Rakyat Malaysia
diminta berwaspada terhadap tanda-tanda awal ‘heat stroke’ atau ‘strok
haba’ berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor
Hisham Abdullah memberitahu Bernama, definisi strok haba adalah paras
suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius. Suhu normal badan
manusia kira-kira 37.0 darjah celcius.
“Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.
“Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata suhu tinggi juga
mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan
seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini
menyatakan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini
agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas dan dijangka berterusan
sehingga pertengahan Mac ini.
Dr Noor Hisham berkata pendedahan
berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas disamping kurang minum air dan
dehidrasi badan antara punca boleh menyebabkan strok haba.
Oleh itu beliau menyarankan
beberapa langkah segera untuk diambil sekiranya ada individu terkena
strok haba iaitu menempatkan pesakit di tempat teduh dan berhawa dingin.
“Haba tinggi boleh dikurangkan jika individu itu ditempatkan di bawah kipas dan mengelap anggota badan menggunakan tuala basah.
“Pesakit juga mungkin boleh berendam di dalam kolam air untuk menurunkan tekanan haba dan menyejukkan badan,” katanya.
Dr Noor Hisham turut meminta
orang ramai mengelakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas
serta minum air dalam kuantiti banyak atau sekurang-kurangnya 2.5 liter
sehari. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan