggungjawab mereka sebagai
seorang khalifah di bumi Allah. Jangan sesekali menjadikan kesibukan
kerjaya sebagai alasan untuk mengurangkan tumpuan bersama isteri
mendidik anak-anak.
Sebagai ketua keluarga atau pemimpin dalam rumah, ayah hendaklah
menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak. Wujudkan persekitaran agama
di dalam rumah agar anak terbiasa dengan suasana tersebut sejak dari
kecil.
Malahan tugas tersebut sepatutnya sudah bermula sejak anak di dalam
kandungan ibunya lagi. Proses pendidikan sudah patut bermula sejak dari
dalam perut lagi!
Berusahalah untuk menjadi hero sebenar di mata anak. Biarkan anak
berbangga memiliki anda sebagai hero mereka. Doakan agar mereka menjadi
anak yang soleh, beriman, berilmu dan bertakwa kerana doa seorang ayah
antara yang paling mustajab.
majalahpama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan