Bayi anda meragam dan asyik menangis kerana mengantuk tetapi enggan
tidur? Adakah anda pernah berhadapan situasi ini? Tidak semua bayi yang
akan tidur walaupun mereka berasa mengantuk. Jadi, apakah yang patut ibu
lakukan?
Mungkin anda boleh cuba teknik berikut jika si kecil jenis yang bermasalah tidur pada waktu siang.
1. Tidurkan bayi di tempat yang sama
Biasakan mereka tidur di tempat yang sama mereka tidur pada waktu
malam. Secara tidak langsung ia membantu bayi memahami bahawa sudah tiba
waktu tidurnya. Berikan bayi peluang untuk tidur di tempat yang sama
sebanyak mana yang boleh. Jika bayi anda dihantar ke pusat penjagaan
atau ke rumah pengasuh, pastikan dia tidur di tempat yang sama apabila
dia berada di rumah
2. Tetapkan rutin
Rutin yang sama boleh membantu bayi mengetahui apa yang dijangka.
Secara tidak langsung anda telah membiasakan bayi tentang rutinnya untuk
tidur, mandi, bermain dan sebagainya. Dengan cara ini mudah untuk anda
menidurkannya.
3. Tidurkan bayi apabila dia letih
Sebaiknya jangan tunggu bayi menangis dengan kuat sebagai tanda dia
sudah semakin mengantuk. Tidurkan bayi apabila dia mula menunjukkan
ciri-ciri sudah mengantuk seperti menggosok-gosok mata, merengek atau
merenung kosong ke satu arah. Ini kerana apabila dia terlalu letih dan
mengantuk, bayi semakin sukar untuk tidur.
4. Masa tenang berdua
Masa senyap dan tenang diperlukan oleh bayi untuk tidur tidak kira sama
ada tidur malam ataupun tidur siang. Baca buku, menyanyi atau berzikir
untuk menandakan waktu tidur sudah tiba boleh dilakukan sebagai petunjuk
kepada bayi anda.
5. Ajar bayi tidur sendiri
Ia mungkin kedengaran sukar tetapi ia bukan sesuatu yang tidak boleh
dilakukan. Seawal usia tiga bulan, anda boleh mengajar bayi bagaimana
menenangkan dirinya sendiri untuk tidur.
Ia boleh jadi dengan menghisap jari, memeluk selimut atau mainan
kegemarannya atau sekadar menutup mata dan tidur apabila dia rasa letih.
Sebaik sahaja bayi belajar untuk bergantung kepada dirinya sendiri, dia
mungkin boleh tidur lebih lama.
Semoga salah satu cara tersebut berkesan kepada bayi anda dan tiada
lagi masalah sukar tidur di siang hari. Ini kerana tidur yang cukup
sangat penting dalam perkembangan sihat tumbesaran si comel.
Sememangnya mendisiplinkan bayi tabiat tidur yang baik memerlukan
kesabaran dan masa yang panjang. Tetapi jika dapat dilakukan dengan
betul semasa usia bayi, tidak mustahil anak anda akan ada pola tidur
yang berkualiti pada masa akan datang.
pama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan