Keterangan: Ikuti dialog oleh
satu pasangan yang sedang berkhalwat tertangkap oleh seorang ustaz.
Hayatilah intisari dialog ini, dan muhasabahlah diri kita masing-masing.
Pelajar: Kami tidak berzina!
Ustaz: Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.
Pelajar: Kami hanya berbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum adakah itu menghampiri zina?
Ustaz: Ya, perbuatan ini menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.
Pelajar: Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.
Ustaz:
Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan
bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah
banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman
dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu nenek moyang kita yang
pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula lupa. Siapalah kita berbanding Adam
dan Hawa? Ia ada lebih 1001 cara. Ingat pesanan Rasulullah S.A.W.: “Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat Tabrani). Syaitan akan menghembus perasaan berahi, kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.
Pelajar:
Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan. Ada
orang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua
muka pun.
Ustaz: Betul. Itu
adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada
awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat laun
desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis akan mengheret kepada
suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja,
percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh
membawa kepada penzinaan akhirnya?
Pelajar: Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu zina juga ke?
Ustaz:
Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada
zina tangan (berpegang-pegangan), ada zina mata (melihat kekasihnya
dengan perasaan berahi). Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati
iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh
Rasulullah S.A.W.: “Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah
menyentuh. Kedua kakinya juga berzina dan zinanya adalah berjalan
(menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah
ciuman.” (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan
lorong menuju kepada penzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita
berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa
kepada penzinaan.
Pelajar: Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!
Ustaz:
Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang
terselit dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau
cemerlang sekali pun, kalau tak diberkati Allah, kejayaan tidak akan
membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebihlah lagi. Jangan
berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang
yang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah.
Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ini akan ditulis
ibadat oleh malaikat Raqib dan Atiq?
Pelajar: Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.
Ustaz:
Study group? nampak macam lain macam saja. Manja, senyum memanjang, tak
macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Ke mana-mana
pun berdua. Kalau ye pun carilah study group ramai-ramai sedikit. Kalau
duduk berdua-dua macam ini.. betul ke bicang pelajaran? Jangan-jangan
sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu banyak masa dihabiskan
dengan fantasi cinta!
Pelajar: Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.
Ustaz:
Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak perasan apa-apa? Awak
kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita
manusia. Jangan nafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan.
Itulah manusia.
Pelajar: Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.
Ustaz:
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis
sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum
sejenis. Ingat banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum
sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat
pula.
Pelajar: Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam islam untuk bercinta? Adakah islam membunuh terus naluri cinta?
Ustaz:
Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri
ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah
fitrah. Kalau naluri tidak wujud pada diri seseorang, tak normal
namanya. Islam bukan datang untuk membunuh naluri seperti yang dilakukan
oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong
pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang
tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Maka tundukkan naluri itu untuk patuh
pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat pada nalurinya. Jangan
jadi malaikat! kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan
segala isinya akan hambar tanpa naluri nafsu.
Pelajar: Tentu ada cinta secara Islam.
Ustaz:
Cinta secara islam hanya satu iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah
ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta
yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam.
Apabila Islam melarang cinta antara lelaki dan wanita sebelum kahwin,
ia membawa kepada sesuatu sebagai ganti yang lebih baik iaitu
perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah.” (Ibni Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.
Pelajar: Kalau begitu, cinta semua menghampiri kepada penzinaan?
Ustaz:
Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik.
Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian aturkan
pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi
sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin
akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam
kawan, sekarang macam pengantin baru. Bukankah mereka semakin hampir dan
dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta adalah penzinaan dan
kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam
keadaan putih bersih tanpa noda seekor nyamuk sekalipun!
Pelajar: Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.
Ustaz:
Allah menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia.
Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu, Allah memerintahkan supaya diri
menjauhi perkara yang ditegah. Takut manusia kecundang.
Pelajar: Jadi manusia itu tak tahan diuji?
Ustaz:
Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak awal penciptaan
manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan
dengan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk
iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah
Khuldi dalam syurga. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tak
tahan diuji. Oleh itu, Allah berpesan pada Adam dan Hawa, jangan hampiri
pokok Khuldi. Firman Allah S.W.T.: “Wahai Adam! Tinggallah engkau
dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya
sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu berdua sukai dan jangan hampiri
pokok ini, (Jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari
orang-orang yang zalim.” (Al-A’araf:ayat 19).
Tegahan yang
sebenarnya adalah memakan buah Khuldi. Tetapi Allah tahu sifat dan
kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara yang ditegah, takut
nanti mereka akan memakannya kerana mereka tidak dapat mengawal diri.
Demikianlah dengan zina. Ditegah zina. Maka jalan ke arah penzinaan juga
dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan,
kedua-duanya kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek
moyang kita Adam dan Hawa.
Pelajar:
Tetapi cinta lepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita
secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan sebelum
membuat keputusan sebelum berkahwin.
Ustaz:
Boleh percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh
dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan
berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan
pelbagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa
bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan haraplah lepas kahwin bila
merajuk ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan
keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai jauh berbeza. Macam
langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, sabar
tunggu pasangan terlambat berjam-jam. Tapi bila dah kahwin lewat 5 minit
dah kene tengking. Jadi, perwatakan masa bercinta adalah suatu kepuraan
yang hipokrit.
Pelajar: Percayalah kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti.
Ustaz:
Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah?
Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih.
Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan.
Allah yang akan menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah
kebahagiaan itu jika jalan mencapainya tidak diredhai Allah. Kebahagiaan
hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. tentu
prosesnya bukan cinta sebegini. Allah tidak meredhai percintaan ini.
Cinta yang diredhai, cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat
keluarga yang bahagia jika langkah memulakannya pun sudah canggung.
Bagaimana kesudahannya?
Pelajar: Tanya sikit adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta.
Ustaz:
Semua itu adalah perangkap syaitan. Hakikatnya sama. Cinta yang diberi
nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tapi isinya sama. Adik, abang,
kakak angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia
yang terlibat dalam budaya “angkat” ini sebenarnya telah masuk ke dalam
perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan.
Pelajar: Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?
Ustaz:
Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta
manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang
mabuk bercinta mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa
maruah dirinya. Manakala bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu
terlibat dengan cinta sebelum kahwin akan mengatakan orang yang bercinta
sudah tidak bermaruah. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum
layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran maruah atau tidak
ditentukan oleh Allah.
Pelajar: Adakah orang yang bercinta hilang maruah?
Ustaz:
Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta
seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka sedang menghampiri
penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak
berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak
layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman.
Allah berfirman: “Lelaki
yang berzina(lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan
yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu
pula(lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki
yang berzina atau lelaki musyrik.Dan perkahwinan yang demikian terlarang
kepada orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nur:Ayat3). Jadi
orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan
orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari
Tuhan.
Pelajar: Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang pernah bercinta?
Ustaz:
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya kerana wanita yang baik adalah
untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.
Pelajar: Kami telah berjanji untuk sehidup semati.
Ustaz:
Apa yang ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang
musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu
peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap
kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.
Pelajar: Masihkah ada orang yang tidak bercinta pada zaman ini?
Ustaz:
Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini sentiasa ada
walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti.
Mereka ada pasangannya. Firman Allah S.W.T.: “Dan orang-orang lelaki
yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang
memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan
zina) Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala
yang besar.” (Al-Ahzab:ayat 35).
Pelajar: Bagaimana kami?
Ustaz:
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah
serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk
mendapat redhaNya.
Pelajar: Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha.
Ustaz: Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi 3 syarat:
1.Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.
2.Menyesal. Menginsafi diri atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
3.Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah setelah ijab Kabul.
Pelajar: Ya Allah.
Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini.
Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Berilah
kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan
kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak
yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jagaku sedari kecil
dengan kasih sayang. Mengapa kucurahkan kasihku kepada orang lain. Oh
tuhan, hambamu yang berdosa. Amin, Ya Rabb.
Ustaz: Moga Allah terima taubatmu.
Pelajar: Kita berpisah kerana Allah, kalau ada jodoh tidak ke mana.
Ustaz: Ya Allah, bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintuMu, mencari redhaMu, terimalah taubat mereka.
Dipetik daripada Kalam Ukhwah,
Syukbah Penerbitan dan Risalah Surau Perdana,
Kolej Matrikulasi Melaka
Syukbah Penerbitan dan Risalah Surau Perdana,
Kolej Matrikulasi Melaka
http://mementokami.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan