Rabu, 7 Oktober 2015

KAHWIN MUDA VS KAHWIN TUA, MANA SATU PILIHAN ANDA?

Antara dilema anak muda apabila berhajat melangsungkan perkahwinan ialah perbahasan berkenaan kahwin muda vs kahwin tua – atau dalam erti kata lain, kahwin lewat sedikit, tak kahwin terlalu awal.

Isu ini sering timbul apabila ada anak-anak muda yang berhajat hendak bernikah awal, mungkin pada penghujung usia 20-an atau awal 20-an, dan ketika masih belajar.

Kadang, dah habis ijazah pun, masih lagi perbahasan ini wujud. Dilihat perlu ada kerja dan ada duit sekian banyak terlebih dahulu.


Pro dan Kontra?



Tidak dapat tidak, rakan-rakan pembaca yang saya kasihi kerana Allah SWT, dalam membicarakan perkara ini, kita akan menemui manusia yang mungkin akan menyenaraikan pro dan kontra berkait kahwin muda vs kahwin tua ini.

Contohnya, kalau berkahwin muda, pronya ialah keadaan diri akan lebih terjaga dari maksiat, diri akan sukar nak terjebak dengan gejala sosial, jiwa lebih tenang kononnya, dan urusan studi akan jadi lebih mudah. Itu antara alasan-alasan yang mungkin kedengaran.

Kontranya, ada yang akan melihat bahawa berkahwin muda ini akan menganggu komitmen terhadap studi, anak muda masih belum ada duit yang stabil lantas tak mampu nak menyara keluarga, anak muda masih belum matang, dan sebagainya lagi.

Kalau sebut kahwin lewat, pronya ialah keadaan diri yang sudah stabil kononnya, sudah banyak pengalaman, sudah boleh fokus pada pembinaan rumahtangga kerana sudah habis studi, sudah ada kerjaya untuk sara hidup keluarga.

Kontranya kita lihat kalau kahwin lewat, ada kemungkinan orang yang kita suka takkan dapat tunggu, mudah terjebak dengan maksiat, jiwa jadi resah sebab tak ada teman hidup untuk jangka masa yang panjang, dan sebagainya.

Kalau dibincangkan secara serius, mungkin kita akan dapat senaraikan lebih banyak lagi. Saya sekadar menyebut beberapa yang sering diulang ramai.

Pengukur Kematangan

Sebelum saya mara kepada jawapan terhadap perbahasan kahwin awal vs kahwin lewat, kahwin muda vs kahwin tua, izinkan saya menyentuh perihal kematangan wahai pembaca yang saya kasihi.

Saya berpendapat bahawa kematangan itu tidak terletak pada umur. Saya melihat bahawa kematangan itu letaknya pada ilmu dan pengalaman.

Tidak menghairankan sebenarnya untuk kita melihat remaja berumur 15 tahun, tetapi matangnya sudah seperti manusia berumur 40 tahun. Bahkan kewujudannya di hadapan mata kita tidak menyebabkan kita mampu melihatnya sebagai seorang budak, dek kerana akhlak dan keperibadiannya, kerana ilmu dan pengalamannya.

Namun kita akan dapat melihat wujudnya ayah-ayah dan ibu-ibu, mungkin berumur sekitar 40-50an, memegang PhD dan berpangkat tinggi, bersikap seperti keanak-anakan, berperangai tidak matang dan sebagainya. Ada.

Umur bukan pengukur kematangan yang sebenarnya.

Kematangan yang sebenar itu datang pada keperibadian yang kita usahakan. Sekiranya seorang anak muda itu menuntut ilmu dengan serius, mempunyai kesedaran yang tinggi, mempunyai pengalaman yang banyak(mungkin kerana rajin mengembara, rajin duduk dengan orang pandai, rajin membaca. dan sebagainya), maka mengapa kita hendak menilainya sebagai tidak matang, hanya kerana dia tidak berumur tua?

Jika kita kembali meneliti sejarah, terlalu ramai orang-orang muda yang tidak layak digelar ‘tidak matang’. Selaklah sirah Mu’adz dan Mu’awwidz, dua remaja belasan tahun yang menumbangkan Abu Jahal. Telaahlah kisah Abdullah Ibn Umar yang telah mengikuti majlis Nabi semenjak usia muda belia. Perhatikanlah ‘Ali Bin Abu Talib yang menggantikan Rasulullah SAW di tempat tidur baginda kala malam peristiwa hijrah. Saksikanlah Muhammad Al-Fateh yang membuka Kota Konstantinopel.
Mereka semua masih muda belia ketika itu, apakah mereka tidak matang?

Yang paling penting sebenarnya ialah…

Kahwin Muda VS Kahwin Tua, Mana Satu Pilihan Anda?
Kahwin Muda VS Kahwin Tua, Mana Satu Pilihan Anda?

Kembali kepada tajuk, rakan-rakan pembaca yang saya doakan, apakah yang paling penting untuk membina sebuah percintaan, perkahwinan dan rumahtangga?

Allah SWT berfirman:
“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan persiapkanlah diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.” Surah Al-Baqarah ayat 223.

Persiapan.

Ya, sebenarnya yang paling penting dalam percintaan, dalam sebuah perkahwinan dan dalam proses mendirikan rumahtangga, yang paling penting sebenarnya ialah persiapan diri kita. Walaupun ayat ini Allah seakan mengkhususkannya untuk lelaki, mungkin kerana tanggungjawab lelaki itu sepatutnya memimpin sebuah keluarga, tetapi nyata khasiatnya – yakni nasihat untuk mempersiapkan diri itu – juga boleh diambil oleh para wanita.

Persiapan dari segi spiritual, mental dan material.

Sejauh mana kita telah mempersiapkan diri?

Mungkin ramai melihat persediaan untuk perkahwinan ini hanyalah persediaan dari segi material. Tetapi hakikatnya mempersiapkan diri untuk sebuah rumahtangga, yang matlamatnya ialah keredhaan Allah dan tempat pulang harapannya ialah syurga, nyatanya kita perlu mempersiapkan diri lebih dari sekadar persediaan material.

Jika kita balik kepada tanggungjawab untuk membawa diri dan ahli keluarga kita ke syurga Allah SWT, jika kita kembali meneliti tujuan hidup kita adalah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini lantas keluarga kita sebagai salah satu batu-bata asas ke arah menyelesaikan tanggungjawab itu, nescaya kita tahu betapa wajibnya kita bersungguh-sungguh melaksanakan persiapan.

Apakah apabila telah terdetik di dalam diri ingin bercinta, ingin bernikah, ingin mengemudi rumahtangga, kita telah menyenaraikan perkara-perkara yang perlu kita persiapkan ke atas diri kita?

Atau kita sekadar tersengih-sengih dengan cita-cita untuk mengahwini seseorang, yang menyebabkan cita-cita itu akhirnya kelihatan seperti angan-angan kosong sahaja?

Mula mempersiapkan diri.

Maka jika kita terdetik hendak bernikah, hendak mencintai seseorang, hendak membina keluarga, maka mulalah mempersiapkan diri.

Ya, kita takkan tahu bila baru kita bersedia. Kita takkan tahu. Namun kita boleh tahu apakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk bersedia, atau bukan.

Kalau masih maraton cerita korea, sibuk main game, melepak membazir masa dengan benda sia-sia, masih banyak masa habis dengan perkara lalai dan maksiat, maka di manakah kesungguhan persediaannya?
Kita boleh nilai diri kita secara jujur.

Justeru jika benar hendak bernikah, hendak mencintai seseorang, pastikan diri mempunyai perancangan. Bila hendak berkahwin? Dari sekarang hingga masa hendak berkahwin itu, apakah yang patut kita isi masa kita?
Buku-buku apa patut kita baca? Orang-orang berpengalaman yang mana kita patut jumpa? Wang, bagaimana kita nak berjimat dengan apa yang ada dan macam mana nak tambah pendapatan kalau boleh? Apa target kita dalam kualiti hubungan kita dengan Allah SWT untuk dipertingkatkan dalam masa sebelum berkahwin ini? Apa target kita dari segi kawalan emosi, dan bagaimana kita hendak melatihnya dalam masa sebelum berkahwin ini?

Ya, begitulah sepatutnya kita sibukkan diri kita.

Sibukkan dengan persiapan yang menyeluruh. Bukan sibuk dengan cinta atas angin, gunung everest sanggup kudaki, lautan api sanggup kurenangi, tetapi kemudian tindakannya tidak ada.

Sedangkan tanggungjawab nanti besar!

Maka mulalah mempersiapkan diri. Bentang perancangan, kemudian gencarkan usaha.

Bila Sudah Bersungguh Mempersiapkan Diri

Bila sudah bersungguh mempersiapkan diri, kahwin muda vs kahwin tua bukan lagi satu perbahasan yang patut diperpanjangkan.

Yang muda, kalau dah bersungguh-sungguh mempersiapkan diri, di mana salahnya hendak mendirikan rumahtangga?

Yang tua, kalau langsung tak pernah berusaha mempersiapkan diri, di mana kelebihannya?

Urusan rumahtangga bukan semata urusan duit. Ia juga urusan rohani dan emosi, tanpa kita nafikan bahawa daya survival untuk hidup dalam dunia berpaksikan material ini sangatlah penting.

Berusaha bersungguh-sungguh mempersiapkan diri, itulah jawapan yang ramai manusia cari dalam dilema ini.
Artikel ini ditulis oleh Hilal Asyraf dari Langit Ilahi. (8159)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...