Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas ketika
operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu pada kira-kira 1.30 tengah
hari Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut 63 orang.
Seorang militan wanita berusia lewat 40-an serta tidak bersenjata turut ditahan dalam operasi itu.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata
kejadian itu susulan daripada pertempuran yang tercetus pada 11.30 pagi
yang menyebabkan seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat
terkena serpihan peluru.
"Susulan itu, pasukan keselamatan terus menjejaki musuh dan berlaku
pertempuran di mana pasukan kita telah membunuh seorang daripada mereka
serta menahan seorang wanita.
"Anggota tentera yang tercedera dibawa ke hospital berdekatan dan
selepas pembedahan, keadaannya stabil," katanya pada sidang akhbar
bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas
Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini, Khamis.
Berhubung kemungkinan penduduk Kampung Tanduo boleh kembali ke
kediaman masing-masing, Zulkifeli berkata pasukan penilaian terdiri
daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Daerah Lahad Datu dan
Ibu Pejabat Polis Lahad Datu akan digerakkan ke kampung itu
selewat-lewatnya esok bagi melakukan penilaian keseluruhan sebelum
penduduk dibenar pulang.
Beliau berkata kelewatan membenarkan penduduk pulang ke rumah ialah
bagi memastikan kewasan kampung itu yang di kelilingi paya, hutan dan
semak samun, benar-benar selamat daripada ancaman selepas ia menjadi
sasaran utama militan selain berlaku banyak pertempuran di situ sebelum
ini.
"Dari segi kerosakan fizikal agak mudah untuk dinilai tetapi dalam
aspek keselamatan kami perlu pastikan keadaan benar-benar bersih dan
selamat sebelum penduduk dibenar kembali ke kediaman mereka," katanya
dan memberitahu bahawa hanya terdapat 12 rumah penduduk di kampung itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifeli turut menafikan dakwaan
bahawa sekumpulan lelaki dari Sabah akan dihantar ke Filipina untuk
membunuh Kiram, dan berkata dakwaan itu tidak berasas dan mengarut.
Sementara itu, Khalid ketika ditanya sama ada pihak berkuasa
mempunyai bukti sehingga lapan militan didakwa di mahkamah berkata:
"Sudah tentu, tapi kita tidak boleh dedahkan dan jika tiada bukti
bagaimana kita boleh mendakwa mereka.
Beliau berkata mana-mana pihak yang cuba mempertikai tindakan itu
perlu menunggu sehingga perbicaraan dan sekiranya mempunyai sebarang
persoalan ia boleh dirujuk kepada Wisma Putra.
Lapan rakyat Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Tinggi di Tawau
dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh
melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota
kumpulan pengganas.
Empat lagi didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua yang lain didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.
Kesemua mereka ialah antara 108 individu yang disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Berhubung statistik terkini pencerobohan, Khalid berkata 30 mayat
militan berjaya dikeluarkan dan selesai dibedah siasat, namun sehingga
kini tiada pihak tampil menuntut mayat-mayat itu.
Jumlah tangkapan di bawah SOSMA kekal 108 orang, manakala 268 individu ditahan mengikut lain-lain akta setakat ini, katanya.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan