Kejayaan pasukan Tariq
ibn Ziyad menguasai kota Andalus pada tahun 711M sehingga ke tampuk
kerajaan “Nasriyyah” atau “Bani Ahmar” yang mengakhirinya pada tahun
1492M, pernah melakarkan catatan pemerintahan Islam yang hebat. Tempoh
tersebut hampir mencapai lapan abad! 800 tahun, suatu jarak yang
seharusnya menjadi renungan buat masyarakat Islam di seluruh dunia.
Tempoh tersebut
membuktikan betapa kemunculan Tamadun Barat ada kaitannya dengan
kecemerlangan Tamadun Islam yang telah terbina di Andalus. Ketika itulah
dikatakan bahawa zaman intelektual berkembang megah dengan munculnya
tokoh-tokoh Islam kawakan seperti Ibn Hazm (994M-1064M), Ibn Rushd
(1126M-1198M), Ibn Bajjah (1082-1138M), Ibn Zuhr (1091-1162M) dan ramai
lagi. Termasuklah golongan elit Kristian yang dipimpin oleh filosof
terkenal Thomas Aquinas (1225M-1274M) dan Maimonides (1135M-1205M),
seorang ahli teologi yang pernah terkenal di Andalus ketika pemerintahan
Islam, sedangkan beliau berbangsa Yahudi.
Kejayaan Islam membina
ketamadunan di Andalus, sesungguhnya sesuatu yang sangat mengkagumkan.
Lebih memberi kesan jika ia turut ditinjau dari aspek perkembangan dan
kejatuhan Andalusia itu sendiri demi mencari kesimpulan yang baik oleh
kita semua.
Secara integral, para
sejarawan bersepakat menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Andalusia
adalah di bawah pimpinan Tariq ibn Ziyad. Beliau adalah tokoh Islam
terkenal telah memimpin pasukan tenteranya mengharungi Gibraltar
(asalnya Jabal Tariq) yang memiliki kedudukan strategik pintu gerbang
para pedagang antarabangsa, di mana para pedagang lazimnya menggunakan
laluan tersebut bagi mengharungi lautan Atlantik dan Mediterranian.
Sebelum pembukaan Islam,
wilayah Andalus dimonopoli secara rakus oleh golongan bangsawan (noble
lord) sehingga berlaku penindasan terhadap golongan bawahan. Krisis ini
menyebabkan ramai rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan pihak
pentadbiran negara mereka. Kesannya menyebabkan banyak tanah pertanian
terbiar beku, industri-industri terpaksa ditutup dan ia sekaligus
melumpuhkan ekonomi Andalus.
Menyedari kepincangan
itu, Gabenor “Visigothic” (Visigoth) iaitu Count Julian berpaling tadah
dan menentang Raja Don Roderick, beliau turut bekerjasama dengan Tariq
ibn Ziyad untuk mengembalikan keadilan di wilayah tersebut. Pendirian
Julian itu juga diriwayatkan ada kaitannya dengan tindakan Don Roderick
yang merogol isteri dan anak perempuannya.
Tariq ibn Ziyad memimpin
pasukan Islam hanya berjumlah 7000 orang, berdepan pula dengan tentera
Don Roderick yang berjumlah seramai 100 000 orang. Lalu bagi
meningkatkan semangat pasukan tenteranya di perlawanan yang tidak
seimbang ini, dikatakan bahawa Tariq ibn Ziyad mengarahkan agar kapal
mereka dibakar sambil digambarkan beliau berpidato;
أيها الناس؛ أين المفرُّ؟! والبحر من ورائكم والعدوُّ أمامكم، فليس لكم والله! إلاَّ الصدق والصبر
"Wahai
saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan
kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki
hanyalah kejujuran dan kesabaran..."
Kalimat tersebut
dikobarkan oleh Tariq ibn Ziyad bagi menaikkan semangat pasukan tentera
Islam dan akhirnya tercatat dalam sejarah penyebaran Islam ke Andalus.
Walau bagaimanapun ia diragui oleh sesetengah pengkaji terutama hal yang
melibatkan pembakaran kapal kerana usaha menakluk Andalusia pada
peringkat pertama melalui jalan laut sebenarnya dirintis awal oleh Tarif
ibn Malik atau dikenali Abu Zurah bin Malik al-Nakha'ei.
Tarif yang mula-mula
bersama kekuatan pasukan armada laut bagi meraih jalan ke arah
penaklukan Semenanjung Iberia itu. Hal itu telah mendorong Gabenor
Qayrawan, Musa ibn Nusair dan seterusnya Tariq ibn Ziyad bergerak
bersama demi menakluk Andalus. Oleh itu ada keraguan bagi Tariq
mengarahkan kapal dibakar kerana sepatutnya Tarif yang lebih layak
memerintahkan begitu. Kerana Tarif memimpin kekuatan armada, sedangkan
Tariq memimpin kekuatan artileri.
Kemenangan tentera Islam
menguasai medan Gibraltar telah membuka ruang untuk pasukan Islam terus
menguasai Andalus sehingga Tariq dapat meneruskan penguasaan ke Cordova
dan Toledo. Kemenangan demi kemenangan dapat dicapai oleh tentera Islam
dalam usaha melebarkan kerajaan Islam di bumi Eropah termasuk Bandar
Zaragoza, Leon, Malaga, Sevilla dan beberapa buah bandar lain.
Sejak dari itu, Islam
mula tersebar luas ke seluruh Andalusia dan bermulalah penguasaan Bani
Umayyah di Andalus. Khalifah Bani Umayyah yang berpusat di Dimashq telah
mewakilkan beberapa orang Gabenor untuk mentadbir Andalus. Seramai 20
orang Gabenor telah mentadbir Andalus dari tahun 718-756M. Gabenor yang
pertama ialah Abdul Aziz ibn Musa ibn Nusayr dan yang terakhir ialah
Yusuf ibn Abdul Rahman al-Fihri.
Apa yang menarik untuk
diperhatikan sejarah pemerintahan Andalus ini ialah pemerintahannya
kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umayyah, walaupun kerajaan Bani
Abbasiyah telah mula bertapak dan berpusat di kota Baghdad bermula pada
tahun 132H/ 750M. Ini bermaksud, walaupun kerajaan Islam yang memimpin
majoriti umat Islam sudah beralih kepada Bani Abbasiyah, namun Andalus
terus diungguli oleh para pemerintah dari kelompok Umayyah.
Fakta sejarah mengakui
bahawa sebelum Islam membuka Andalus, masyarakat Kristian Eropah hidup
di dalam kejahilan dan kegelapan pimpinan Roderick. Lantas, usaha-usaha
dilakukan oleh pemerintah Islam di Andalus telah memberikan impak
positif sehingga Barat kemudiannya dapat membina tamadun mereka yang
membanggakan pada hari ini.
Pada peringkat awal,
pemerintah Islam berjaya mengawal masyarakat di Andalus walaupun mereka
mempunyai pelbagai latar belakang. Ada di kalangan mereka berbangsa
Yahudi, Barbar, Islam, Kristian dan lain-lain. Kecemerlangan dapat
dicapai apabila masyarakat berbilang kaum ini dapat dijaga dengan
sempurna. Namun, antara punca kejatuhan kerajaan Islam Andalusia ini
juga turut disebabkan oleh kepelbagaian budaya yang merenggangkan
hubungan erat sesama mereka. Fahaman racist yang menebal akhirnya
mengakibatkan Andalus turut menjadi lemah.
Sebenarnya pemerintahan
Islam di Andalus berjaya menjamin hak-hak asasi kaum lain sehingga
mereka boleh membantu dalam usaha meninggikan tamadunnya. Gambaran ini
dapat difahami menunjukkan bahawa perpaduan antara kaum berasaskan
jaminan terhadap hak-hak kaum minoriti sebenarnya mampu mewujudkan
kestabilan selagi mana ia tidak bertentangan dengan akhlak Islam. Oleh
sebab itu, kita dapat menyaksikan tamadun Islam Andalus menguasai dunia
dan meniti di bibir umat manusia.
Namun begitu, seakan
sudah menjadi lumrah zaman bahawa di sana ada kitaran ketamadunan
seperti yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun di dalam "Muqaddimah"-nya
sebagai sunnatuLlah. Kitaran ketamadunan yang dibicarakan Ibn Khaldun di
dalam kitabnya, dan pernah dikembangkan lagi oleh Syeikh Rashid Redha
sebagai sunanul kawniyah, menyebabkan kita berfikir bahawa segala apa
yang berada dipuncak pasti akan melalui tempoh kejatuhan.
Kitaran inilah yang
turut melanda Andalus sehingga kejayaan yang dibina semakin lama semakin
menyusut dan menunjukkan ketidakmampuan untuk dipertahankan. Apa yang
dimaksudkan ialah ketidakmampuan untuk mempertahankan penguasaan Islam
di sana dari sudut prestasi politik pentadbiran, bukannya dari sudut
kecemerlangan intelektual dan fizikal.
Kejatuhan Andalus tidak
berlaku sekelip mata, tetapi melalui proses yang panjang. Sayangnya,
tiada dikalangan pemimpin umat Islam ketika itu yang berjaya
mempertahankan Andalus. Tiada Salahuddin Al Ayubi, tiada Saifuddin
Qutuz, dan tiada Muhamad al-Fateh. Bibit-bibit kejatuhan bermula setelah
pemerintahan Andalus dijuzukkan kepada kerajaan-kerajaan kecil.
Andalusia yang
diperintah oleh satu kerajaan, satu khalifah, berpecah menjadi 20 buah
kerajaan kecil. Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini turut dikenali
sebagai Muluk al-Tawa'if, ia wujud disebabkan semangat puak, sikap
fanatik terhadap bangsa. Mereka tidak langsung berpegang kepada semangat
Ukhuwwah Islamiyah dan seakan menjurus kepada ketuanan kaum sesama
sendiri.
Fenomena ini berlaku
setelah pucuk pimpinan di Cordova menghadapi masalah dalaman iaitu
bergaduh dan bercakaran, malah ada yang saling menindas untuk merebut
kuasa khalifah dan penguasaan wilayah. Akibatnya, Cordova yang masyhur
di dalam Bahasa Arab sebagai "al-Qurtubah" akhirnya menjadi bandar yang
terakhir jatuh sepenuhnya ke atas Raja Ferdinand. Ia berlaku pada zaman
pemerintahan terakhir Andalus di bawah Bani al-Ahmar yang menguasai
wilayah terakhir di Granada dari tahun 620H-897H. Penyerahan wilayah
terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamatkan maruah pemerintah
Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah daripada digulingkan dengan cara
yang lebih teruk.
Ketika Bani Ahmar
memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka sudah gugup dan
menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan pemerintahan
Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan mereka hanya melibatkan
wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang
masyhur iaitu istana Al-Hamra' atau dalam bahasa Sepanyol hari ini lebih
dikenali sebagai al-Hambra.
Berlaku perselisihan
keluarga dalam hal mewarisi kepimpinan, pergolakan anak-beranak diraja
berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada.
Sikap Abu Abdullah yang hilang pertimbangan dan tidak berpuas hati
dengan pewarisan takhta yang diputuskan oleh bapanya, menyebabkan beliau
memberontak sehingga sanggup mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta
pemerintahan tetap tidak menyebelahi Abu Abdullah.
Tetapi kerakusan Abu
Abdullah tidak padam, bahkan perancangan dibuat dalam bentuk kerjasama
dengan Raja Ferdinand untuk merampas kembali takhta pemerintahan.
Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat menduduki takhta
tetapi bagi jangkamasa yang relatif disebabkan tekanan dari Ferdinand
untuk mendapatkan habuan. Habuannya tidak lain tidak bukan ialah
penyerahan wilayah Granada kepada kerajaan Ferdinand, lantas masyhurlah
Ferdinand yang beristerikan Isabella itu sebagai satu-satunya raja yang
berjaya menumbangkan kerajaan Islam di Andalus.
Kejatuhan Andalus
rupanya adalah kelemahan pemerintahan sanggup menggadai prinsip demi
mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya mampu
dicapai buat sementara waktu sahaja. Selain itu ia turut disebabkan
beberapa faktor internal dan eksternal, iaitu :
Tiada mekanisme dalam
mencari pengganti yang layak untuk meneruskan pemerintahan di Andalus.
Kebanyakan mereka hanya mewariskan kepimpinan melalui sistem monarki
yang pada waktu itu sudah korup, tiada akauntibiliti dan hilang
integriti di mata rakyat.
Tiada wala' terhadap
khalifah yang sah mentadbir kerajaan. Masing-masing menyimpan hasrat
untuk menguasai wilayah pemerintahan sehingga berlaku perebutan kuasa
yang tidak berkesudahan.
Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul
amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan
pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain.
Perbezaan fikrah yang
wujud sehingga hilang adabul ikhtilaf di kalangan mereka, lalu perbezaan
tersebut banyak membawa jatuh-menjatuhkan, runtuh-meruntuhkan dan
kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.
Wujudnya golongan yang
ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin
bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan
dalaman sesama mereka.
Kesan daripada
faktor-faktor inilah umat Islam dibunuh atas restu Pope dan ada yang
dihalau keluar dari Andalusia, bahkan ada di antara mereka yang terus
diperangi lagi dan lagi walaupun sudah bersedia keluar dari Andalusia.
Musibah ini turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana tiada kuasa yang
boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah seterusnya
runtuh.
sumber http://www.tarbawi.my/ /detik islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan