Isnin, 2 Jun 2014

Orang Pandai berbeza dengan Orang Mahir

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Adakah anda tergolong di kalangan orang yang pandai atau orang yang mahir, atau kedua-keduanya sekali?  Untuk mengetahuinya, sila baca hujjah-hujjah berikut dan terpulang kepada anda lah mahu menerima atau menolaknya.

Orang yang pandai

Orang yang pandai ialah sepertimana yang telah diajar oleh Nabi S.a.w iaitu;

الْكَيّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ المَوْتِ، وَالعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمنّى عَلَى الله
"Orang yang pandai adalah yang memuhasabah dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan (mengharap-harap) terhadap Allah S.w.t."  [HR Ahmad, Ibnu Majjah, Al-Hakim dan at-Turmudzi, dia berkata, "Hadits ini adalah hadits hasan"]


Bukan seorang yang pandai jika sekiranya kita sentiasa menurut hawa nafsu dan malas beribadah, tetapi hanya berharap agar mendapat rahmat Allah S.w.t dan memohon syurga.

Mahu rahmat Allah? Buatlah apa yang Allah suka setiap hari.

Ibnu Umar radhiyallaahu ‘anhuma berkata, "Suatu hari aku duduk bersama Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, tiba-tiba datang seorang lelaki dari kalangan Anshar, kemudian dia mengucapkan salam kepada Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam dan bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang mukmin yang paling utama?" Rasulullah menjawab, "Yang paling baik akhlaqnya." Kemudian dia bertanya lagi, "Siapakah orang mukmin yang paling pandai?" Beliau menjawab, "Yang paling banyak mengingat mati, kemudian yang paling baik dalam mempersiapkan kematian tersebut, itulah orang yang paling pandai." [HR Ibnu Majjah, at-Thabrani, dan al-Haitsamiy. Syeikh al-Albaniy dalam Shahih Ibnu Majah 2/419 berkata : hadits hasan] [1]

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."  [Surah al-Hasyr : ayat 18]

Orang yang mahir

Sedangkan orang yang mahir adalah orang yang selalu buat suatu perkara itu dengan berulang-ulang dan penuh konsisten. Sama lah seperti kemahiran haiwan. Anda sudah tentu tidak dapat melawan kehebatan burung helang menangkap ikan di dalam air dengan cakarnya sahaja, kecekapan monyet memanjat pokok dengan sangat lincah, kehebatan burung-burung yang terbang dengan megah dan lincah di udara, melompat-lompat dari dalam air ke atas air seperti ikan lumba-lumba, dan sebagainya.

Kenapa haiwan-haiwan itu mahir berbuat demikian? Kerana sudah ditakdirkan oleh Allah S.w.t, mereka dikurniakan fizikal yang berkeupayaan dan telah membiasakan diri berbuat demikian sejak kecil lagi.  Tiada monyet yang apabila lahir saja terus pantas dan lincah memanjat, melainkan secara beransur-ansur dia belajar, begitulah seterusnya dengan haiwan-haiwan lain.

Maka sama lah dengan seorang manusia yang membiasakan diri membuat sesuatu sejak masih kecil, apa lagi dengan penuh istiqomah dan belajar kemahiran-kemahiran asas, maka dia juga akan menjadi mahir dengan apa yang dia buat insya Allahu ta'ala.

Kerana itulah kita sepatutnya tidak hairan dengan kemajuan-kemajuan kebendaan yang di zaman moden ini banyak dikuasai oleh orang-orang Yahudi dan orang-orang yang tidak beriman, hasil daripada usaha mereka sejak awal. Apa lagi contohnya seperti Yahudi, mereka mengamalkan pemakanan-pemakanan yang bagus untuk kesihatan mental dan fizikal, tetapi menghulurkan kepada kita makanan-makanan yang melemahkan otak (contoh seperti Fluorida dalam air bekalan minuman, bahan-bahan kimia negatif dalam makanan, vaksin-vaksin dalam perubatan dan sebagainya - perlu dibahaskan dalam topik lain jika mahu lebih "detail").

Ditambah pula jika negara mereka itu besar dan mempunyai jumlah penduduk dan tenaga kerja yang ramai. Dan sesetengah golongan seperti Yahudi, walaupun jumlah mereka di dunia ini tidak ramai sangat, tetapi mereka mengambil bangsa-bangsa lain bekerja dengan mereka dalam jumlah yang ramai.  Kerana Yahudi mempunyai dana yang besar serta pengaruh yang amat meluas.

Umat-umat dahulu kala contohnya seperti kaum 'Aad, Tsamud, Sadum dan sebagainya, mempunyai kemajuan dan ilmu senibina yang hebat juga, tetapi akhirnya hancur lebur dimusnahkan oleh Allah S.w.t akibat maksiat yang berleluasa.

Mahu jadi orang pandai atau mahir atau kedua-duanya?

  
Justeru, orang yang mahir dengan ilmu-ilmu kebendaan, tidak semestinya adalah orang yang pandai.  Kerana orang yang pandai ialah orang yang lebih mementingkan kehidupan yang SELAMA-LAMANYA di akhirat sana, bukannya kehidupan yang sementara di dunia ini. Manusia akan mati BILA-BILA MASA,  hanya kita yang merasakan seolah-olah dapat HIDUP LAMA.

Maka bagaimana mahu dikatakan seseorang itu PANDAI, walaupun dia mempunyai PELBAGAI KEMAHIRAN dan KEHEBATAN DUNIAWI, akan tetapi lebih mementingkan hawa nafsunya dan bukan mengikut PANDUAN dari Rasulullah S.a.w dalam beramal untuk akhirat?

Sebaik-baiknya kita menjadi orang yang pandai lagi mahir, kerana kemahiran juga penting untuk menguatkan umat. Pandai dan mahir, semuanya bermula dengan ilmu. Belajar, berdoa pada Allah dan tawakkal padaNya, insyaAllah kita akan dapat kedua-duanya.

Para nabi a.s dulu semuanya ada kemahiran Ilmu Dunia dan Ilmu Agama. Maka sebaik-baiknya kita pun sedemikian iaitu 2 dalam 1, Ilmu Dunia pun mahir, Ilmu Agama (Akhirat) lebih-lebih lagi.


Tambahan: Mencari pahala berganda-ganda dan berterusan
Bersedekah dan memberi hadiah adalah jalan untuk mendapat pahala yang berganda dan berterusan, apa lagi jika kena cara dan barang yang disedekah atau dihadiahkan.  Berikut ada beberapa idea yang sama-sama kita boleh praktikkan jika ada kemampuan;
- Mewakafkan buku-buku agama di masjid-masjid, surau, sekolah, tempat-tempat awam dan sebagainya.
- Mengajar orang amalan-amalan sunnah yang mendapat ganjaran pahala yang besar agar nanti diamalkan olehnya sentiasa.
- Belanja makan orang yang akan melakukan ibadah kepada Allah, agar bertenaga untuk melakukan ibadah, pahala anda pun turut berjalan di situ insya Allah. 
- Hadiahkan pakaian-pakaian sunnah seperti jubah, serban, kain rida', kopiah dan seumpamanya agar dia dapat BERIBADAH kepada Allah S.w.t dengan pakaian-pakaian sunnah tersebut dan memakainya dalam aktiviti harian. 
Perbaiki NIAT anda dalam membelanja makan orang dan menghadiahkan orang sesuatu, baru anda TIDAK RUGI insyaAllah. Beruntungnya orang kaya kerana ada peluang sebegini, tetapi ruginya jika tidak mengambil peluang.

Tetapi orang-orang miskin tetap tidak perlu risau, kerana sedekah bukan sahaja dengan wang dan harta benda, tetapi juga dengan zikir, senyuman, amar ma'ruf nahi mungkar, buat kebaikan, semua itu juga sedekah.

عن ابنِ عمرَ رَضِي اللهُ عَنْهُما قالَ: أَخَذَ رسولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبَيَّ فقالَ: كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وكانَ ابنُ عُمَر رَضِي اللهُ عَنْهُما يقولُ: إذا أمسيـْتَ فلا تَنْتَظِرِ الصَّباحَ، وإذا أَصْبَحْتَ فَلا تَنْتَظِرِ المساءَ، وخُذْ مِن صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ ، ومِنْ حياتِكَ لِمَوْتِكَ
Dari Ibnu Umar radliyallaahu ‘anhuma dia berkata; Rasulullah shallallaahu ’alaihi wa sallam pernah memegang kedua bahuku seraya bersabda; "Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara." Ibnu Umar berkata; "Jika kamu berada di petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan ketika) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu."  [HR Al-Bukhari]

"Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara." Ini bermakna zuhud di dunia ini, dan tidak bergantung kepadanya. [2]  Kerana tiada manusia yang hidup kekal di dunia ini dan setiap jiwa akan merasai mati. Selepas mati pula ada kehidupan lain di Alam Barzakh dan Alam Akhirat.  Dan Alam Akhirat itulah destinasi terakhir yang kekal, maka siapa lagi yang lebih pandai dari orang yang mempersiapkan bekalan untuk kebahagiaan kehidupan yang kekal?
"Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.  Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal."  [Surah al-A'laa : ayat 16 - 17]

Dunia adalah tempat untuk menanam, dan Akhirat jua tempat untuk menuai hasilnya.  Alhamdulillahi robbil 'aalamin wa Allahu a'lam .......


Rujukan:

1 - Imam Al-Qurthubiy - At Tazkirah bi Ahwalil Mauta wa Umuril Akhirah, dalam bab Dzikrul Maut wa Fadhluhu wal Isti’dadu lahu I/120, cet. Maktabah Dar Al Minhaj.
2 - Syeikh Muhammad al-Utsaimin - Syarah al-Hadits al-Arba'in min Ahaadits Al-Arba'in an-Nawawiyyah.
 unikversiti.blogspot.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...