Ahad, 22 September 2013

Ketibaan Hypermotard dan Hyperstrada


LAPAN tahun lalu, Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali berperanan sebagai platform menguji pasaran oleh Ducati.

Pameran perdagangan jentera dua roda terbesar dunia itu menyaksikan kemunculan model konsep supermoto Ducati. Model dimaksudkan ialah Hypermotard 1100.

Kehadiran model itu memberi gambaran bahawa pengeluar motosikal berkuasa tinggi itu sudah ada rancangan untuk meneroka segmen motard.

Maklum balas yang diterima agak luar biasa. Impak permintaan konsumer antarabangsa, model itu akhirnya menemui barisan pengeluaran pada tahun 2006.
 


Tiga tahun kemudian, Ducati memperkenalkan satu lagi model supermoto kelas sederhana iaitu Hypermotard 796.

Momentum itu diteruskan melalui generasi motard baharu sewaktu EICMA 2012. Kali ini, tiga varian diperkenalkan iaitu Hypermotard, Hypermotard SP dan Hyperstrada. 

Rangkaian motosikal baharu itu lahir untuk mendokong kemajuan teknologi terkini Ducati tanpa menyimpang daripada konsep asal motard Ducati.

Objektif binaan kali ini adalah untuk mencipta penanda aras baharu dalam pasaran antarabangsa.

Keluarga Hyper menggunakan enjin sama. Ia satu unit rangkaian kuasa baharu yang dicipta khas untuk mengimbangi aspek prestasi dan kegunaan.

Rangkaian kuasa varian Hyper terdiri daripada enjin Testastretta 11 darjah bersesaran 821cc dan transmisi enam kelajuan.

Idea kejuruteraan enjin Multistrada dan 1199 Panigale diaplikasi pada enjin baharu itu. Aspek dimaksudkan adalah susun atur komponen penyampaian bahan api.

KOTAK simpanan sisi Hyperstrada mampu menampung berat sehingga 5 kilogram setiap satu.


Baru-baru ini, Ducati Malaysia (Next Bikes Sdn. Bhd.) mempelawa saya untuk menguji model Hyperstrada dan Hypermotard 2013 selama dua hari.

Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Itali itu dilengkapi tiga mode pemetaan enjin iaitu Urban, Touring dan Sport.

Mode urban menghadkan kuasa kuda kepada 75hp. Untuk Touring dan Sport, kuasa maksimum 110hp boleh dinikmati.

Biarpun mode Touring dan Sport berkongsi hamburan kuasa sama, ia tetap ada bezanya.

Saya mendapati apabila memilih mode Sport, respons pendikit minyak lebih sensitif jika dibandingkan dengan tetapan Touring.

Semua mode itu diintegrasi bersama pakej keselamatan Ducati. Pakej itu merangkumi sistem brek antikunci (ABS) dan Ducati Traction Control (DTC).

Setiap mode boleh ditetapkan mengikut keselesaan setiap penunggang. Anda juga boleh memadamkan mode ABS sepenuhnya jika mahu.

Ada dua pilihan sistem ABS. ABS tahap 1 memastikan prestasi membrek berada pada tahap tertinggi. Ia sesuai untuk mode Sport.

Jika memilih ABS tahap 2, jentera mendapat kawalan kestabilan maksimum. Lebih praktikal untuk pemetaan Touring dan Urban.

Untuk DTC, ada lapan tahap boleh dilaras. Tahap satu disyorkan untuk penunggang mahir. Tahap lapan pula mengaktifkan kawalan terperinci oleh sistem. Ia pantas mengawal jentera, biarpun tayar tergelincir sedikit.

Hyperstrada ialah sebuah jentera crossover. Ia sebuah motard yang ditambah beberapa aksesori untuk kegiatan aktiviti kembara.

Antara aksesori itu ialah tongkat kembar, penghadang angin hadapan dan dua unit kotak simpanan pada bahagian sisi.

Pukulan angin disalurkan keluar dengan adanya penghadang angin. Nampak sahaja kecil tetapi tugas digalasnya agak memuaskan.

Kedudukan hendal yang merapat ke dada dan ketinggian pelana mudah membuat lengan saya lenguh. Mungkin disebabkan posisi badan terpaksa ke depan.

Keselesaan tunggangan ada beza dengan varian Hypermotard. Lengan tidak terasa lenguh walaupun menunggang selama dua jam tanpa henti. Hanya punggung sahaja terasa kebas.


MODEL Hypermotard pastinya menawarkan keseronokan kepada para peminat tunggangan agresif.


Perkara itu pasti berkait rapat dengan kelebihan ketinggian Hypermotard. Ia menempatkan badan lebih tinggi berbanding Hyperstrada.

Hypermotard agak tinggi bagi mereka yang memiliki ketinggian 170 sentimeter. Hujung jari kaki digunakan untuk menahan motosikal.

Tidak perlu gusar, motosikal Ducati itu boleh bergerak sendiri biarpun anda tidak memulas pendikit.

Caranya, tarik tuil klac dan masukkan gear pertama. Brek tangan perlu dilepaskan sepenuhnya. Jangan pulas pendikit minyak.

Lepaskan tuil klac secara perlahan-lahan sehingga habis. Saya mendapati kadar kelajuan maksimum untuk kaedah itu adalah 13km/j. Satu kelebihan untuk penunggang rendah seperti saya.

Secara purata, kapasiti tangki petrol sebanyak 16 liter membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 180km sebelum lampu amaran bekalan petrol rendah mula menyala.

Oktober depan, Ducati Malaysia akan membawa satu kejutan buat anda. Ia bakal memperkenalkan Hypermotard dan Hyperstrada 2013 dari Thailand (ASEAN CKD) pada harga yang cukup istimewa.

Dengar khabar, harganya bermula serendah RM70,000. Jadi, tunggu sahaja pengumuman terkini daripada anak syarikat Kumpulan Naza itu.
kosmo online

2 ulasan:

  1. Salam sejahtera..
    Boleh ulaskan lebih mengenai perbezaan hypermotard dan hyperstrada? Sy berminat kepada touring bike.sebab side box yg mudah utk mengisi barang..tp masa yg sama motard lebih memikat hati..(tinggi sy cume 163)

    BalasPadam
  2. Salam sejahtera..
    Boleh ulaskan lebih mengenai perbezaan hypermotard dan hyperstrada? Sy berminat kepada touring bike.sebab side box yg mudah utk mengisi barang..tp masa yg sama motard lebih memikat hati..(tinggi sy cume 163)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...